Konsert minggu ke-10 Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) menyaksikan perjalanan kumpulan Freshies berakhir apabila mereka diumumkan sebagai peserta tersingkir, sekaligus gagal mara ke pentas separuh akhir pertandingan berprestij tersebut.
Menyampaikan lagu Teman Tapi Mesra nyanyian asal Ratu, persembahan Freshies tidak berjaya memperoleh markah mencukupi daripada juri profesional. Meskipun hanya meraih 56.75 peratus, kumpulan itu tetap tenang dan meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong mereka sepanjang penyertaan di GV12.
“Kami menyertai Gegar Vaganza untuk membuktikan bahawa Freshies masih relevan. Terima kasih kepada barisan juri, keluarga, peminat serta pihak produksi. Sekurang-kurangnya kami boleh pulang dan makan rambutan,” ujar Ejie, wakil kumpulan itu, secara berseloroh.
Selain Freshies, dua peserta lain yang berada di kedudukan tiga terbawah minggu tersebut ialah Ruri Repvblik (65.0 peratus) dan Shae (63.25 peratus), namun mereka terselamat daripada penyingkiran.
Sementara itu, konsert minggu kesepuluh ini menyaksikan Mendua cemerlang apabila merampas kedudukan pertama carta mingguan dengan 70.50 peratus markah. Turut menduduki tiga teratas ialah Nubhan (70.00 peratus) dan Mark Adam (67.75 peratus), sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.
Di tangga keempat dan kelima pula masing-masing ialah Iskandar Ismail (67.50 peratus) dan Mell Sakura (66.75 peratus). GV12 mengekalkan barisan juri tetap terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang, dan Dato’ Ramli MS, yang menilai persembahan berdasarkan vokal, interpretasi dan penguasaan pentas.
Dihoskan oleh gandingan pengacara popular Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, Gegar Vaganza 12 bersiaran secara langsung dari MBSA Shah Alam bermula sejak 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104). Program ini turut boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO dan sooka.
Sebagai rekod, Freshies pernah mencipta nama melalui penerbitan dua album studio pada tahun 1994 dan 1995. Penyingkiran minggu ini menimbulkan persoalan sama ada kumpulan legenda tersebut akan terus bertahan dan aktif dalam landskap industri muzik tempatan pada masa hadapan.us bertahan dan aktif dalam landskap industri muzik tempatan pada masa hadapan.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan