Selepas sekian lama menghiburkan peminat secara tertutup, penyanyi berbakat Aruel Ariel akhirnya menarik nafas lega apabila berpeluang tampil dalam sebuah showcase eksklusif yang bakal berlangsung Ogos ini.
Acara yang diberi judul Malam Pesta Ronggeng akan berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 15 dan 16 Ogos 2025, bertempat di lokasi ikonik Saloma Kuala Lumpur. Persembahan istimewa ini bakal menjadi wadah untuk mengangkat semula keindahan muzik klasik; khususnya karya agung Tan Sri P. Ramlee dan Saloma yang diberi nafas baharu melalui sentuhan moden.
Lebih daripada sekadar hiburan, malam tersebut dijangka menjadi jambatan generasi, menyatukan peminat muzik lama dan baharu dalam satu malam penuh nostalgia, gaya dan pesona muzik sepanjang zaman.
Ketika ditemui media, vokalis utama Aruel & The Fasola, Aruel Ariel, 39, meluahkan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Saloma Kuala Lumpur untuk menjadikan lokasi ikonik itu sebagai pentas rasmi buat mereka.
“Ia satu penghormatan besar buat kami. Saloma Kuala Lumpur bukan sekadar lokasi strategik, tetapi sebuah lambang warisan seni negara. Dapat beraksi di sini benar-benar satu impian yang menjadi kenyataan,” ujarnya penuh syukur.
Mengangkat konsep elegan dan klasik yang mengimbau era keemasan 1940-an hingga 1960-an, acara anjuran HS Event & Entertainment ini menjanjikan sebuah pengalaman eksklusif yang pasti terpahat dalam ingatan pencinta muzik tempatan.
Dibarisi 10 pemuzik profesional serta penyanyi latar berpengalaman, Aruel & The Fasola bakal menghidupkan kembali aura ikonik ‘Buloh Inn’ dalam versi kontemporari 2025; lengkap dengan alunan muzik berinspirasikan Malay Jazz, Rumba, Cha Cha, Twist dan Bossa yang memikat.
Ronggeng: Lebih daripada sekadar nostalgia
Mengulas tema ‘ronggeng’ yang diangkat, Aruel menjelaskan ia bukan sekadar merujuk kepada tarian tradisional, sebaliknya simbol kepada suasana pesta rakyat yang penuh ceria, meriah dan membangkitkan rasa kebersamaan.
“Kami mahu semua yang hadir bangun dan menari. Inilah semangat Pesta Ronggeng yang ingin kami hidupkan, iaitu malam yang dipenuhi muzik, pergerakan dan emosi. Bukan sekadar duduk dan menonton," katanya.
Tambahnya lagi, persembahan ini adalah peluang terbaik buat pencinta muzik untuk menikmati keindahan lagu-lagu klasik dalam susunan moden yang segar dan berjiwa.
“Inilah masa untuk anda menikmati alunan muzik klasik tanpa sempadan. Buat peminat setia dan pencinta seni, kami menjemput anda hadir ke Saloma Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos nanti. Jangan lepaskan peluang ini,” ujarnya.
Raikan Seni, Warisan & Glamor dalam Satu Malam
Sementara itu, penganjur acara, Datin Riza Che Umar, menegaskan bahawa Malam Pesta Ronggeng bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya sebuah inisiatif berbudaya yang bertujuan memartabatkan semula muzik klasik dan tradisi tari Melayu dalam format yang lebih eksklusif dan kontemporari.
“Kami mahu generasi muda kembali menghargai keindahan muzik zaman silam. Malam ini bukan hanya sekadar jamuan makan malam penuh glamor, tetapi ruang istimewa untuk menyelami dan merasai semula keunikan seni warisan melalui pendekatan moden dan lebih segar,” jelasnya penuh semangat.
Lebih daripada sekadar penyanyi – Aruel turut bimbing bintang realiti TV
Selain menghiburkan peminat di pentas, Aruel Ariel turut diiktiraf sebagai salah seorang guru vokal pilihan selebriti tanah air. Beliau pernah membimbing bakat-bakat daripada pelbagai program realiti popular seperti Gegar Vaganza, Big Stage, The Chosen One, Famili Duo, AF Megastar, Anugerah Juara Lagu dan yang terkini, program pencarian bakat baharu Raise The Star Malaysia.
Nama Aruel mula meraih perhatian selepas penyertaannya dalam program Bintang Klasik 2014 anjuran RTM, diikuti pencapaian cemerlang sebagai Top 3 All Together Now Malaysia musim pertama (2021) dan kemuncak kejayaan sebagai Juara Getaran Jiwa 2022.
Aruel & The Fasola: Dari 'underground' ke pentas utama
Ditubuhkan sejak 2022, Aruel & The Fasola kini muncul sebagai salah satu kumpulan persembahan klasik kontemporari paling mendapat permintaan. Mereka berjaya mengangkat muzik era lama dalam susunan segar yang terus relevan ; menjadikan setiap persembahan mereka sebagai pengalaman eksklusif yang dinanti-nantikan.
Persembahan terbaharu mereka akan berlangsung di Bobo KL dari 24 hingga 26 Julai 2025, sebelum pentas kemuncak mereka di Malam Pesta Ronggeng di Saloma Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 2025.

.png)



0 Ulasan