Selepas hampir sedekad mengukir nama sebagai antara figura paling berpengaruh di dalam dunia hiburan tanah air, penyanyi, pelakon, komposer dan ikon fesyen terkenal, Hael Husaini kini bersedia melakar sejarah baharu menerusi konsert solo sulungnya bertajuk "Konsert Hael Husaini & Repertoire" yang akan berlangsung pada 8 Ogos depan.
Memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi pementasan, konsert ini bukan sahaja menjanjikan sebuah persembahan nyanyian semata-mata tetapi ia menghidangkan sebuah pengalaman seni yang menyeluruh di mana ianya menggabungkan pelbagai elemen muzik, emosi dan fesyen. Rangkuman ini mencerminkan evolusi Hael Husaini sebagai seorang anak seni serba boleh yang sentiasa berani bereksperimen dalam setiap karya dan penampilannya.
Dari Realiti TV ke Puncak Anugerah: Legasi Yang Dibina Dengan Tekad
Hael mula meniti perhatian umum sewaktu menyertai Akademi Fantasia musim ke-14 (AF2016). Walaupun tersingkir awal dalam pertandingan tersebut, beliau membuktikan bahawa kegagalan bukan pengakhiran. Tahun demi tahun, Hael terus menawan hati peminat dan penggiat seni dengan karya-karya unik serta gaya persembahan yang memukau.
Tahun 2017 menjadi detik gemilang apabila single “Jampi” bukan sahaja menjadi siulan ramai, tetapi juga mengangkat Hael sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32). Kemenangan itu diulangi setahun kemudian menerusi duet “Haram” bersama Dayang Nurfaizah, menjadikannya antara segelintir artis yang pernah merangkul trofi AJL dua kali berturut-turut.
Sebagai penulis lagu, Hael terus menyerlah dengan mencipta deretan hits seperti “Hajat”, “MATA”, “Lepaskan”, dan karya ikonik “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Menariknya, lagu ini mendapat penghormatan apabila dimasukkan dalam seleksi lagu rasmi rasmi pilihan diraja The King’s Music Room oleh King Charles III di Apple Music.
Ketika bercakap kepada media, Hael berkata, beliau teruja dengan pilihan tersebut dan tidak menyangka lagu ciptaannya menjadi lagu rasmi diraja sekali gus membuktikan anak seni sepertinya mampu berada di dalam lapangan seni antarabangsa.
"Saya tidak pernah menyangka lagu yang saya cipta akan berada dalam playlist rasmi seorang raja. Ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu penghormatan besar untuk muzik Malaysia," ujar Hael.
Menawan Dunia Fesyen, Mengharumkan Nama Malaysia di Peringkat Antarabangsa
Hael bukan hanya bersinar dalam dunia muzik. Namanya turut menyerlah di pentas fesyen antarabangsa apabila diundang menghadiri minggu fesyen di Milan dan Paris, selain memperagakan busana daripada jenama-jenama terkemuka seperti Kenzo, Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri dan Emporio Armani.
Kredibilitinya sebagai seniman Asia turut diiktiraf apabila lagu “Diam” ciptaannya dinobatkan sebagai Best Theme Song di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 yang berlangsung di Singapura.
Barisan Artis Jemputan Eksklusif: Gandingan Ikonik di Pentas
Sebagai penghormatan buat peminat yang selama ini menyokong perjalanan kariernya, konsert istimewa ini turut menyaksikan kemunculan beberapa artis jemputan yang bukan calang-calang. Hael bakal berkongsi pentas dengan Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali. Gabungan ini tentunya menjanjikan kelainan serta keistimewaan tersendiri.
"Dayang bukan sekadar rakan duet, tetapi sahabat yang saya hormati. Nadeera pula bakat besar yang bakal mewarnai industri, manakala Wany dan Nabila membawa identiti mereka sendiri. Saya sangat teruja dan mahukan peminat puas dengan persembahan malam tersebut," kata Hael penuh optimis.
Menariknya, satu hantaran misteri oleh Hael di platform X berbunyi “Siapa kata dua je?” mengundang spekulasi bahawa kejutan lain turut menanti pada malam konsert.
Bukan Sekadar Hiburan – Sebuah Pementasan Artistik dan Perjalanan Jiwa
"Konsert Hael Husaini & Repertoire" bakal membawa peminat menyelusuri perjalanan kerjaya Hael menerusi rangkaian lagu-lagu popularnya dalam susunan muzik baharu. Persembahan turut disokong dengan elemen visual sinematik dan segmen fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusinya sebagai pengkarya.
Kongsi Hael, konsert ini bakal membawa perubahan baharu bukan sahaja kepada muzik itu sendiri tetapi bagaimana seni dan lagu digabungkan dengan muzik yang dicipta dan ianya diolah melalui garapan fesyen yang mungkin sedikit berbeza ataupun ada kontranya.
"Saya mahu penonton bukan sahaja menyanyi bersama, tetapi merasai perjalanan hidup saya daripada duka, kejayaan, perjuangan hingga kepada transformasi diri sebagai seniman," jelas Hael.
Tawaran Eksklusif Untuk Peminat
Bagi anda yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket konsert sudah mula dijual menerusi platform rasmi ticket2u.com.my. Konsert ini turut disokong oleh rakan media seperti ERA, Sinar, Gegar serta rakan digital rasmi Gempak.
Harga tiket berharga serendah RM120 (Bronze Standing) sehinggalah VIP Box (Seated) berharga RM588 untuk 10 orang termasuk pas meet & greet, barangan rasmi, minuman & ruang eksklusif menanti anda.
0 Ulasan