BORNEO FASHION WEEK 2025: SERLAHKAN BAKAT PEREKA TEMPATAN KE PENTAS DUNIA

Dunia fesyen sekali lagi menumpukan pandangan ke Malaysia apabila Borneo Fashion Week (BFW) 2025 bersedia membuka tirai pada 10–11 Oktober di Pavilion Damansara Heights. Membawa tema “Fashion With Purpose”, edisi kali ini bukan sekadar sebuah pertunjukan peragaan, tetapi sebuah pengalaman imersif yang menyatukan kelestarian, warisan budaya, serta rekaan bertaraf dunia.

Dari Borneo ke Dunia

Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, figura yang sinonim dengan dunia ratu cantik dan fesyen tempatan, Borneo Fashion Week (BFW) bermula daripada sebuah aspirasi untuk memperjuangkan budaya masyarakat pribumi sambil mentakrifkan semula kedudukan Asia dalam landskap haute couture global.  Sejak kelahirannya, acara ini kian menanjak sebagai magnet utama dalam kalendar kreatif rantau ini, menghimpunkan pereka, peragawati dan penggiat industri dari pelbagai benua.

Borneo Fashion Week bukan sekadar fesyen, ia tentang identiti, kebanggaan dan keberadaan,” ujar Stephanie, yang pernah dinobatkan sebagai Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, selain merupakan finalis Dewi Remaja 1989 dan naib juara Miss Malaysia 1990.

Fashion With Purpose: Naratif Baharu Fesyen Asia

Tema “Fashion With Purpose” menjadi nadi BFW 2025, mengangkat fesyen melampaui batas estetika semata-mata. Ia ditakrifkan sebagai wahana untuk menyemai kelestarian, merayakan warisan budaya, serta memperkasa nilai ekonomi kreatif. Uniknya, setiap pereka diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berteraskan kelestarian ; suatu inisiatif yang memperlihatkan bagaimana inovasi kontemporari mampu berjalan seiring dengan kesedaran terhadap alam.

Dari tekstil tradisional dan seni pertukangan Borneo hinggalah kepada siluet moden yang bergema di pentas antarabangsa, acara ini menghadirkan sebuah perayaan visual yang memikat, menghubungkan tradisi dengan kemodenan dalam satu naratif bergaya.

Matlamat utama kami adalah untuk meletakkan Borneo Fashion Week bukan sekadar pentas peragaan. Ia merupakan platform penceritaan, memupuk kelestarian, dan mengangkat warisan budaya,” jelas Stephanie.

Gapaian Global, Impak Lokal

BFW 2025 tampil dengan visi yang lebih berani, merentas batas geografi untuk memperkukuh kedudukannya sebagai festival fesyen bertaraf dunia. Kerjasama strategik bersama media antarabangsa dan pempengaruh fesyen memberi ruang lebih luas buat pereka tempatan, menjadikan acara ini medan lonjakan ke pentas global. Malah, rundingan bersama beberapa jenama serta nama besar antarabangsa sedang giat dijalankan, membuka jalan kepada kolaborasi lintas sempadan yang diyakini mampu menambah prestij BFW di mata dunia.

Keistimewaan festival ini terletak pada prinsip kesetaraan: pereka baharu diberi peluang setara dengan nama-nama besar industri. Mereka bukan sahaja berkongsi pentas yang sama, malah menikmati liputan media yang setanding serta akses kepada rangkaian profesional berskala global. Dengan pendekatan inklusif ini, suara baharu fesyen diyakini bergema seiring dengan legasi mereka yang sudah mapan.

Kelestarian, Warisan & Rakan Strategik

BFW 2025 tidak sekadar meraikan kreativiti fesyen, tetapi turut mengangkat agenda kelestarian sebagai teras utamanya. Selain menampilkan rekaan mesra alam, festival ini mengekalkan jati diri budaya Borneo melalui motif, tekstil, dan seni pertukangan tradisional yang diberi sentuhan moden, menjadikannya relevan serta mempesona di mata global.

Keunggulan ini diperkukuh dengan sokongan rakan strategik seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights. Kehadiran mereka bukan sahaja memperkukuh ekosistem acara, malah mengukuhkan identiti BFW sebagai sebuah festival gaya hidup menyeluruh yang menyatukan fesyen, inovasi dan wellness dalam satu ruang.

Kelestarian bukan sekadar tema, ia disulam dalam keseluruhan acara daripada syarat rekaan, pemilihan bahan sehinggalah ke produksi. Dalam masa yang sama, identiti budaya Borneo tetap menjadi nadi, memberi tradisi wajah baharu yang segar dan kontemporari,” ujar Stephanie.

Menyemai Visi Masa Depan

Stephanie menzahirkan aspirasi jangka panjangnya untuk melihat Borneo Fashion Week diiktiraf sebagai salah satu hub fesyen utama rantau ini, malah tersenarai dalam kalendar tahunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seiring dengan kempen Visit Malaysia 2026.

Visi saya adalah agar BFW diiktiraf secara global sebagai hub yang menyatukan budaya, kelestarian dan inovasi, Dalam jangka panjang, platform ini akan terus memupuk bakat tempatan, membuka ruang kolaborasi global, serta mencipta peluang ekonomi yang nyata buat pereka dan pengkarya dari Malaysia dan Borneo," kata Stephanie. 

Dengan visi tersebut, Borneo Fashion Week 2025 bukan sekadar sebuah pertunjukan fesyen tetapi ianya sedang mengorak langkah menjadi sebuah gerakan budaya, ekonomi, dan gaya hidup yang berakar dari Borneo, namun bergaung hingga ke persada dunia.

BFW 2025: Lebih Dari Sekadar Fesyen

Edisi kali ini bakal mempersembahkan gabungan nama-nama besar bersama bakat baharu dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Vietnam. Antara yang bakal menyerikan pentas BFW 2025 termasuk Angelique, Calvin Thoo, December Teo, Wan Bynun, Penan Bag, Maswira Majid, serta pereka tersohor serantau seperti Hayden Ng (Singapura), Bianca (Vietnam) dan Bilang (Brunei). Kehadiran mereka mengukuhkan lagi status festival ini sebagai sebuah pentas yang merentas sempadan budaya dan geografi.

Borneo Fashion Week 2025 bukan sekadar perayaan fesyen, tetapi sebuah wadah yang menyuarakan naratif tentang siapa kita, dari mana kita berakar, dan ke mana kita melangkah. Ia membuktikan bahawa fesyen mampu menjadi jambatan antara tradisi dan inovasi, antara identiti tempatan dan aspirasi global. Dari Borneo ke dunia, BFW hadir bukan hanya untuk mempamerkan gaya, tetapi untuk merakamkan sebuah perjalanan budaya yang terus hidup dan berdenyut dalam arus kontemporari.

Catat Ulasan

0 Ulasan