Lebih 6,000 peminat membanjiri Pavilion Kuala Lumpur semalam sempena showcase istimewa Big Stage Alpha, menyaksikan tujuh finalis program realiti itu mencipta sejarah sebagai kumpulan lelaki pertama daripada program realiti tempatan yang beraksi di pentas utama pusat beli-belah ikonik tersebut.
Dianjurkan oleh Astro, acara ini bukan sekadar persembahan biasa, malah berfungsi sebagai pemanas pentas menjelang malam kemuncak Big Stage Alpha pada 15 Jun ini, yang dijangka menjadi penentu arah masa depan industri muzik tanah air.
"Tanpa kehadiran juri mahupun sesi latihan formal, persembahan showcase ini menyerlahkan keaslian serta bakat mentah para finalis dalam bentuk yang paling jujur dan organik sekali gus membuka ruang eksklusif buat peminat menyaksikan sendiri evolusi dan kematangan peserta dari dekat.
Antara finalis yang mencuri perhatian ialah Araff, yang berkongsi keterujaannya untuk beraksi di malam final. Menurutnya, tiada sebarang latihan kritikal dilakukan, cuma hanya latihan asas bagi memperkuatkan mental dan fizikal sekali gus membuktikan beliau antara peserta terbaik pada malam akhir nanti.
“Saya memang tak sabar untuk beraksi di malam final Ahad nanti. Tiada persiapan yang terlalu rumit. Saya percaya kepada kekuatan memahami lagu dan menyampaikannya dengan jujur. Harapan saya ialah agar kehadiran saya dalam industri ini diterima dengan baik, dan saya amat berterima kasih kepada semua yang menyokong saya,” ujar Araff, penuh rendah diri.
Bagi Ariel Fesol, setiap minggu di pentas Big Stage Alpha adalah pengalaman yang membina dan akan terus menjadi bekalan dalam mengharungi cabaran industri muzik tanah air.
“Minggu terakhir ini lebih menggamit emosi. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi kenangan dan pelajaran hidup. Jika saya terpilih sebagai pemenang dan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang bakal diwujudkan nanti, saya sudah bersedia memikul tanggungjawab itu. Sokongan peminat sangat bermakna buat saya dan mereka adalah nadi utama dalam perjalanan ini,” jelas Ariel penuh semangat.
Showcase tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan selebriti popular seperti Akim Ahmad, Shila Amzah, Amir Masdi, Wani Kayrie dan juri tetap program, Hael Husaini, di samping alumni Big Stage serta empat peserta Malaysia dari CHUANG Asia 2025.
Showcase ini turut memberi peluang eksklusif kepada peminat untuk menyertai sesi Meet & Greet serta membawa pulang cenderahati istimewa daripada Astro, menjadikannya pengalaman peribadi yang tidak ternilai buat penyokong tegar Big Stage Alpha.
Debaran menuju pentas akhir kini semakin terasa. Siaran langsung final Big Stage Alpha akan berlangsung pada Ahad, 15 Jun 2025, jam 9 malam di Astro Ria, Astro GO dan sooka. Peminat dijangka disajikan dengan persembahan berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mencorakkan masa depan landskap muzik tempatan.
0 Ulasan