Menonton persembahan Noryn Aziz baru-baru ini ibarat menyaksikan kelahiran semula seorang penghibur sejati di pentas seni tempatan. Dengan deretan lagu R&B yang bernafas jazz, beliau memintal melodi menjadi jalinan emosi, lalu membelai jiwa setiap pendengar. Malam itu, Noryn membuka tirai dengan Feeling Good, seakan menghembuskan magis ke seluruh ruang, menghadirkan aura seorang diva yang tidak sekadar menyanyi, tetapi menguasai semesta pentas. Pesonanya melangkaui sempadan, seolah-olah kita sedang berada di hadapan nama-nama agung dunia seperti Nina Simone, Doris Day, Adele atau Michael Bublé, namun tetap dengan jiwa Melayu yang merdu dan berakar.
This Is Noryn Aziz, yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jumaat lalu, menjadi saksi bahawa Noryn bukan sekadar menyanyi, tetapi mengikat ratusan jiwa agar tidak berganjak walau seketika. Setiap lagu yang dilontarkan daripada Feeling Good, Cerita Cinta, Alam Maya, Make It On My Own, Kembalikan, Autumn Leaves, Jauh-Jauh hingga Kertas, bagai untaian kisah yang mengalir deras, menyentuh sukma penulis yang jarang sekali berdepan sebuah persembahan seintim dan sehebat ini daripada penyanyi bertaraf legenda.
Selama lebih dua jam, pentas itu dipenuhi getar jazz yang diperkaya dengan roh R&B, seindah pilihan repertoar yang dirangkai penuh teliti. Setiap hela nafas vokalnya sarat penghayatan, memancarkan kematangan seorang seniman yang telah menjadikan kelainan gaya sebagai tanda dagangan, dan pada malam itu, Noryn Aziz berdiri sebagai bukti bahawa muzik bukan sekadar suara, tetapi satu pengalaman rohani.
Noryn turut membawa penonton mengimbau perjalanan seninya apabila menghadiahkan segmen khas Gegar Vaganza, menyanyikan kembali lagu-lagu yang pernah memahat kenangan dalam program realiti tersebut. Antara yang dipersembahkan termasuk Fantasi Realiti, Trauma, Akhirnya Kini Pasti, di samping Where Is The Love dan I’m Every Woman yang disampaikan penuh bertenaga bersama Dina Nadzir, pengacara merangkap rakan duet istimewa malam itu.
Keupayaan Noryn menguasai pentas sepanjang segmen ini bukan sekadar menyerlahkan keutuhan vokalnya, tetapi juga menghadirkan pesona seorang showgirl yang memikat sekali gus menghiburkan hampir 500 penonton dengan aura yang tidak pernah luntur sejak langkah pertama di pentas hingga tirai terakhir ditutup.
Dari segi persembahan mahupun gaya pentas, jelas terpancar jiwa dan identiti seorang penghibur sejati.
“Sejak mula melangkah ke pentas, saya sudah membawa jiwa seorang showgirl. Saya lebih gemar membuat persembahan secara langsung dan mempelbagaikan warna vokal dalam nyanyian saya,” ujar Noryn pada sidang media seusai persembahan, menegaskan falsafah seni yang dipegangnya.
Meskipun pasaran muzik jazz di negara ini dilihat agak niche, genre tersebut tetap memiliki khalayak setia yang menghargai kehalusan seni dan kejujuran emosi. Showcase itu, dengan segala kepelbagaian repertoar dan kekuatan penghayatan, menjadi santapan jiwa buat penggemar jazz yang mendambakan sebuah persembahan berkualiti.
Lebih menarik, bagi mengikis persepsi bahawa jazz hanya milik kelompok bandar, pemilik nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz, 48, tampil berani dengan single terbaharunya Kaki Kiriku — sebuah eksperimen yang menyatukan elemen jazz klasik dengan ritma joget, menyulam tradisi dengan modeniti dalam harmoni yang segar.
Lagu ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng, dengan lirik nukilan Reza sendiri, bukan sekadar taruhan terbaharu buat Noryn Aziz, tetapi juga sebuah misi memperkasa bahasa dan budaya melalui medium muzik.
Namun, malam yang penuh gemilang itu turut dihiasi sebuah momen tidak terduga. Ketika ingin menyampaikan Kaki Kiriku, Noryn tergelincir di atas pentas ; satu detik yang seketika mengundang debar. Namun, dengan ketenangan seorang penghibur sejati, beliau segera bangkit dan mengawal situasi dengan penuh profesionalisme, seolah-olah insiden itu hanyalah sebahagian daripada naratif persembahan.
“Sebenarnya, bila terjatuh tu saya risau juga. Sebagai penyanyi, kalau boleh kita mahu semuanya kelihatan sempurna. Ini bukan kali pertama saya terjatuh ketika membuat persembahan. Tetapi daripada pengalaman lalu, saya belajar untuk kekal profesional setiap kali berdepan situasi sebegini,” kongsinya, jujur tetapi tetap berwibawa.
Meskipun penulis pada asalnya hadir sekadar menemani seorang rakan yang juga pereka fesyen terkemuka dengan membeli tiket bukan jemputan media, pengalaman malam itu ternyata jauh lebih berharga daripada nilai yang dilaburkan. Keghairahan penonton yang memenuhi auditorium, terdiri daripada penggemar muzik sejati, tokoh politik, insan seni, figura korporat, bahkan tetamu diraja menjadi saksi bahawa persembahan ini bukan sekadar sebuah showcase biasa. Ia mengangkat nama Noryn Aziz ke tahap eksklusif, membuktikan bahawa beliau bukanlah penyanyi sembarangan, tetapi seorang penghibur yang dirai di pentas penuh martabat.






0 Ulasan