Ikon muzik serantau, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Kumbang Bunga yang mempertemukan beliau dengan penyanyi tersohor Indonesia, Lesti.
Lagu ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi single pertama daripada album baharu Siti, sekali gus menandakan kolaborasi istimewa dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.
Menggabungkan tiga elemen muzik utama iaitu inang, dangdut dan masri, Kumbang Bunga tampil sebagai karya berteraskan tradisi dengan suntikan moden yang segar. Menurut Siti, beliau tertarik dengan melodi lagu ini sebaik kali pertama mendengarnya dan mencadangkan agar dimasukkan unsur dangdut yang sinonim dengan gaya muzik Lesti.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.
Tambah penyanyi nombor satu negara itu, muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat di negara lain,” katanya.
Sementara itu, Lesti, yang juga penyanyi popular Indonesia, meluahkan rasa terharu apabila diberi peluang berduet dengan idola yang dikaguminya sejak sekian lama.
Menurutnya, pengalaman merakamkan lagu bersama Biduanita Negara itu merupakan detik berharga yang tidak akan dilupakan kerana Siti adalah ikon muzik Nusantara yang memiliki pengaruh luar biasa.
“Saya berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” ujar Lesti yang terkenal menerusi lagu Egois dan Bawa Aku Ke Penghulu.
Menurut komposer Firdaus Rahmat, proses penciptaan lagu ini hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya. Katanya, beliau perlu menggabungkan dua gaya muzik berbeza bagi melahirkan satu karya tradisional berskala besar yang menghimpunkan dua nama besar Siti Nurhaliza dan Lesti Kejora.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar. Untuk ini, saya perlu menghasilkan yang terbaik tanpa melupakan nilai tradisi sesebuah penciptaan memandangkan ia karya tradisional antara dua negara,” katanya.
Bagi memastikan hasil terbaik dari segi muzik dan lirik, Firdaus turut bekerjasama dengan Iqie Hugh bagi menyempurnakan gubahan dan susunan muzik yang menampilkan elemen kontemporari tanpa menenggelamkan jiwa tradisi.
Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. Lagu ini boleh didengarkan di semua pelantar digital bermula 22 Oktober 2025, manakala video muzik rasminya turut ditayangkan pada jam 3.00 petang hari yang sama- memperlihatkan visual indah yang melambangkan simbolik dua jiwa serumpun bersatu dalam satu karya.
Kolaborasi dua suara hebat ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga lambang penyatuan dua budaya yang kaya dengan nilai seni dan warisan.
Kumbang Bunga menjadi bukti bahawa muzik mampu merentasi sempadan, menyatukan hati dan memperkukuh hubungan dua negara serumpun melalui satu bahasa yang universal, muzik.

.png)
.png)


0 Ulasan