Selepas lapan minggu bersaing sengit, program realiti Big Stage Alpha akhirnya melabuhkan tirai dengan menyaksikan Ariel Fesol muncul sebagai juara dalam konsert akhir yang berlangsung di Shah Alam Royal Theatre, malam tadi.
Ariel atau nama sebenarnya Muhamad Fhazrill Fesol berjaya menewaskan enam finalis lain untuk berada di kedudukan teratas sekaligus membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi kemenangan.
Ketika ditemui sejurus selepas persembahan, Aeril Fesol berkata, beliau tidak menyangka namanya diumumkan sebagai Juara Big Stage Alpha. Kemenangan malam tadi juga sekali gus membuktikan beliau bukan hanya 'berangan sahaja', tetapi satu realiti.
“Saya tunggu momen ini selama 16 tahun. Pelbagai pertandingan saya sertai, tapi tiada satu pun berhasil. Impian asal saya adalah untuk menubuhkan sebuah kumpulan rock, namun Allah lebih mengetahui niat saya dan akhirnya saya dihadiahkan dengan sebuah boy band,” ujar Ariel penuh emosi.
Pada peringkat akhir itu, Ariel berjaya menewaskan enam peserta lain menerusi lagu 'I Don't Wanna Miss A Thing' dengan purata markah keseluruhan 71.74%. Ariel yang sebelum ini merupakan seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan terkenal berkata, beliau tidak menyesal dengan pilihan untuk meninggalkan karier tersebut demi mengejar cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi.
"Saya tidak pernah menyesal apabila meninggalkan kerjaya sebagai seorang pramugara. Ini pilihan yang saya buat. Saya akan buktikan menjadi anak seni juga mampu membina karier yang lebih baik dan mampu mencipta kejayaan luar biasa," katanya.
Namun bagi tempat kedua pula, ianya menjadi milik Ray-D yang membawa pulang RM20,000, manakala Rizal Rasid berpuas hati di tempat ketiga dengan hadiah RM10,000. Tiga finalis lain iaitu Daniel Sher, Araff dan Izat Ibrahim masing-masing menduduki tempat keempat hingga keenam, membawa pulang RM5,000 setiap seorang.
Sementara itu, Afiq Sky, yang berada di tempat ketujuh, tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima RM3,000 berserta trofi penghargaan. Daniel Sher pula mencipta magis apabila menerima Anugerah Ikon Perfume Paradise yang menyaksikan dia membawa pulang wang tunai RM5,000.
Menariknya, kesemua tujuh finalis akhir diumumkan sebagai anggota kumpulan baharu yang diberi nama Alpha, hasil pembentukan menerusi program ini. Konsert akhir turut menyaksikan debut single pertama mereka berjudul "Monalisa" dipersembahkan secara langsung buat pertama kali di hadapan penonton.
Konsert akhir dikendalikan oleh dua hos sensasi, Rina Nose dan Elly Mazlein, dengan barisan juri tetap terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim, dan Hael Husaini, manakala Marsha Milan tampil sebagai juri jemputan.
Sebagai kesinambungan daripada kejayaan ini, ketujuh-tujuh bintang Alpha akan diterbangkan ke Korea Selatan selama tiga bulan bagi mengikuti latihan intensif dan aktiviti promosi, dengan maklumat lanjut akan diumumkan oleh pihak pengurusan Astro dari semasa ke semasa.
Lebih istimewa, Hael Husaini sendiri bakal memberi ruang eksklusif kepada kumpulan Alpha untuk tampil dalam Konsert Hael Husaini & Repertoire yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya lihat ini sebagai peluang untuk mereka menguji kemampuan di pentas lebih besar. Mereka semua ada potensi dan sangat bersedia,” kata Hael ringkas namun penuh makna.
Disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria, Astro Go, Astro Gempak dan sooka, Big Stage Alpha berjaya melabuhkan tirainya dengan sempurna malam tadi.
0 Ulasan