ELITE CIPTA NOSTALGIA

Konsert Elite yang berlangsung malam tadi membuktikan bahawa pesona mereka masih berbisa. Meski hampir tiga dekad berlalu sejak debut pertama, kumpulan wanita ikonik ini tampil penuh tenaga, menghidupkan kembali aura 90-an sambil mengundang tawa dengan gelagat bersahaja mereka di pentas.

Dari Fenomena ke Legenda Pop

Elite mula dikenali pada tahun 1996, ketika industri muzik tempatan dibanjiri dengan kebangkitan kumpulan pop. Dianggotai oleh nama-nama yang juga bersinar dalam bidang lakonan dan hiburan antaranya Abby Abadi, Azza, Linda Rafar, Watie dan Sasha Saidin, Elite hadir dengan imej bertenaga, gaya tarian tersendiri, dan semangat “girl power” yang menjadikan mereka dekat di hati remaja ketika itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Elite antara pelopor kumpulan wanita paling berjaya di Malaysia. Di bawah naungan KRU Records, mereka meluncurkan album sulung “Catwalk” (1996) yang pantas melonjakkan nama kumpulan ini. Lagu-lagu seperti Catwalk dan G.I.G segera menjadi siulan generasi muda.

Dengan sentuhan kreatif komposer berbakat yang juga anggota kumpulan muzik lelaki popular KRU, Edry, Norman dan Yusry, Elite tampil dengan deretan album yang mengukuhkan nama mereka dalam industri. Bermula dengan Catwalk (1996), diikuti Tamparan (1998), Idola (1999) dan Merbahaya (2000), setiap karya hadir dengan warna baharu yang menyegarkan genre pop tempatan. Gandingan rentak rancak, koreografi bertenaga, serta lirik ringan yang mudah diingati menjadikan Elite bukan sekadar kumpulan hiburan, tetapi ikon budaya pop wanita Malaysia pada era 90-an.

Konsert yang Sarat Energi & Nostalgia

Di pentas, Elite membuktikan bahawa usia bukan halangan. Gelagat santai “mak-mak” ini membuatkan penonton tidak kering gusi, manakala vokal serta tarian mereka tetap mengekalkan identiti asal. Sorakan peminat baik yang membesar dengan muzik Elite mahupun generasi baharu yang sekadar mengenali lagu-lagu popular mereka mencipta suasana yang hangat dan penuh emosi.


Kami sendiri terharu bila tengok ramai yang masih ingat lagu-lagu Elite. Walaupun dah lama tak aktif, sokongan macam ini buat kami rasa muda semula seolah-olah kembali ke zaman 90-an,” ujar Azza sambil menerima tepukan gemuruh penonton.

Linda Rafar pula menzahirkan rasa syukur dengan menyifatkan sokongan peminat sebagai nadi utama kebangkitan mereka di pentas malam itu.

Kalau bukan kerana peminat, Elite takkan bertahan sampai sekarang. Malam ini sebenarnya bukan sekadar konsert kami, tetapi konsert kenangan yang kita kongsi bersama,” katanya penuh emosi.

Manakala gelagat spontan Abby Abadi dan Watie di atas pentas, dengan jenaka bersahaja mereka, membuatkan penonton tidak kering gusi. Sasha Saidin pula berterus terang, mengakui bahawa meskipun mereka sudah lama tidak aktif di pentas nyanyian, sokongan luar biasa daripada peminat malam itu memberi bukti sebaliknya.

Memang stamina tak sama macam dulu, tapi semangat tu masih ada. Yang penting kita happy, dan penonton pun happy,” katanya sambil disambut sorakan penonton.

Lebih Daripada Muzik

Apabila ditinjau dari perspektif muzik, Elite mencerminkan peralihan penting dalam landskap hiburan Malaysia pada era 90-an. Mereka memperlihatkan bagaimana kumpulan wanita mampu menguasai pasaran yang ketika itu lebih condong kepada boyband atau penyanyi solo lelaki. Kehadiran Elite menandakan bahawa “girl group” tempatan juga boleh membina pengaruh dan mencipta fenomena.

Hari ini, Elite bukan hanya nostalgia, tetapi simbol ketahanan dan persahabatan. Mereka berdiri sebagai bukti bahawa muzik bukan sekadar hiburan, ia adalah sejarah budaya, identiti generasi, dan jambatan emosi antara artis dan peminat.

Catat Ulasan

0 Ulasan