Selepas drama premium yang diinsprasikan daripada jenayah siber sebenar, One Cent Thief 2, Astro Originals membawakan sebuah lagi drama premium terbaru iaitu First Wives. Siri terbaharu yang menghiasi Astro Originals ini menyelami naratif yang mengangkat persahabatan wanita yang bersatu untuk berdepan dengan pengkhianatan. Topik ini sangat relevan dengan masyarakat Malaysia, kerana ia mengupas emosi dan pengalaman wanita dalam menghadapi penipuan, kepercayaan dan dugaan.
Menariknya, First Wives menyampaikan topik ini dengan sentuhan drama dan humor, menjadikannya sebuah tontonan yang menghiburkan. Mimi Lana membawakan watak Diyana di mana suaminya, Azzim lakonan Malek Mccrone telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya, dan ini merupakan kali pertama Mimi Lana membawakan watak dengan karakter komedi. Manakala Melissa Campbell memegang watak Michelle, seorang isteri terpaksa menanggung hutang Ah Long akibat suaminya, Roshan lakonan Charles Roberts terlibat dalam aktiviti judi.
Selain itu, First Wives turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baru bagi mewarnai setiap karakter, seperti pelakon Andy Teh, Carmen Soo, Theebaan G, Zeera Azizi dan Sathisvaran.
Drama premium 8 episod yang akan menemui penonton bermula 11 April, jam 12 tengah malam menerusi platfrom On Demand, Astro GO dan sooka jam 9 malam di Astro Citra (saluran 108), manakala Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin, jam 9 malam. First Wives merupakan terbitan Astro Shaw dan produksi oleh Infinitus Productions. Sementara itu pengarahnya adalah Imri Nasution di mana penulis skripnya oleh Catalina Mae Hubbard, Ilya Karnain, Luqman Sheikh Ghazali dan Dee Dee Peter.
Penerbit Eksekutif First Wives merangkap Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, berkata,
“Kami mahu memastikan setiap kisah yang dipersembahkan di bawah Astro Originals mempunyai keseimbangan dan mampu memberi impak kepada semua penonton. ‘Jangan pandang rendah pada wanita’ adalah mesej ini yang ingin kami bawakan dalam First Wives, di mana penonton dapat menyaksikan peranan wanita melalui persahabatan sebagai nadi utama penceritaan. Di samping itu juga, kami ingin meraikan golongan ini sebagai satu kelompok yang kuat dan tabah.
"Dari segi penceritaan, ianya bukan sekadar kisah fiksyen, tetapi cerminan realiti di mana kes curang yang terjerat dalam hutang suami banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kami mengharapkan First Wives dapat menyuntik semangat buat para wanita untuk bangkit memperjuangkan hak mereka dalam menuntut keadilan sekali gus membina kehidupan yang lebih bermakna tanpa perlu terus terperangkap dalam pengkhianatan dan bebanan," katanya.
First Wives mengisahkan tentang dua sahabat baik sejak kecil, Diyana dan Michelle, bergelut dengan perkahwinan masing-masing. Diyana mendapati suaminya, Azzim telah berkahwin secara rahsia dengan isteri kedua, manakala Michelle diancam oleh Ah Long selepas suaminya, Roshan menghabiskan semua simpanan mereka untuk berjudi.
Demi menyelamatkan nyawa sahabatnya dan membalas dendam, Diyana mencadangkan untuk mencuri wang dari perniagaan pasar raya milik Azzim, Azzimart, bagi melunaskan hutang Michelle. Namun, rancangan mereka gagal apabila mereka tertangkap. Rompakan yang gagal itu membongkar aktiviti pengubahan wang haram Azzim dan mencetuskan siasatan polis yang akhirnya mengancam nyawa mereka semua.
Eksklusif buat semua penggemar siri premium Astro Originals, ‘First Wives’ sudah mula bersiaran sejak 11 April 2025 setiap Jumaat, di On Demand, Astro Ultra/Ulti box dan Astro GO bermula 12 tengah malam, di Astro Citra (saluran 108) jam 9 malam. Atro Ria (saluran 104) setiap hari Isnin, jam 9 malam.
0 Ulasan