EXISTS X SLAM DI SINGAPURA NOVEMBER DEPAN


Sesuatu yang hangat dan mengujakan sedang hadir ke Singapura. Dua kumpulan legenda yang mekar namanya di Nusantara akan di satukan pada malam penuh epik khususnya buat peminat setia mereka.

'Exists X Slam Live In Singapore'. Begitu ringkas nama konsert yang menggabungkan dua pesohor industri muzik ini. Buat pertama kali dan cukup istimewa, Exists X Slam akan bergabung menerusi konsert perdana mereka di The Star Theatre Singapura pada 29 November depan. 


Dibawakan khas oleh Shiraz Projects, Exists X Slam bakal mendominasi pentas saat banyak kumpulan muzik generasi baharu muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ini membuktikan gabungan dua kumpulan gergasi ini masih relevan dalam arus perdana muzik nusantara yang semestinya menjanjikan pengalaman yang tidak dapat mungkin dapat dilupakan. 

Bagi Shiraz Project, membawakan dua kumpulan itu bergabung di satu pentas bukanlah mudah namun gabungan itu menjadi petanda bahawa muzik itu luar biasa dan mampu menyatukan semua pihak dari pelbagai lapisan usia. 

“Ada yang bertanya kenapa Exists X Slam? Kenapa tidak? Bukan kerana setiap kumpulan ini tidak boleh berdiri sendiri atau menarik penonton masing-masing memenuhkan The Star Theatre. Bukan juga kerana selaku penganjur, Shiraz Projects tidak percaya bahawa Exists atau Slam akan membuat konsert ini sukses.


“Tapi selaku penganjur, Shiraz Projects mahu menghargai Exists dan Slam menerusi penganjuran konsert yang disifatkan sangat istimewa ini kerana melihat karya-karya mereka tetap digemari dan berpengaruh kepada peminat walaupun mereka sudah lebih dua dekad dalam industri.

“Jadi kenapa jika Shiraz Project boleh mendapatkan Exists X Slam lalu tidak melaksanakan projek istimewa ini? Rugi jika kami melepaskan peluang ini selepas kedua-duanya bersetuju, kerana Exists dan Slam terlalu istimewa dengan sejarah mereka masing-masing,” ujar Pengarah Urusan Shiraz Project, Shiraz.

Menurutnya lagi hal yang menjadikan Exists X Slam sebagai konsert yang istimewa adalah sejarah yang telah dicetak sepanjang ‘berperang’ dan berkelana dalam belantika muzik sejak awal tahun 90-an. Baik Exists mahupun Slam yang sudah beberapa kali bertukar anggota termasuk vokalis tetap mampu mempertahankan reputasi mereka kerana sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bahagi. Itu belum lagi pengiktirafan demi pengiktirafan yang diperoleh sepanjang berkarya.


“Dan siapa yang tidak kenal dengan lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar atau Gerimis
Mengundang? Sekali dengar peminat tahu lagu-lagu ini dengan suara dan ciri khas muzik adalah milik Exists misalnya atau Slam.

"Jadi Shiraz Projects mahu membawakan lagu-lagu Slam dan Exists yang selalu didengar hanya menerusi corong radio dipersembahkan secara langsung di hadapan anda semua,” ujar Shiraz lagi.

Exists X Slam dipastikan juga akan membawa semua peminat pulang ke masa silam. Ikut terbuai dalam alunan enak suara sang vokalis Exists, Ezad seperti Oh Ibu, Jesnita atau Julia. 

Mungkin juga betapa rindunya untuk mendengarkan alunan merdu vokalis Zamani Slam dengan untaian lagu seperti Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin atau Rindiani. Tanpa menjanjikan bulan atau bintang, Exists dan Slam hanya mahu mempersembahkan sebuah konsert yang meninggalkan kesan atau momen manis buat peminat.

“Kerana yang penting buat kami sebagai penghibur adalah melihat peminat berpuas hati, menyanyi bersama dan pulang dengan kenangan terbaik yang mereka dapatkan dari Exists X Slam di The Star Theatre pada 29 November 2025 ini,” kata Along mewakili dua kumpulan ternama ini.


Tiket berharga serendah $88 (Silver RV) sehinggalah Meet & Greet ($258) boleh dimiliki di laman sistic sekarang. 

Catat Ulasan

0 Ulasan