Selepas kejayaan filem Menjelang Magrib yang meraih hampir RM2 juta ketika ditayangkan di Malaysia pada 2022, pengarah dan penerbit, Helfi Kardit, kembali dengan kesinambungan karyanya menerusi Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, yang bakal menggegar pawagam tempatan mulai 20 November 2025.
Tidak seperti jangkaan ramai, naskhah terbaharu terbitan Helroad Films ini bukanlah sambungan terus daripada filem terdahulu. Sebaliknya, ia hadir sebagai sebuah spin-off yang masih mengekalkan tema besar mengenai pasung, iaitu amalan mengikat pesakit mental sebagai rawatan tradisional yang pernah diamalkan di beberapa kawasan di Indonesia.
Helfi berkata, tema itu dipilih kerana dekat dengan pengalaman peribadinya ketika membesar di Sumatera, di mana beliau pernah menyaksikan sendiri seorang pesakit mental dipasung di sebuah rumah khas sebagai kaedah rawatan tradisional.
“Filem ini masih mengekalkan tema pasung seperti karya terdahulu. Walaupun ia hadir dalam beberapa siri, saya percaya naskhah kali ini menawarkan pengalaman yang lebih seram. Unsur mistik dan realiti saling berkaitan, dan ia memberi dimensi bahawa kepercayaan sebegini sememangnya wujud dalam masyarakat.
“Sebagai pencerita, saya hanya menterjemahkan realiti itu ke dalam bentuk visual, menggabungkan elemen budaya, mistik serta konflik psikologi untuk mencipta pengalaman yang lebih mendalam,” katanya.
Latar 1920 dan sentuhan budaya Hindia Belanda
Menariknya, Menjelang Magrib 2 tampil dengan pendekatan lebih gelap melalui latar masa sekitar tahun 1920, ketika Indonesia masih berada di bawah pentadbiran Belanda. Nuansa kampung tradisional, kepercayaan turun-temurun dan pertentangan antara rawatan moden serta amalan mistik menjadi teras kekuatan naskhah ini.
Kisahnya berkisar tentang Giandra, seorang doktor muda lulusan STOVIA, yang terpanggil untuk menyiasat keadaan seorang gadis bernama Layla yang dipasung di Desa Karuhun. Rawatan terhadap Layla dikendalikan oleh seorang dukun, sekali gus mencetuskan konflik ketara antara kepercayaan masyarakat setempat dan prinsip sains perubatan yang dibawa Giandra.
Helfi menegaskan, elemen sejarah, budaya dan mistik bukan sekadar hiasan naratif, sebaliknya menjadi nadi penggerak utama yang menghidupkan dunia filem ini serta membezakannya daripada naskhah seram lain.
Dari sudut penceritaan, Menjelang Magrib 2 tampil lebih matang dengan pendekatan seram yang cenderung kepada unsur psikologi berbanding kejutan visual semata-mata. Pemilihan latar masa klasik turut memberi kelebihan besar, mewujudkan suasana lebih atmosferik yang menambahkan rasa tegang dan tidak selesa sepanjang tontonan.
Bagi peminat genre seram yang menggemari elemen budaya dan mistik Asia Tenggara, karya ini dilihat mampu memenuhi selera dengan gabungan mitos kampung, konflik kemanusiaan serta misteri yang sengaja tidak dihuraikan sepenuhnya, sekali gus mendorong penonton kekal di hujung kerusi dari awal hingga akhir.
Selepas menerima sambutan positif ketika tayangan di Indonesia pada September lalu, Helfi berharap momentum sama dapat diterjemahkan di Malaysia. Bagi pelakon Aditya Zoni, yang memegang watak sebagai Giandra, membintangi naskhah ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan meskipun penuh cabaran kerana unsur seramnya yang kuat.
“Jika anda sudah menonton siri terdahulu, saya percaya anda pasti menyukai kesinambungan terbaharu ini. Untuk filem kali ini, ia menampilkan jalan cerita yang lebih gelap dan menyeramkan, disertai elemen budaya serta ketidakseimbangan sosial yang berlaku pada zaman penjajah,” jelasnya.
Bagi peminat filem seram, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 20 November 2025.
4/5 Wajib Tonton


0 Ulasan