BINTANG DI LANGIT SYAWAL: DUA JIWA, SATU TAKDIR

Bagaimana jika pencarian kasih seorang anak berakhir di tempat yang paling tidak terduga , di celah lorong gelap yang menjadi saksi kepada dosa dan kehancuran manusia? Itulah detik menyayat hati yang menjadi nadi kepada drama terbaharu TV3, Bintang Di Langit Syawal, sebuah naskhah arahan Bahri Umar yang sarat dengan emosi, kehilangan, serta pencarian makna kasih sayang sebenar.

Mempertemukan dua generasi pelakon berbakat besar  di antara Adam Lee dan Azhar Sulaiman,  Bintang Di Langit Syawal, drama 15 episod terbitan Sha’s Media, bakal membuka tirai pada 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. Penonton turut boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal secara eksklusif di platform Tonton.

Antara Rindu dan Rahsia

Bintang Di Langit Syawal membawa penonton menyelami jiwa seorang anak yatim bernama Syawal (lakonan Adam Lee), yang hidupnya dihantui rasa kosong dan rindu kasih seorang bapa yang tidak pernah dikenalinya. Satu kunjungan misteri oleh lelaki bernama Latif (Azhar Sulaiman) ke rumah kebajikan tempat Syawal dibesarkan menimbulkan pelbagai persoalan, siapakah dia, dan mengapa meninggalkan sejumlah wang tanpa penjelasan?

Rasa ingin tahu yang membuak membawa Syawal melarikan diri, mencari jawapan kepada persoalan yang menghantui hidupnya. Dalam perjalanan itu, dia bertemu Jess (Scha Elinnea), gadis yang tanpa disangka menjadi sandaran dalam perjuangan yang penuh luka dan rahsia. Namun, takdir yang diharapkan membawa kebahagiaan akhirnya menjerumuskannya ke dunia gelap yang menguji keyakinan tentang makna sebenar kasih dan keluarga.

Bagi Adam Lee, membawa watak Syawal bukan sekadar cabaran lakonan, tetapi sebuah perjalanan spiritual yang menuntut tumpuan emosi dan kedalaman jiwa. Setiap dialog yang dilafaz dan setiap gerak tubuh yang dizahirkan menuntut penghayatan mendalam, hingga mampu menjerut rasa dan membawa penonton menyelami gelora batin seorang anak yang kehilangan arah.

“Syawal menyimpan banyak perasaan , antara marah, keliru, kecewa dan berharap. Dia bukan anak yang memberontak tanpa sebab, sebaliknya hanya ingin disayangi. Saya tertarik dengan naskhah ini kerana ia menuntut saya memahami emosi seorang anak yang mencari cinta ayahnya, namun bertemu kebenaran yang sangat pahit,” katanya.

Adam menganggap Bintang Di Langit Syawal sebagai antara naskhah paling emosional pernah dilakonkannya. Karya ini adalah  sebuah kisah yang menyedarkan bahawa setiap luka yang dalam masih punya sinar, dan setiap langit yang kelam tetap menyimpan bintangnya.

Watak Latif yang dilakonkan oleh Azhar Sulaiman menampilkan sisi berbeza daripada pelakon berpengalaman ini. Dalam naskhah ini, Azhar bukan sekadar menggalas peranan sebagai seorang bapa yang hilang arah, tetapi menjadi lambang kepada konflik manusia - terperangkap di antara dosa dan keinginan untuk ditebus.

Antara Dosa dan Penebusan — Sebuah Naratif Kemanusiaan yang Menggetar Jiwa

Bagi generasi penonton baharu, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Azhar merupakan antara ikon lelaki era 1990-an, yang pernah mencipta fenomena menerusi filem-filem popular seperti Abang 92, Cinta Korporat dan Sembilu. Di luar dunia lakonan, beliau juga dikenali sebagai seorang arkitek bertauliah serta penceramah jemputan, mencerminkan kecerdasan minda dan kelenturan personaliti yang jarang dimiliki ramai.

Kepulangan Azhar ke layar drama berat seperti Bintang Di Langit Syawal menandakan kematangannya sebagai seorang pelakon yang bukan sahaja mampu menyelami sisi emosional, tetapi juga menyuntik kedalaman intelektual dalam setiap watak yang dihidupkannya.

Di sebalik plot yang gelap dan sarat misteri, Bintang Di Langit Syawal mengangkat sebuah naratif kemanusiaan tentang pengampunan, penerimaan dan makna sebenar menjadi manusia. Naskhah tulisan Tommy Loh ini mengupas bagaimana kasih sayang mampu terlerai oleh rahsia yang disembunyikan, serta bagaimana manusia sering mencari sinar di tengah kegelapan yang mereka sendiri ciptakan.

Diterajui juga oleh barisan pelakon berbakat seperti Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana, drama ini menjanjikan sebuah perjalanan jiwa yang realistik, sarat emosi dan pastinya menyentuh hati penonton.

Bintang Di Langit Syawal bukan sekadar sebuah drama keluarga biasa. Ia adalah cermin kepada realiti bahawa kasih tidak selalu hadir dalam bentuk yang sempurna, dan kadangkala, langit yang paling kelam itulah yang menyembunyikan bintang paling terang.

Saksikan episod pertama Bintang Di Langit Syawal bermula 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3, atau strim lebih awal secara eksklusif di Tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan