Jika dua puluh lima tahun yang lalu anda mendengarkan lagu-lagu seperti Kasih Kekasih, Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah dan Nur Kasih dalam alunan melodi dari pita kaset mahupun Cakera Padat (CD) atau menunggu di corong radio antik yang mengimbas zaman sekolah di waktu usia masih menginjak ke alam remaja, memori itu mungkin bakal terpahat kembali melalui 25 buah lagu yang diberi nafas baharu, tetapi dipersembahkan dalam medium yang lebih besar, 25 tahun perjalanan Inteam memberikan pengalaman nostalgik yang luar biasa.
Hadir dengan satu tujuan untuk meraikan kenangan silam yang masih berbekas di kalbu ketika penulis masih belajar tentang erti hidup di zaman tahun 2000, Konsert 25 Tahun Inteam: Nur Kasih yang dipentaskan pada malam 1 Februari lalu menjadikan Axiata Arena sebagai medan pertemuan generasi remaja yang membesar bersama lagu-lagu ikonik kumpulan nasyid legenda tersebut.
Kumpulan Inteam yang ditubuhkan pada awal era 2000-an dan dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid (Syah), Muhammad Hazamin Harun (Hazamin), Hisyam Ahmad (Hisyam) serta Abdul Rahim Osman (Rahim) membuktikan kelangsungan perjalanan seni mereka menerusi sebuah konsert berskala besar yang berlangsung hampir tiga jam. Lebih 25 buah lagu dipersembahkan, merangkumi karya baharu serta rangkaian lagu popular yang pernah mencorakkan landskap muzik nasyid tempatan selama lebih dua dekad.
Sebagai penganjuran konsert kedua susulan sambutan memberangsangkan tahun lalu, persembahan ini disusun secara berlapik melalui gabungan segmen rohani, kemanusiaan dan hiburan. Pendekatan tersebut bukan sahaja menyusun perjalanan persembahan dengan teratur, malah membawa penonton menelusuri evolusi muzik Inteam yang kekal relevan merentas generasi.
Menurut Rahim, penganjuran konsert di Axiata Arena merupakan satu pencapaian bermakna buat kumpulan itu, memandangkan lokasi berkenaan sinonim dengan konsert berskala mega.
“Tidak pernah terfikir kami dapat mengadakan konsert di Axiata Arena. Terima kasih atas peluang ini. 1 Februari 2026 akan sentiasa terpahat sebagai kenangan indah buat kami,” katanya.
Konsert dibuka dengan rangkaian lagu seperti Dia Muhammad, Kasih Kekasih dan Siti Khadijah sebelum diteruskan dengan karya-karya reflektif termasuk Bisikan Nurani, Rabiatul Adawiyah dan Mulakan Hari Ini yang mencipta suasana syahdu serta penuh penghayatan di dalam dewan.
Antara detik paling menyentuh emosi ialah segmen kemanusiaan apabila audio The Voice of Hind Rajab diperdengarkan, menampilkan rakaman suara sebenar seorang kanak-kanak dari Gaza ketika konflik di wilayah tersebut. Momen itu bukan sahaja meruntun perasaan penonton, malah mengukuhkan mesej solidariti dan keprihatinan sejagat yang sering diketengahkan Inteam menerusi karya mereka.
Dari sudut persembahan, vokal keempat-empat anggota kumpulan itu kekal mantap dan konsisten sepanjang konsert, dengan kawalan nada serta stamina yang meyakinkan, termasuk pada bahagian vokal tinggi dan segmen rap yang disampaikan secara langsung.
Dimensi persembahan malam tersebut diperkaya dengan kemunculan artis undangan seperti Zizi Kirana serta bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani, yang menyuntik variasi warna muzik dan sentuhan nostalgia kepada penonton. Nazrey, yang juga merupakan antara penulis lirik dalam lagu-lagu Inteam, menyifatkan konsert ulang tahun ke-25 ini sebagai sebuah persembahan yang mengimbas perjalanan generasi yang membesar dengan karya Inteam, di samping lagu-lagu nasyid daripada kumpulan popular lain seperti Rabbani dan Hijjaz.
Kemunculan seniman tersohor Dato' M. Nasir sebagai tetamu khas menjadi antara kemuncak persembahan apabila beliau bergandingan bersama Inteam menerusi lagu Perjalanan 2 dan Bonda, sekali gus menambah nilai simbolik terhadap perjalanan seni yang diraikan pada malam tersebut.
Konsert berskala besar itu diakhiri dengan lagu Setanggi Syurga dan Nur Kasih yang dinyanyikan bersama ribuan penonton, menutup tirai sebuah persembahan yang bukan sekadar meraikan ulang tahun penubuhan, malah menegaskan kedudukan Inteam sebagai kumpulan nasyid yang terus utuh, relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi.
.png)

0 Ulasan