3 KISAH SATU ASPIRASI : VIU DEKATI GENERASI DIGITAL

Viu Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju penstriman kandungan tempatan dengan melancarkan tiga drama remaja baharu; Putri & Phrince, Puteri Kelas Atas dan 100 Days To Ask Your Crush Out. Ketiga-tiga naskhah ini mengetengahkan naratif yang dekat di hati generasi muda, sambil mencerminkan realiti kehidupan remaja masa kini yang berdepan cabaran media sosial, pencarian identiti, serta debaran cinta pertama.

Ditayangkan sejak 21 Ogos lalu, Putri & Phrince arahan Liyana Jasmay mengetengahkan isu dwi identiti, tekanan populariti dan dilema moral dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Siri 12 episod ini mengisahkan Putri Jasmine (Nesa Idrus) yang mewujudkan identiti rahsia @KarmaKween di media sosial untuk membongkar sisi gelap golongan elit sekolahnya, sekali gus menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kebenaran wajar dipertahankan dalam dunia maya yang sarat persepsi. Diterajui barisan bakat muda seperti Badron Munirah, Fara Nadiah, Nik Rifaie dan Khayrisyah Kemal, drama ini menyerlahkan suara generasi media sosial yang kian kritis dan lantang.

Menjelang tirai penamat Putri & Phrince pada 25 dan 26 September, Viu memilih untuk meraikannya dalam sebuah perayaan bertemakan Royal Night pada 18 September lalu. Malam yang dipenuhi cahaya dan simbolisme ini menghimpunkan peminat, pelakon, rakan media  serta rakan penaja, lalu dihidupkan dengan alunan persembahan Valerayy, Killa Driz dan Ismail Izzani yang menambah getar emosi pada suasana. Lebih daripada sekadar sebuah acara hiburan, Royal Night berdiri sebagai jambatan antara penutup sebuah kisah dan kelahiran sebuah lagi naratif , Puteri Kelas Atas yang akan mula bersiaran pada 23 September ini. Ia hadir bukan sahaja sebagai drama baharu, tetapi sebagai cerminan kesinambungan cerita, menandai bagaimana dunia remaja terus ditafsirkan semula di layar kecil dengan semangat yang segar dan berlapis makna.

Puteri Kelas Atas arahan Tam Suhaimi menampilkan Emma Sofea sebagai Tunku Fatima Amelia, seorang puteri raja yang memilih untuk melarikan diri daripada kehidupan istana demi merasai kebebasan sebagai pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Namun, kebebasan yang dicari segera membuka ruang kepada konflik baharu apabila Amelia berdepan dengan pelbagai watak, Zaid (Azri Safix), si pemberontak berprinsip; Iqbal (Jay Iskandar), ketua pengawas yang tegas dan mencabar; Akid (Mokhtar Mohsin), atlet pujaan ramai yang melihat dirinya seadanya; serta Tunku Rafeeq (Razin Qidran), tunang diraja yang hadir untuk mengawasi setiap langkahnya. Menerusi 12 episod yang sarat drama, percintaan dan pencarian identiti, siri ini menyulam semula dongeng klasik dalam latar Malaysia yang segar, unik dan penuh warna.

Melengkapkan strategi kandungan remaja, Viu dengan kerjasama NIVEA mempersembahkan siri pendek 100 Days To Ask Your Crush Out. Diterajui pengarah Kye Fariz, drama 30 episod yang ditayangkan secara harian ini mengangkat tema keberanian, keyakinan diri dan debaran cinta pertama. Kisahnya berpusat pada Yana (Harissa Adlynn) yang hanya mempunyai 100 hari untuk menawan hati jejaka kampus pujaannya, Razif (Aiman Tino), dengan bantuan sahabat karibnya Hafiz (Aniq Suhair). Ringan dan humoris tetapi sarat emosi, naratif ini mengekalkan momentum Viu dalam menerbitkan siri pendek yang dekat dengan generasi muda, meneruskan kejayaan judul terdahulu seperti Tiada Seperti Leyla, Persis Boneka dan Andartu Kosmopolitan.

Eric Siew, Country Manager Viu Malaysia, menegaskan bahawa strategi ini melambangkan komitmen Viu untuk terus menghadirkan penceritaan lokal yang segar, berani dan relevan.

"Apa yang kami tawarkan bukan sekadar hiburan, tetapi refleksi terhadap kisah-kisah yang membentuk generasi muda hari ini. Putri & Phrince membicarakan kuasa media sosial, Puteri Kelas Atas mengangkat naratif identiti dan kebebasan, manakala 100 Days To Ask Your Crush Out meraikan debaran cinta pertama. Kesemuanya adalah aspirasi kami untuk sentiasa dekat di hati penonton Gen Z," jelasnya.

Dengan rangkaian cerita yang berlapis, disokong gandingan bakat baharu serta kehadiran artis popular tanah air, Viu Malaysia meneguhkan peranannya sebagai platform penstriman yang bukan sahaja menawarkan tontonan maraton yang menghiburkan, tetapi juga menjadi wahana penting bagi suara generasi digital. Kehadiran tiga drama ini memperkukuh lagi jenama Viu sebagai peneraju penceritaan lokal yang berani, kontemporari dan sarat makna , menjadikan kisah remaja bukan sekadar hiburan, tetapi juga cerminan aspirasi dan keresahan generasi masa kini.

Dari perspektif industri, langkah ini menandakan bagaimana Viu tidak sekadar memburu tontonan, tetapi membina ruang wacana tentang generasi muda yang hidup dalam pusaran media sosial dan pencarian identiti. Dengan menyalurkan kisah-kisah yang berakar pada realiti semasa namun bernafas global, Viu bukan sahaja mengekalkan relevansi dalam pasaran OTT yang sarat persaingan, malah membuka horizon baharu untuk bakat muda tempatan bersuara di pentas antarabangsa. Dalam konteks ini, drama-drama remaja bukan lagi hanya hiburan ringan, tetapi menjadi cermin zaman yang merakam denyut aspirasi, keresahan, dan harapan generasi digital yang sedang membentuk wajah budaya masa depan.

Catat Ulasan

0 Ulasan