NADA MURNI SATUKAN SEMULA 'RABBANI' DAN 'HIJJAZ' DI PENTAS

Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kumpulan legenda nasyid tanah air, Nada Murni, bakal kembali mencetuskan nostalgia melalui Konsert Lagenda Nada Murni yang bakal berlangsung pada 7 Disember 2025 bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Konsert anjuran Karri Talk Production dan Westzone Entertainment ini dijangka menjadi pertemuan bersejarah, menghimpunkan dua nama besar lahir daripada teras asal Nada Murni  iaitu Rabbani dan Hijjaz bersama bekas anggota lain yang pernah mewarnai era kegemilangan nasyid tanah air.

Lebih menarik, penonton bakal dihidangkan dengan perjalanan muzik yang bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi turut meraikan warisan seni yang telah membentuk landskap hiburan Islamik sejak tahun 1980-an.

Menurut ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abd. Aziz, konsert ini bersifat eksklusif sebagai sebuah persembahan seni, dan menegaskan ia tidak mempunyai kaitan dengan pertubuhan Al-Arqam yang pernah menaungi kumpulan itu sebelum diharamkan pada tahun 1994.

Konsert ini bukan sahaja menjadi medan penyatuan semula legenda, malah simbol kepada keabadian karya Nada Murni yang terus hidup dalam ingatan peminat lintas generasi.

Kami memang bekas pelajar Al-Arqam tetapi tidak pernah terikat dengan aktivitinya. Selepas pengharaman, kami membawa haluan sendiri dan membina legasi masing-masing," katanya ketika sidang media pengumuman konsert tersebut di ibu negara. 

Itulah penegasan yang lahir penuh keikhlasan daripada anggota teras Rabbani dan Hijjaz ketika mengumumkan detik bersejarah ini di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.

Bagi mereka, masa silam hanyalah sebahagian perjalanan, bukan bayangan yang membelenggu. Setelah puluhan tahun, masyarakat kini lebih mengenali Rabbani dan Hijjaz sebagai lambang nasyid moden,  nama yang sinonim dengan lagu-lagu malar segar yang terus bernafas merentasi generasi.

Kami tidak bimbang konsert ini dibayangi sejarah lampau. Peminat sudah matang menilai karya kami secara profesional,” ujar mereka penuh keyakinan.

Nada Murni, yang ditubuhkan sekitar 1987, pernah dianggap pelopor nasyid moden Malaysia. Dari lorong kecil Kampung Sungai Penchala tanpa studio rakaman, lahirlah suara-suara tulus yang menyampaikan dakwah dengan kesederhanaan. Dari situ, terbitlah lagu-lagu ikonik seperti Bila Nur Melimpah di Hati dan Nun di Sana, suatu melodi yang bukan sahaja mengalun di bibir, tetapi bersemayam di hati pendengar.

Namun, selepas perpisahan pada 1994, lahirlah dua kumpulan besar iaitu Rabbani dan Hijjaz. Merekalah yang terus mengangkat martabat nasyid ke arus perdana, memenangi pelbagai anugerah, sambil memacu muzik Islamik agar tidak sekadar niche, tetapi diterima luas oleh masyarakat.

Konsert kali ini dijanjikan sebagai sebuah kembara rasa. Ia akan membuka tirai dengan nostalgia acapella era awal Nada Murni, sebelum berkembang menjadi lebih 30 buah lagu penuh makna  iaitu tentang ketuhanan, perjuangan, kasih sayang, dan penginsafan. Antara yang bakal mengisi malam ialah Di Pondok Kecil, sebuah lagu yang sering menjadi titisan air mata dalam setiap persembahan.

Bukan itu sahaja, pentas juga akan dihiasi penampilan artis jemputan eksklusif Saujana, Akhil Hayy dan Pak Dinie sekali gus menjadikan malam tersebut bukan sekadar konsert, tetapi satu perhimpunan suara-suara emas yang pernah menggetarkan jiwa peminat.

Keunikan lain terletak pada susun atur tempat duduk penonton yang diasingkan mengikut kategori Lelaki (Men Section), Wanita (Women Section) dan Keluarga (Family Section). Pendekatan ini jarang sekali dilihat dalam konsert berskala besar, namun ia menjadi simbol keselesaan serta kesopanan seiring dengan identiti dan nilai yang diangkat penganjur.

Harga Nostalgia, Nilai Abadi

Tiket konsert ini ditawarkan pada harga bermula RM128 dan boleh ditempah melalui Ilasso Tickets hari ini.

Bagi generasi yang pernah menyanyi bersama Nada Murni, inilah peluang untuk menghidupkan kembali nostalgia. Dan bagi generasi baharu, inilah ruang untuk merasai sendiri keindahan irama yang pernah memacu kebangkitan nasyid moden Malaysia.

Kerana Konsert Lagenda Nada Murni bukan sekadar malam persembahan semata-mata tetapi ia adalah malam untuk menyatukan semula jiwa yang pernah diikat oleh suara, melodi dan doa. Sebuah legenda yang tidak pernah mati, hanya menunggu masa untuk bernafas kembali.

Catat Ulasan

0 Ulasan