LEGASI 4 DEKAD SHEILA MAJID

Walaupun hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum detik penuh bersejarah itu tiba, nama penyanyi legenda era 1980-an dan Ratu Jazz Negara, Dato' Sheila Majid, terus mekar dalam ingatan bangsa. Beliau bukan sekadar ikon seni tempatan, malah telah menjadi lambang keunggulan muzik Nusantara yang menembusi sempadan Asia.

Dalam perjalanan empat dekad dalam industri hiburan, Sheila telah mengukir pencapaian luar biasa dengan menghasilkan lapan album studio dan membintangi tiga filem ikonik seperti Ali Setan (1985), Bayi Tabung (1988) dan Sinaran (2015). Pada tahun 1989, beliau mencipta sejarah apabila menembusi pasaran muzik Jepun menerusi edisi khas albumnya yang dilancarkan secara eksklusif untuk peminat antarabangsa.

Sebagai penghargaan tertinggi terhadap sumbangan seni yang tidak ternilai ini, Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show mempersembahkan konsert agung – Sheila Majid: 40 Years in Music. Acara ini merupakan perayaan yang merangkum kisah cinta, dedikasi dan legasi seorang ratu yang terus bernyawa dalam denyut nadi industri muzik tanah air.

Memilih Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November nanti, Sheila atau lebih tepatnya, Shaheila binti Abdul Majid, 60, menyatakan rasa syukurnya sebagai penyanyi era 1980-an yang terus diminati oleh peminat yang menghargai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan.

"Saya sering berdoa agar Allah S.W.T sentiasa merestui perjalanan karier saya. Dalam usia separuh abad ini, saya masih diberkati dengan rezeki yang berterusan. Saya berharap perjuangan saya tetap utuh selagi hayat mengiringi nadi," ujarnya.

Bagi beliau, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, malah diharapkan mampu mengukir sejuta kenangan yang abadi dalam sejarah dan memori peminat tegar.

"Empat dekad bukan hanya angka; ia adalah rakaman hidup. Lagu-lagu saya bukan sekadar melodi, tetapi pantulan hati dan perjuangan seorang wanita di pentas seni. Dengan bakat yang dipinjamkan Allah, saya bersyukur kerana masih diminati, dan saya yakin persembahan ini akan mengimbau sejarah serta perjuangan saya dalam industri muzik," tambahnya.

Konsert yang bakal menyajikan hampir lebih 40 lagu pilihan ini bukan hanya meraikan perjalanan karier, malah menegaskan warisan, perjuangan dan cinta yang tidak pernah pudar terhadap muzik dan peminat. Beliau pernah bekerjasama dengan barisan komposer dan penggubah muzik tempatan serta pemuzik antarabangsa seperti Nathan East (AS), kumpulan Fourplay, Rex Goh dan Aska Kaneko (Jepun). Kini, gabungan empat ikon muzik terkemuka, Mac Chew, Jenny Chin, Jennifer Thompson dan Steve Ho akan membawa sentuhan keajaiban bagi Sheila Majid dalam persembahan yang penuh makna ini.

Mac Chew dan Jenny Chin, yang telah menjadi pengarah muzik bagi kebanyakan album Sheila sejak tahun 1987, bersama-sama dengan barisan kreatif yang lain, bakal mempersembahkan persembahan berjiwa yang menyuntik magis pada setiap dentuman lagu.

Bukan Tribute. Ini Sejarah Yang Hidup.

Berbeza dengan konsert ulang tahun biasa, Sheila Majid: 40 Years in Music bukan semata-mata mengenang masa lalu, tetapi menyambung naratif yang masih segar. Ia mengajak kita mengembara dari era 80-an dan 90-an, ketika lagu-lagu seperti Sinaran, Legenda, Warna, dan Antara Anyer dan Jakarta dilahirkan, sehingga hari ini, suaranya masih bergema dalam kalbu generasi baharu.

"Konsert ini bukan tribute; ia adalah perjalanan yang masih bernyawa. Sebuah evolusi seni yang terus berkembang dengan cinta peminat. Sebagai peminat muzik dan penyanyi saya, anda wajar menyaksikan persembahan istimewa ini," kata Miselyn Yee dari Altus Prohouse.

Bermula sebagai penyanyi muda yang menongkah arus dengan gaya jazz yang unik pada masanya, Sheila Majid membuktikan bahawa keaslian dan keyakinan terhadap identiti diri adalah kunci sejati. Beliau bukan sahaja membuka jalan, malah membina jambatan yang menyatukan generasi dan budaya serantau. Di sepanjang empat dekad, Sheila telah menjadi antara penyanyi Malaysia pertama yang menjayakan konsert solo di Jakarta, Tokyo dan Royal Albert Hall London serta meraih pelbagai anugerah seperti Anugerah Khas AIM dan Anugerah Kecemerlangan Seni Negara, selain pengiktirafan di peringkat Asia.

Sebagai ikon seni suara tanah air, Sheila Majid telah menjadi suara wanita yang memperjuangkan emosi, cinta dan martabat melalui lirik-lirik yang memukau, menghiasi halwa telinga pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat. Tiket untuk menyaksikan persembahan penuh makna ini ditawarkan bermula dari RM268 sehingga RM3,400 dan boleh diperoleh di laman Ticket2u.

Catat Ulasan

0 Ulasan