BELAYAR BERSAMA KRU MERENTAS LAUTAN

Jika anda peminat tegar KRU, pastinya anda tidak mahu ketinggalan untuk mencipta memori bersama kumpulan legenda ini menerusi pelayaran lima hari merentas lautan dari 26 hingga 30 Januari 2026 dalam acara eksklusif bertajuk STARKRUISE Showcase 2026.”

Menampilkan gabungan hiburan dan percutian mewah, pelayaran ini bakal membawa peminat menyusuri destinasi menarik sambil menikmati persembahan istimewa oleh trio bersaudara — Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim. Showcase ini turut menjadi simbolik kepada perjalanan tiga dekad KRU dalam industri muzik tempatan yang terus kekal relevan dan berpengaruh hingga kini.

Acara ini menawarkan dua laluan pilihan kepada peminat  sama ada berlepas dari Port Klang (26 hingga 30 Januari 2026) atau Singapura (25 hingga 29 Januari 2026). Sepanjang pelayaran di atas kapal mewah itu, peserta bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan langsung KRU, sesi interaksi eksklusif bersama artis, selain menikmati kemudahan hiburan dan gastronomi bertaraf antarabangsa yang disediakan khas sepanjang perjalanan.

Menurut Norman Abdul Halim, STARKRUISE Showcase 2026 bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya satu pengalaman istimewa yang dirancang bagi menghargai sokongan peminat sejak awal perjalanan seni mereka.

“Kami mahu mewujudkan suasana yang lebih peribadi dan bermakna. Di atas kapal ini, peminat bukan sahaja menonton persembahan kami, tetapi turut berpeluang berinteraksi dan mencipta kenangan bersama,” katanya.

Sementara itu, Yusry Abdul Halim menyifatkan konsep pelayaran ini sebagai satu pendekatan baharu dalam menghubungkan artis dengan peminat. Menurutnya, peminat KRU yang menyertai pakej istimewa ini berpeluang mengembara bersama KRU di tengah lautan sambil menikmati persembahan tanpa henti, sekali gus mengimbau nostalgia melalui lagu-lagu popular kumpulan itu yang bakal bergema merentas lautan.

“Ini momen yang cukup bersejarah,” katanya ringkas namun penuh makna.

Bagi Edry Abdul Halim, STARKRUISE Showcase 2026 menjadi simbol kematangan dan evolusi KRU dalam dunia muzik. Katanya, pelayaran ini bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk mengenali mereka lebih dekat, tetapi juga untuk melihat sisi peribadi KRU  bukan sekadar sebagai personaliti atau artis, sebaliknya sebagai manusia yang mencintai seni dan muzik.

“Ini bukan sekadar persembahan, tetapi refleksi terhadap perjalanan panjang kami. Kami mahu membawa muzik ke horizon baharu bukan hanya di darat, tetapi di lautan yang luas,” jelasnya.

Pakej pelayaran yang ditawarkan merangkumi pelbagai kategori kabin termasuk Interior Stateroom, Ocean View, Balcony dan Suite, lengkap dengan tiket rasmi ke showcase utama KRU. Beberapa bayaran tambahan seperti cukai pelabuhan dan gratuities turut dikenakan mengikut terma pelayaran yang ditetapkan.

Menariknya, pelayaran mewah ini turut membawa 10 rakan media bertuah yang dipilih melalui cabutan bertuah. Antara yang terpilih ialah Roy dari Kaki Kipas, Cik Puan Nanie dari Kitepunye, dan beberapa personaliti media lain yang akan turut serta merasai pengalaman eksklusif bersama KRU di atas kapal.

Dengan panorama lautan yang memukau, suasana eksklusif di atas kapal mewah, serta irama muzik KRU yang penuh kenangan, STARKRUISE Showcase 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan pada awal tahun depan.

Untuk maklumat lanjut serta tempahan, peminat boleh melayari laman rasmi STAR Cruises Malaysia atau KRU Music bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai pakej pelayaran dan jadual showcase.

Catat Ulasan

0 Ulasan