"BERAYA DENGAN SAYA" SOLD OUT?

Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan popularitinya masih utuh apabila konsert khas Aidilfitri bertajuk Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Konsert yang bakal berlangsung pada 10 April ini di Zepp Kuala Lumpur itu pada asalnya tercetus selepas penyanyi nombor satu negara berkenaan merancang untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri bersama peminat seperti kebiasaan setiap tahun.

Namun, selepas membaca pelbagai komen di media sosial, ramai peminat mencadangkan agar beliau mengadakan persembahan khas lagu raya memandangkan Siti memiliki banyak koleksi lagu bertemakan Aidilfitri.

“Pada awalnya saya bercadang mengadakan rumah terbuka seperti biasa bersama peminat. Tetapi selepas membaca komen di media sosial, ramai yang meminta saya mengadakan persembahan khas lagu raya.

“Jadi saya menyahut permintaan itu tetapi memilih lokasi yang lebih kecil dan intim supaya suasana lebih dekat dengan peminat,” katanya.

Idea penganjuran konsert tersebut tercetus sekitar minggu kedua Ramadan hasil perbincangan bersama pasukan pengurusan serta maklum balas peminat di media sosial.

Walaupun persiapan dibuat dalam tempoh yang agak singkat, Siti berkata konsep persembahan yang lebih santai memudahkannya membuat persediaan.

“Seperti judulnya, Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya adalah persembahan lagu raya yang santai dan intim. Saya percaya penonton sudah biasa dengan lagu-lagu ini,” katanya.

Sambutan luar biasa terhadap konsert tersebut jelas apabila tiket tempat duduk dilaporkan habis terjual dalam tempoh yang sangat singkat, malah ada yang menyatakan ia terjual dalam masa kurang 15 minit selepas jualan dibuka menerusi platform Ticket2U.

Situasi itu membuatkan peminat berbelah perasaan apabila ada yang berjaya mendapatkan tiket, namun tidak kurang juga yang kecewa kerana gagal membelinya.

Ramai peminat turut berharap agar pihak penganjur menambah hari persembahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan konsert berkenaan.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat hadir, Siti mengambil keputusan menyediakan ruang berdiri, sesuatu yang jarang dilakukan dalam konsertnya sebelum ini.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak penganjur turut mengumumkan penambahan kategori tiket duduk selepas mengambil kira maklum balas peminat yang mahukan lebih banyak pilihan zon tempat duduk.

Menurut Siti, keputusan itu dibuat selepas melalui penelitian serta perbincangan rapi.

“Setiap perubahan pasti ada pro dan kontranya. Kami sangat menghargai setiap teguran dan memahami perasaan semua.

“Kami sedar penambahan kategori tiket ini mengundang pelbagai reaksi, namun setiap pandangan dan ketidakpuasan hati sentiasa diberi perhatian,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Tambahnya, pihak penganjur turut melakukan lawatan ke lokasi konsert bagi memastikan susun atur baharu dapat memberikan keselesaan optimum kepada penonton.

Jumlah penonton di zon berdiri juga akan dihadkan bagi mengelakkan kesesakan, selain beberapa kemudahan tambahan disediakan termasuk kerusi panjang di bahagian tepi zon berdiri serta laluan penghadang antara zon tertentu.

Pada masa sama, penyanyi itu turut memohon maaf sekiranya perubahan tersebut menimbulkan rasa kurang senang, khususnya dalam kalangan pembeli tiket awal.

“Kami memohon maaf secara terbuka jika keputusan ini mengguris rasa. Niat kami hanyalah untuk menjadikan acara ini lebih inklusif buat semua,” katanya.

Konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya dijangka menawarkan pengalaman istimewa kepada peminat menerusi persembahan lagu-lagu raya popular Siti dalam suasana lebih intim, lengkap dengan sentuhan suasana Aidilfitri.

Catat Ulasan

0 Ulasan