MUZIKAL LAWAK SUPERSTAR KEMBALI GEGAR PENTAS

Arena komedi tanah air kembali bergema! Selepas mencipta fenomena dalam musim-musim terdahulu, Muzikal Lawak Superstar (MLS) kini muncul semula dengan edisi kelima yang tampil lebih megah dan epik melalui tema “Clash of Empire”.

Bermula 11 Oktober 2025, pentas lawak paling hangat ini bakal menghidangkan 8 minggu penuh gelak tawa, kreativiti dan persembahan muzikal serba segar. Saksikan secara langsung, setiap Sabtu, jam 9.00 malam hanya di Astro Prima (Saluran 105).

Dengan tagline penuh warna, “Arena Pahlawan Terbahak Kau Kaw”, Muzikal Lawak Superstar 5 tampil melangkaui batas sebuah pertandingan lawak semata-mata. Setiap kumpulan bukan sekadar penghibur, sebaliknya menjelma sebagai wira empayar agung yang diinspirasikan daripada peradaban legenda dunia dari kegagahan Rom hingga ke keindahan Nusantara, daripada Dinasti Ming sehinggalah ke Ayutthaya.

Laksana pahlawan di medan tempur, para peserta bakal berentap saban minggu dengan jenaka tajam, lakonan penuh gaya dan persembahan muzikal segar yang dijalin untuk menawan hati penonton serta juri.

“Bagi kami di Astro, Muzikal Lawak Superstar bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi sebuah pentas penting yang mengangkat martabat komedi sebagai sebuah seni,” ujar Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Prima.

Tambahnya lagi, program ini memberi ruang unik kepada bakat-bakat ‘tidak disangka’  daripada pelakon, penyanyi hinggalah ke pempengaruh untuk menonjolkan sisi komedi mereka yang jarang dipertontonkan. Di sinilah, keupayaan mereka membina jenaka melalui lakonan dan kreativiti menjadi taruhan utama dalam usaha merebut gelaran terbaik.

Musim kelima ini menyatukan 10 empayar lawak, setiap satunya diperkasa oleh tiga ‘pahlawan’ pentas. Antara wajah baharu yang mencuri perhatian termasuk Maryam Kimchi, Aishah Azman, Waarn, Norreen, Zul Huzaimy dan Naqiu. Mereka bakal beraksi seiring dengan bintang-bintang yang sudah sebati dengan dunia komedi tempatan seperti Fad dan Achey Bocey, Man Raja Lawak, Ali Puteh, Chiwan, Shashic dan ramai lagi.

Lebih istimewa, MLS5 turut mengembalikan ‘otai’ legenda ke gelanggang, antaranya pelakon komedi tersohor Joey Daud serta pengarah prolifik Aziz M. Osman. Kehadiran mereka bukan sahaja menyuntik pengalaman dan kredibiliti, tetapi juga menghadirkan aura nostalgia yang pasti membangkitkan keterujaan penonton.

Menghangatkan lagi suasana, Dato’ AC Mizal sekali lagi tampil sebagai pengacara ikonik yang bakal mengemudi pentas utama MLS5. Namun, kejutan terbesar musim ini terletak pada rombakan penuh barisan juri.

Buat pertama kalinya, kerusi penilaian akan dihuni oleh gandingan tiga nama besar antaranya Datuk Aznil Haji Nawawi (Pak Nil) yang terkenal dengan karisma serta ketajaman ulasan, Zizan Razak yang membawa aura pelawak dan pelakon versatil, serta bintang popular Bella Astillah yang mewakili suara generasi muda. Kombinasi baharu ini dijangka menghadirkan perspektif segar sekaligus menjadikan setiap persembahan lebih mencabar dan dinantikan.

Selain menyaksikan persembahan utama setiap minggu, peminat juga berpeluang menikmati sorotan eksklusif di balik tabir termasuk kapsul mingguan, diari persediaan peserta, serta momen istimewa yang tidak ditayangkan di kaca televisyen. Semua ini boleh distrim mudah menerusi Astro GO, sooka dan platform digital Astro Gempak, menjadikan pengalaman menonton MLS5 lebih dekat dan menyeluruh.

Lebih menarik, musim ini turut mendapat suntikan semangat daripada Alicafé selaku penaja utama. Dengan slogan “Tenaga Legenda”, jenama kopi popular itu membawakan aura bertenaga yang seiring dengan misi MLS5 iaitu mencetuskan gelombang lawak penuh kreativiti dan stamina sepanjang musim.

Jadi, bersiaplah untuk 8 minggu penuh ledakan tawa, kreativiti muzikal dan drama empayar yang mendebarkan. Muzikal Lawak Superstar 5 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi sebuah perayaan komedi agung yang menjanjikan gelak ketawa, kejutan dan momen tidak terlupakan sekali gus menyatukan seluruh rakyat Malaysia di depan kaca televisyen.

Catat Ulasan

0 Ulasan