Jika anda mencari sebuah persembahan yang lebih daripada sekadar hiburan semata-mata, maka Healing Night 2026 mungkin jawapannya.
Mengangkat konsep “healing” yang membawa makna penyembuhan jiwa, konsert ini menzahirkan gagasan bahawa muzik mampu menjadi medium terapi yang menyentuh bukan sahaja emosi, tetapi juga fizikal dan rohani. Melalui alunan vokal para penghibur yang digabungkan dengan permainan instrumen pelbagai warna bunyi, Healing Night 2026 menjanjikan satu pengalaman seni yang mendalam di mana muzik tidak lagi sekadar hiburan kosong, tetapi sebuah perjalanan penyembuhan yang sebenar.
Menurut Herman Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn. Bhd., tema healing dipilih bagi menonjolkan bahawa hiburan tidak semestinya bersifat bingit atau kosong nilai, sebaliknya mampu berfungsi sebagai wahana mendidik dan menyentuh jiwa melalui muzik.
“Selepas pandemik, kita menyaksikan masyarakat dunia melalui pelbagai bentuk fasa pemulihan. Salah satu cara terbaik untuk menyembuhkan diri ialah melalui terapi muzik,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa Healing Night 2026 bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah pesta keraian yang meraikan muzik sebagai proses terapeutik — satu pengalaman yang menenangkan, menyegarkan dan membangkitkan semangat positif dalam diri penonton.
Dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn. Bhd. dengan kerjasama Creative Page Sdn. Bhd. dan Yumeca Sdn. Bhd., Healing Night 2026 bakal menampilkan tiga bintang seni suara tempatan, Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah bersama dua bintang terkenal Indonesia, Kangen Band dan Lyodra. Gabungan dua negara serumpun ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga simbol penyatuan budaya Nusantara melalui bahasa sejagat bernama muzik.
Memilih Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai destinasi utama persembahan, Healing Night 2026 bakal berlangsung pada 24 Januari 2026. Konsert ini dijangka menyerlah dengan kilauan cahaya dan susunan muzik yang diberi nafas baharu oleh pengarah muzik terkenal, Chaan, yang berpengalaman dalam menggabungkan unsur muzik kontemporari dan elemen terapeutik.
Menariknya, penganjur bukan hanya menekankan aspek persembahan semata-mata, tetapi turut memberi fokus kepada reka bentuk pengalaman menyeluruh yang selaras dengan tema healing. Dari pencahayaan lembut, susun atur pentas yang menggambarkan perjalanan emosi manusia, sehinggalah ruang khas seperti “healing tents” dan “relaxation zones” yang menawarkan suasana damai setiap perincian diatur bagi membawa penonton menelusuri perjalanan seni yang menghubungkan perasaan, ketenangan dan kesejahteraan diri.
Ketika berkongsi kepada media, Herman juga menegaskan bahawa pemilihan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai destinasi utama kerana nilai sejarah yang terdapat di situ. Menurutnya lagi, walaupun ada cadangan untuk membawa persembahan ini ke lokasi lain, namun beliau berkata, Stadium Merdeka antara pilihan pertama mereka untuk membawa Konsep 'Healing' ini kerana nilai seni, sejarah dan estetika bangunan bersejarah tersebut.
"Pemilihan Stadium Merdeka adalah kerana lokasi ini memberikan nilai sentimental untuk konsert ini. Lokasinya strategik di tengah kesibukan Kuala Lumpur dengan suasana malam yang saya rasa sesuai untuk konsert ini. Saya berharap penonton yang datang, akan kembali ke rumah dengan satu perasaan luar biasa yang mungkin anda tidak boleh dapat di tempat lain," katanya.
Penganjuran Healing Night 2026 turut menerima sokongan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin, menyifatkan acara ini sebagai inisiatif yang hadir tepat pada waktunya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Acara seperti ini memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang meriah dan kaya dengan kepelbagaian budaya di mana muzik, seni dan masyarakat bersatu dalam keharmonian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan penganjuran ini menjadi bukti kemampuan syarikat tempatan yang diterajui anak muda Bumiputera untuk menganjurkan acara bertaraf dunia, di samping memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerjasama sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau dalam bidang kebudayaan, malah membuka peluang bermakna kepada penggiat industri kreatif negara untuk terus berkembang di pentas antarabangsa,” ujarnya lagi.
Ratu Rock Negara, Ella, menzahirkan keterujaannya terhadap konsep dan pendekatan baharu yang diketengahkan dalam Healing Night 2026. Menurutnya, muzik dan ketenangan tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk keseimbangan diri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa dalam menikmati keindahan muzik, penonton tidak harus melupakan nilai keagamaan dan spiritual yang menjadi teras kekuatan dalaman setiap individu.
“Saya menyifatkan Healing Night 2026 sebagai sesuatu yang segar dan signifikan dengan situasi masa kini. Konsert bukan lagi sekadar hiburan, tetapi juga ruang untuk melepaskan tekanan dan mengisi semula tenaga emosi,” ujar Ella sambil tersenyum.
Sementara itu, bagi Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain, Healing Night 2026 merupakan persembahan istimewa yang wajib ditonton oleh penggemar muzik. Bagi mereka, bukan sahaja peluang untuk berdiri sepentas dengan rakan seperjuangan seperti Ella, tetapi juga untuk meraikan semangat seni sejagat bersama nama-nama besar dari Indonesia, Kangen Band dan Lyodra, menjadikan malam tersebut sebagai simbol penyatuan dua budaya muzik serumpun.
Healing Night 2026 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi manifestasi misi budaya dan sosial sebagai satu usaha menyembuhkan melalui seni. Dalam dunia moden yang serba laju dan penuh tekanan, konsert ini hadir sebagai ruang refleksi kolektif, tempat di mana muzik kembali kepada fungsinya yang paling murni: menyentuh hati dan menyembuhkan manusia.
Dengan barisan artis serumpun, produksi berkonsep terapeutik, sokongan rasmi kerajaan serta pemilihan lokasi bersejarah yang sarat makna, Healing Night 2026 berpotensi menjadi antara acara hiburan paling berpengaruh tahun hadapan sekali gus membuktikan bahawa muzik, apabila diolah dengan jiwa, kejujuran dan niat yang tulus, mampu menjadi bahasa penyatuan dan penawar jiwa.
Tiket berharga serendah RM290 (Silver) hingga RM950 (VIP 1) boleh didapati melalui laman rasmi ticket2u.com.my bermula 24 Oktober 2025, jam 3.00 petang.






0 Ulasan