RYZALL NOH MAHU DIKENALI

Namanya barangkali belum menonjol dan dikenali sepenuhnya oleh peminat muzik Malaysia berbanding penyanyi kelahiran Kota Singa yang lain. 

Bagaimanapun percayalah mereka pasti akan terpikat dan jatuh cinta apabila menikmati lagu-lagu alunan dari penyanyi bernama Ryzall Noh ini. 

Meneliti profilnya, Ryzall bukanlah calang-calang individu kerana bakat versatilnya yang boleh menyanyi, mencipta lagu  dan menerbitkan muzik pasti menggetarkan jiwa pendengar muzik hari ini.



Ryzall pernah menjadi vokalis kumpulan Audionauts yang memenangi anugerah, dan dia kini mengorak langkah meneruskan kerjaya secara solo pula.  Perjalanan seninya bersama Audionauts pada sekitar 2010 hingga 2017 dikira amat cemerlang. 


Mereka telah memenangi pelbagai anugerah seperti Kumpulan /Duo terbaik di Anugerah Planet Musik 2013, Lagu Tertinggi Royali di Anugerah Compass Singapura, Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Musik 2015, dan sekali lagi mengungguli kategori  Lagu tertinggi Royalti di Anugerah Compass 2015.


Bukan sekadar itu karya-karya Ryzall turut berkembang menerusi kolaborasi dengan artis lain seperti Ronnie Hussin, Almarhum Tony Spider, Rahila Rashun Af Altimet, Moliano Lovehunters, Maman Teacher Pet, Addy Cradle, dan Dato Ramli Sarip.


Beliau juga merupakan seorang pelakon, komposer, dan penulis lirik yang sangat dicari di rantau ini. 



Ryzall merupakan seorang penerbit yang sedang meningkat naik dengan pelbagai pencapaian antaranya menerusi kerjasama dengan pelbagai artis serta badan kerajaan. Jadi, dengan bakat semulajadi yang dimilikinya, maka wajarlah Ryzall  mengecapi apa yang diperolehinya selama ini. 


Anak muda serba boleh ini aktif berkongsi perkembangan terkininya di platform media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube. Antara yang dikongsinya ialah perkembangan terkini mengenai muzik dan beberapa projek lagu antaranya ialah Darwish, Tak Seindah Kata dan Sebuah Cinta


Single berjudl Darwish ternyata mendapat perhatian di stesen radio Singapura dan Malaysia, serta di stesen radio di Amerika Latin dan Sepanyol. 


Ryzall juga telah membuat persembahan di acara seperti Popaholic di Esplanade, Singapura. Populariti lagu Darwish yang diterima baik di Malaysia ternyata menggembirakan Ryzall. 


Ryzall berkata, Darwish adalah kisah seorang manusia biasa yang sedia berkorban apa sahaja demi mendapatkan cinta 'kekasihnya' dan melunaskan rindu yang lama terpendam.



"Darwish ini sememangnya terkenal dalam cerita-cerita sufisme. Kesimpulannya ia cerita tentang sufi iaitu perjalanan mencari Tuhan.


"Saya beruntung dan bersyukur bekerja dengan orang-orang hebat dalam penghasilan lagu ini dimana liriknya tulisan Hairul Anuar Harun yang sudah menempa populariti dengan lirik lagu Cindai, Hati Kama, Yayadan, Samrah Mentari, Tinting, Sesuci Lebaran dan Nirmala


Manakala Darwish dari pengamatan saya sebagai komposer adalah tentang harapan dan juga pujian yang mekar  kembang serta membangkitkan semangat tentang cinta yang tidak terbalas," katanya. 


Lagu tersebut sudah boleh dengar di platform penstriman seperti Spotify  dan Apple Music sekarang.

Catat Ulasan

0 Ulasan