STADIUM NASIONAL JADI SAKSI: ELLA GEGARKAN BUKIT JALIL

Menjelang detik bersejarah yang bakal mengukir satu lagi pencapaian besar dalam perjalanan seninya, Ella tampil tenang dan penuh keyakinan apabila Konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella kini hanya berbaki dua minggu sebelum menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Digelar Ratu Rock negara, Ella mengakui dirinya tidak berdepan sebarang tekanan meskipun konsert solo berskala mega itu bakal dipentaskan di stadium terbesar tanah air. Menurutnya, keyakinan tersebut hadir hasil perancangan menyeluruh serta sokongan pasukan produksi yang disifatkan sangat kukuh dan sehaluan.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang kerana dikelilingi pasukan yang baik. Setiap perancangan dan idea dibincangkan serta digerakkan bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Ella serta pengumuman artis jemputan konsert berkenaan, kelmarin.

Ella turut memuji keserasian kerjasama antara pasukan Rockqueen dan penganjur, Hitman Solutions, yang menurutnya berjalan lancar sejak awal perancangan.

“Saya selesa dengan konsep yang dibawa dan tidak pernah rasa bosan. Apabila menerima maklum balas positif daripada peminat, itu menjadi dorongan untuk kami teruskan usaha ini dan hanya memilih yang terbaik,” ujarnya.

Aspek teknikal diberi perhatian serius

Mengulas mengenai aspek teknikal yang sering menjadi kebimbangan utama bagi konsert berskala besar, Ella menegaskan bahawa perkara tersebut ditangani secara profesional oleh pasukan produksi berpengalaman.

Menurutnya, sistem bunyi, keadaan akustik lokasi serta keseluruhan keperluan teknikal di SNBJ sudah diteliti dengan teliti bagi memastikan pengalaman terbaik buat penonton.

“Daripada segi teknikal, semuanya diuruskan pasukan. Kami sangat peka terhadap kualiti bunyi dan keadaan lokasi. Insya-Allah, apa jua cabaran boleh ditangani dengan baik,” katanya.

Tambah Ella, penggunaan skrin besar berteknologi canggih turut menjadi antara elemen penting agar penonton yang berada di bahagian jauh tetap dapat menikmati persembahan dengan jelas.

“Niat saya mudah, sesiapa yang datang nanti benar-benar berpuas hati dan dapat melihat serta menikmati apa yang mereka inginkan,” katanya lagi.

Disiplin diri demi stamina

Dalam memastikan tahap kecergasan dan stamina berada pada kondisi terbaik menjelang malam konsert, Ella mengakui perlu melakukan beberapa pengorbanan, khususnya dari segi gaya hidup harian.

Antara yang diberi tumpuan ialah kawalan pemakanan, terutamanya pengambilan gula, selain memastikan rutin senaman dan waktu rehat yang mencukupi.

“Sebelum konsert ini, perkara utama yang saya kawal adalah pemakanan, terutamanya gula. Pada masa sama, saya bersenam dan pastikan tidur cukup. Sekarang, sebelum jam 10 atau 11 malam saya sudah perlu tidur,” katanya.

Hiburan sambil beramal

Lebih istimewa, Konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella turut membawa misi kebajikan apabila penganjur dan artis bersepakat mengadakan kutipan derma sepanjang penganjuran konsert tersebut.

Kutipan berkenaan akan disalurkan bagi membantu Gaza, yayasan kebajikan terpilih serta Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), bersempena ketibaan bulan Ramadan.

“Memandangkan Ramadan bakal tiba, kami berharap dapat mengumpul dana untuk disalurkan kepada Palestin dan pihak yang memerlukan. Insya-Allah, saya harap sasaran kutipan ini dapat dicapai,” katanya.

Pengalaman emosi buat peminat

Bagi Ella, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya sebuah pengalaman yang diharap mampu meninggalkan kesan emosi mendalam kepada peminat yang hadir.

“Apa yang saya harapkan, penonton dapat menikmati persembahan sepenuhnya dan pulang dengan senyuman, rasa tenang, kasih sayang dan rindu,” katanya.

Dalam pada itu, Ella turut memberi bayangan bakal memperkenalkan produk baharu selepas konsert berkenaan selesai, meskipun perkara tersebut masih dalam perancangan.

Barisan artis jemputan & tiket

Konsert solo mega ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis jemputan termasuk Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys).

Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, tiket Konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella dilaporkan sudah terjual sebanyak 90 peratus sejak mula dijual pada 8 Disember lalu.

Persembahan khas bertemakan Peace, Love & Rindu itu mengangkat simbolik hiburan sambil beramal, dengan harga tiket ditawarkan serendah RM39.

Catat Ulasan

0 Ulasan