Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment dengan penuh bangga mengumumkan pelancaran eksklusif semua lapan album Dato' Sheila Majid dalam format vinil, suatu pencapaian julung-julung kali oleh seorang artis Malaysia.
Edisi terhad ini bukan sahaja menandakan sambutan ulang tahun ke-40 Dato' Sheila Majid dalam industri muzik, tetapi juga menjadi hadiah istimewa buat para peminat yang membesar dengan karya agung beliau.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, menjelaskan bahawa pelancaran vinil ini bukan sahaja bertepatan dengan Konsert Sheila Majid: 40 Years in Music pada 8 November nanti, tetapi turut berperanan sebagai penghormatan kepada legasi 40 tahun beliau dalam dunia muzik.
“Selain itu, ramai peminat sering bertanya bilakah semua album Dato' Sheila Majid akan diterbitkan dalam format vinil. Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki keseluruhan katalog albumnya dalam bentuk vinil.
“Kami berharap edisi ini juga dapat mengimbau kembali kenangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu Dato' Sheila Majid, sambil menelusuri perjalanan seni beliau sepanjang dekad,” katanya.
Pelancaran ini mencatat sejarah, apabila buat pertama kalinya semua album Dato' Sheila Majid diterbitkan dalam format vinil. Lebih istimewa, hanya 300 set tersedia untuk peminat, menjadikannya koleksi yang sangat eksklusif.
Pra-tempahan akan dibuka mulai 23 September 2025, jam 12.00 tengah hari pada harga istimewa RM1,499.00, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599.00. Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025.
Projek bersejarah ini turut melibatkan kerjasama beberapa label utama, termasuk EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia, dan Magada Entertainment Sdn. Bhd.
Set eksklusif ini dijangka menjadi koleksi berharga bukan sahaja bagi peminat setia Dato' Sheila Majid, tetapi juga untuk pencinta muzik dan pengumpul vinil. Lapan album yang disertakan ialah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita, dan Boneka.
Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan serta butiran pelancaran, sila ikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di platform media sosial.





0 Ulasan