Sudahkah anda bersedia untuk musim terbaharu Gegar Vaganza kali ini? Program realiti nyanyian paling ikonik tanah air itu kembali sekali lagi menggamatkan malam minggu para pencinta muzik dengan musim ke-12 yang tampil lebih segar, berani dan penuh kejutan.
Mengangkat konsep eksklusif “GV-Verse”, edisi kali ini membawa penonton menjelajah ke dalam sebuah dimensi baharu yang diinspirasikan daripada aura, kehebatan dan keunikan bintang-bintang hebat yang bakal berentap di pentas paling berprestij tanah air.
Gegar Vaganza 12 (GV12) bakal membuka tirainya mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, disiarkan secara langsung di Astro Ria (Saluran 104), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka. Musim terbaharu ini menjanjikan persembahan penuh emosi, nostalgia dan magis, yang pastinya akan mengimbau kenangan indah dalam dunia muzik tempatan serta menghidupkan kembali pesona legenda yang pernah memukau hati rakyat Malaysia.
GV12 kali ini tampil luar biasa dengan menghimpunkan 13 peserta solo dan berkumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, menyatukan legenda dari era 80-an hingga ke suara emas 2000-an. Ia menjadi simbol kebangkitan semula muzik abadi yang terus hidup dalam jiwa pencinta seni tanpa mengira zaman.
Dari Malaysia, pentas GV12 bakal digegarkan oleh barisan bintang hebat seperti Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam, Nubhan, serta duo pop dinamik Freshies (Ejie & Shima) yang dijangka menghidupkan semula pesona irama tempatan.
Tidak kurang hebatnya dari Indonesia, hadir tiga nama besar yang membawa warna muzik tersendiri — Shae, Ruri Repvblik, dan trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) masing-masing terkenal dengan karakter vokal unik dan keperibadian pentas yang kuat.
Sementara itu, Singapura tampil berbangga dengan penyertaan Iskandar Ismail, penyanyi berkarisma yang cukup dikenali dengan keunggulan vokalnya.
Menambah elemen misteri dan kejutan, kemunculan SHY8 sebagai peserta wildcard dijangka mencetus fenomena baharu dengan gaya persembahan yang segar, berani dan penuh kejutan seiring dengan semangat GV-Verse yang meraikan keunikan dan kepelbagaian dunia muzik serantau.
Tenaga Hos & Juri Tetap Terus Menyengat
Tidak lengkap rasanya Gegar Vaganza tanpa kehadiran duo pengacara paling serasi di kaca televisyen. Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad sekali lagi diberi mandat untuk mengemudi pentas GV12, menghadirkan aura segar dengan gaya spontan, jenaka bersahaja dan tenaga positif yang sudah sinonim dengan identiti rancangan ini. Gandingan mereka terus menjadi antara nadi utama yang menghidupkan suasana dan memastikan setiap minggu GV dipenuhi tawa, debar dan momen tidak dijangka.
Sementara itu, barisan juri kekal gah dengan kehadiran tiga nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat. Ketiga-tiganya bakal menilai setiap persembahan dengan ketelitian, kepakaran dan kejujuran seni yang tinggi, menjadikan GV12 terus relevan sebagai pentas yang meraikan keaslian bakat dan keunggulan vokal sejati.
Dimensi Baharu Dalam Dunia GV
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, kejayaan Gegar Vaganza sejak musim pertama membuktikan program ini bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian, tetapi sebuah platform bernilai untuk artis legenda dan penyanyi lama menyalakan semula api perjalanan muzik mereka.
“Daya tarikannya terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen yang menyatukan artis serta penonton melalui lagu-lagu abadi, Tahun ini, kami memperkenalkan ‘GV-Verse’, sebuah dunia baharu yang meraikan kepelbagaian bakat serantau. Setiap artis membawa kisah, warna suara dan semangat tersendiri yang menjadikan musim ini begitu istimewa," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa GV12 bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi perjalanan penuh makna yang mengangkat kembali keindahan muzik serta menghargai perjalanan seni setiap peserta.
“Penganjuran GV musim terbaharu ini adalah tentang menghargai perjuangan serta evolusi para artis dan menyaksikan sejauh mana mereka mampu melangkah selepas ini. Kami menjemput semua Vaganzers untuk bersama-sama menjelajah dunia ‘GV-Verse’ bagi mengimbau kenangan, menemukan alunan baharu serta menikmati magis muzik dalam skala yang lebih besar daripada sebelumnya,” ujar beliau penuh optimis.
Penaja & Ganjaran Lumayan
Musim baharu Gegar Vaganza terus mendapat suntikan besar daripada jenama-jenama terkemuka tanah air. CelcomDigi kembali selaku Penaja Utama, manakala HONOR tampil sebagai Telefon Pintar Rasmi bagi GV12. Turut bersama ialah Adabi dan Uphamol yang mengekalkan sokongan mereka sebagai penaja bersama, memperkukuh reputasi program ini sebagai produksi hiburan paling berprestij di Malaysia.
Menambah debaran persaingan, juara GV12 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, diikuti naib juara dengan RM50,000, tempat ketiga RM30,000, tempat keempat RM20,000, tempat kelima RM15,000, dan tempat keenam RM10,000.
Format penjurian pula kekal seperti musim-musim terdahulu dengan 100% markah ditentukan oleh barisan juri profesional, manakala penyingkiran peserta dilakukan berdasarkan markah terendah setiap minggu.
Tidak sekadar menawarkan pertandingan mingguan di pentas utama, Gegar Vaganza 12 turut memperluaskan pengalaman penonton dengan pelbagai segmen tambahan yang memberi dimensi baharu kepada penceritaan setiap peserta.
Antara pengisian istimewa musim ini termasuk:
- Kapsul Gegar Vaganza 12 – disiarkan sebelum rancangan utama, kapsul ini menampilkan detik persiapan serta temu bual eksklusif bersama para peserta. Ia dikendalikan oleh penyampai radio SINAR, Falyq Hikyle, yang membawakan sisi peribadi bintang GV12 dengan lebih dekat.
- Vazz Vaganza Gegar Vaganza 12 – segmen pasca rancangan berdurasi 30 minit yang dihoskan oleh Dina Nadzir, menampilkan reaksi eksklusif daripada peserta dan juri selepas persembahan, serta momen-momen spontan di belakang pentas.
- Sofa Kentang Gegar Vaganza 12 – disiarkan serentak di platform digital Astro Gempak, dihoskan oleh Thinker Studios. Ia mengetengahkan sesi santai penuh humor dan interaksi langsung bersama peminat dalam suasana digital yang lebih mesra dan segar.
Musim ini juga menyaksikan Astro Gempak meneruskan peranan sebagai Rakan Digital Rasmi, manakala SINAR kekal sebagai Rakan Radio Rasmi, disokong oleh ERA dan GEGAR, bagi memastikan liputan GV12 sampai ke seluruh pelusuk Nusantara.
Gegar Vaganza 12 bakal berlangsung selama 12 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, menjanjikan kemeriahan tanpa henti setiap Ahad malam.
Penonton boleh menstrim program ini secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka untuk menikmati setiap persembahan dan segmen tambahan.
Bagi yang ingin menyertai dunia hiburan Astro, pelanggan boleh melanggan Pek Astro One pada harga RM49.99 sebulan, atau memilih pakej Astro Fibre 500Mbps + Pek Hiburan dengan tawaran bernilai hanya RM139.99 sebulan — untuk pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh dan lancar.





0 Ulasan