Seniwati legenda, Datin Noor Azizah, 78 menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Rapat, Ipoh, Perak, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Berita pemergian bintang filem Enam Jahanam itu disahkan oleh anak sulungnya, Khairena.
"Dengan hati yang amat berat dan penuh rasa sedih, saya ingin memaklumkan bahawa ibu sudah kembali ke rahmatullah secara mengejut. Pemergian ini sangat mengejutkan kami sekeluarga.
"Kami amat menghargai doa dan sokongan semua pihak dalam saat yang penuh duka ini. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dicucuri rahmat.
"Mohon doakan agar kami sekeluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Terima kasih atas segala ucapan takziah dan perhatian yang diberikan," katanya.
Difahamkan, arwah yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pulang ke Ipoh, semalam kerana ingin berkumpul bersama adik-beradik berikutan salah seorang adiknya baru pulang dari Australia.
Bagaimanapun, Allahyarham Noor Azizah dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Difahamkan, ibu kepada dua cahaya mata itu menghidap penyakit buah pinggang dan kini menjalani rawatan dialisis.
Jenazah Allahyarham Noor Azizah dijangka akan dikebumikan selepas Zuhur di Ipoh.
Dilahirkan di Kinta, Perak, Allahyarham Noor Azizah memulakan kerjaya seninya pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong sebagai pelakon tambahan.
Ketika itu, bapanya yang juga pegawai kanan polis bertugas di Singapura dan memberikan peluang kepadanya untuk mencuba nasib sebagai bintang filem.
Pembabitan Noor Azizah dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.
Semasa kunjungan, kejelitaan Noor Azizah mendapat perhatian Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem Dayang Senandong.
Sebaik selesai penggambaran filem Dayang Senandong, Noor Azizah membintangi filem Sri Andalas, A Go Go 67 dan terakhir Raja Bersiong sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.
Nama Noor Azizah mula mencipta kemasyuran apabila membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P.Ramlee pada 1969.
Di Merdeka Studio, beliau mencipta kemasyuran sebagai bintang filem apabila sering digandingkan dengan Allahyarham Seniman Ed Osmera.
Antara filem lakonannya termasuklah Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.
Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.
Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.
Pada 2000, Noor Azizah turut membintang filem Soal Hati yang merupakan filem terakhir lakonannya. Di dalam industri perfileman tempatan, beliau telah berlakon hampir 19 buah filem dari tahun 1965 sehinggalah tahun 2000.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Sumber berita dipetik dari Berita Harian
0 Ulasan