LEGACY 30 SITI NURHALIZA : MALAM PENUH MAGIS

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu bukan sekadar sebuah acara hiburan berskala mega, sebaliknya muncul sebagai satu peristiwa kebudayaan yang menyatukan emosi rakyat Malaysia. Di hadapan puluhan ribu penonton, suara seorang legenda bergema merentas perbezaan latar, usia dan budaya, lalu menyatukan jiwa dalam satu malam yang sarat makna dan kenangan.

Lebih 65,000 peminat membanjiri stadium dengan satu rasa yang sama iaitu penghargaan terhadap seorang Biduanita Negara yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup masyarakat Malaysia selama hampir tiga dekad. Malam tersebut membuktikan bahawa muzik, apabila disampaikan dengan jiwa, kejujuran dan rasa tanggungjawab terhadap seni, mampu menjadi bahasa penyatuan yang paling tulus, melangkaui sempadan bangsa dan generasi.

Tagline “Passion, Sincere and Love” bukan sekadar slogan indah yang menghiasi judul konsert, tetapi falsafah yang merangkum keseluruhan perjalanan seni Dato' Sri Siti Nurhaliza. Passion melambangkan semangat yang tidak pernah padam dengan dorongan dalaman yang membuatkan beliau terus berkarya, belajar dan berevolusi walaupun telah berada di puncak kejayaan. Sincere pula mencerminkan kejujuran dalam setiap persembahan, di mana setiap lagu dinyanyikan dengan penghayatan penuh dan kebertanggungjawaban terhadap makna. Manakala Love menjadi teras yang mengikat segalanya; cinta terhadap muzik, cinta kepada peminat, dan cinta kepada negara yang membesarkan namanya.

Sepanjang hampir 30 tahun berada dalam industri muzik, Siti Nurhaliza telah merakamkan hampir 21 album studio, merangkumi pelbagai genre termasuk pop, balada, tradisional, etnik dan kerohanian. Kepelbagaian inilah yang menjadikan karya-karyanya dekat di hati rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, sekali gus menjelaskan mengapa Legacy 30 terasa seperti sebuah perayaan nasional, bukan sekadar konsert individu. Lagu-lagunya bukan sahaja menjadi siulan atau hiburan, tetapi latar kepada detik penting kehidupan ramai daripada cinta, kehilangan, harapan hingga ke doa.

Konsert berdurasi hampir tiga jam ini disusun mengikut perjalanan masa, membawa penonton menyusuri evolusi vokal dan kematangan seorang penyanyi sejati. Tanpa gimik berlebihan atau persembahan selingan yang memecah fokus, keseluruhan perhatian tertumpu sepenuhnya kepada Siti Nurhaliza. Setiap detik di pentas diisi dengan nyanyian, emosi dan komunikasi jujur antara seorang legenda dan peminat yang telah setia mengiringi langkahnya sejak awal kerjaya.


Jika ditelusuri bahagian awal konsert, suasananya dipenuhi elemen nostalgia yang kuat, membawa penonton kembali ke era permulaan ketika suara jernih Siti Nurhaliza mula mencuri perhatian seluruh negara. Alunan lagu-lagu seperti Purnama Merindu, Dialah Di Hati, Satu Cinta Dua Jiwa, Jerat Percintaan dan Aku Cinta Padamu menghidupkan kembali memori lama, lalu mencetuskan nyanyian bersama yang bergema memenuhi stadium. Lebih menyentuh perasaan, generasi muda turut larut dalam penghayatan, membuktikan bahawa karya-karyanya bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya terus hidup dan relevan merentas zaman.

Apabila konsert bergerak ke fasa seterusnya, pentas memperlihatkan sisi Siti yang lebih matang, yakin dan berani. Susunan muzik yang lebih kompleks, visual yang memukau serta kawalan vokal yang mengagumkan menyerlahkan keupayaan beliau sebagai penghibur bertaraf antarabangsa. Persembahan lagu-lagu seperti Kau Mawarku, Bagaikan Sakti dan Dirgahayu diserikan dengan kolaborasi istimewa yang mencetuskan sorakan gemuruh penonton. Tidak ketinggalan, duet menerusi Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Muara Hati turut menghangatkan suasana.

Kemunculan istimewa anak saudaranya, Umairah, menerusi lagu Kaca & Permata dan Hati Kama menjadi antara detik paling menyentuh perasaan. Ia bukan sekadar persembahan duet, tetapi simbol kesinambungan sebuah legasi seni yang diwariskan dengan penuh kasih, disiplin dan bimbingan.

Kelunakan suara Siti Nurhaliza ketika mengalunkan lagu-lagu seperti Ya Maulai, Cindai dan Balqis menyerlahkan keunggulan beliau sebagai ikon seni yang sukar ditandingi. Lenggok tari dalam lagu Rencong, ciptaan Hafiz Hamidun bersama Fedtri Yahya, pula menterjemahkan keindahan seni muzik melalui elemen etnik kreatif yang sarat dengan nilai budaya Melayu, berteraskan budi bahasa dan adat resam yang tinggi. Sementara itu, lagu ciptaan Aisha Retno, Kesuma, yang didendangkan dengan penuh penghayatan oleh Biduanita Negara ini, menghadirkan nuansa seakan lagu Jawa asli, sekali gus membuktikan kekuatan muzik sebagai bahasa universal yang melangkaui sempadan budaya.

Detik tersebut menyaksikan Siti tampil ceria dan spontan, berjoget mesra di pentas sebelum mengejutkan penonton dengan aksi melompat naik dari bahagian bawah pentas. Stadium seolah-olah terhenti seketika, terpaku menyaksikan kecergasan luar biasa seorang penyanyi wanita berusia 47 tahun yang terus mencabar batas usia. Aksi itu bukan sekadar mencetuskan keterujaan, malah mencerminkan disiplin serta gaya hidup sihat yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

Lautan cahaya telefon bimbit yang berkelip-kelip, disulami sorakan tanpa henti, mengakhiri malam tersebut dengan suasana emosional yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata — satu bukti jelas bahawa usia bukan penghalang untuk terus beraksi cemerlang dan memukau.

Secara keseluruhan, Legacy 30 merupakan manifestasi kekuatan sebenar seorang penyanyi yang berdiri teguh atas vokal, disiplin dan jiwa. Tanpa bersandar pada sensasi atau gimik, Dato' Sri Siti Nurhaliza membuktikan bahawa kehebatan sejati lahir daripada kejujuran dalam penyampaian, teknik yang konsisten serta cinta yang tulus terhadap seni.

Pada malam bersejarah itu, beliau tidak sekadar menyampaikan lagu, sebaliknya membawa penonton mengembara merentas kenangan, emosi dan identiti bersama. Kehadiran puluhan ribu peminat daripada pelbagai kaum dan usia menjadikan Legacy 30 simbol penyatuan rakyat Malaysia melalui muzik sebagai sebuah legasi hidup yang terus bernyawa dan akan kekal diraikan merentas zaman.


Persoalannya, adakah kehebatan yang dipamerkan Siti Nurhaliza pada malam 10 Januari lalu bakal mencipta satu lagi sejarah dalam konsert tradisional yang akan datang? Jawapannya terletak pada perjalanan seni yang telah beliau bina selama ini. Tepuk dada, tanyalah selera.

Catat Ulasan

0 Ulasan