Festival Filem Iran (IFF) edisi keempat akan berlangsung bermula 6 Februari ini di beberapa pawagam terpilih di bandar utama seluruh negara.
Festival tahunan ini dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Iran dengan sokongan Kedutaan Iran, sebagai platform memperkenalkan seni perfileman Iran kepada penonton tempatan serta menggalakkan pertukaran budaya antara masyarakat Iran dan Malaysia.
Penganjuran IFF 2026 turut melibatkan kerjasama GSC International Screens dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus memperluas akses penonton tempatan kepada filem antarabangsa terpilih.
Menurut Penasihat Kebudayaan Iran di Malaysia, Dr Habibreza Arzani, filem Iran menyampaikan mesej yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat dengan menekankan nilai kemanusiaan.
“Filem Iran memberi tumpuan kepada nilai seperti kasih sayang, ketabahan, keimanan dan harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, festival ini memberi peluang kepada penonton Malaysia untuk memahami budaya serta perspektif masyarakat Iran melalui penceritaan yang diketengahkan dalam karya perfileman negara itu.
Bagi edisi kali ini, enam filem Iran kontemporari terpilih akan ditayangkan kepada penonton tempatan. Filem berkenaan ialah The West Sky (drama, 102 minit), Ahmed (drama, 131 minit), Tear of the Reedbed (drama, 81 minit), Dreamland (animasi, 84 minit), Guardian of the Field (drama, 106 minit) dan The Weeping Willow (drama, 96 minit).
Kesemua tayangan akan dipersembahkan dalam bahasa asal Parsi dengan sari kata Bahasa Inggeris. Tayangan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai, dengan tiket boleh ditebus mengikut konsep siapa cepat dia dapat, bermula dua jam sebelum setiap tayangan di pawagam terlibat.
IFF 2026 akan berlangsung di empat pawagam utama di bawah GSC International Screens, iaitu GSC Mid Valley Megamall dan GSC MyTOWN di Kuala Lumpur, GSC Suria Sabah di Kota Kinabalu serta GSC Paradigm Mall di Johor Bahru.
Kemuncak Festival Filem Iran 2026 akan dimeriahkan dengan kehadiran pengarah filem terkenal Iran, Majid Majidi, yang dijadual menghadiri majlis pelancaran festival di Kuala Lumpur dan Sabah. Kehadiran beliau memberi peluang kepada peminat dan penggiat industri tempatan untuk mengenali dengan lebih dekat karya serta pengalaman tokoh perfileman berkenaan.
Sebagai program sampingan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia akan menganjurkan sesi Masterclass with Mr Majid Majidi (Oscar Nominated & International Iranian Filmmaker) pada 7 Februari 2026 (Sabtu), dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Program tersebut akan berlangsung di Aras 3, Menara MyIPO, PJ Sentral, Petaling Jaya, Selangor.
.png)




0 Ulasan