Wajarkah FINAS di ambil alih oleh Kementerian Penerangan?

Bagi saya, isu ini tidak wajar kerana setelah FINAS di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, pelbagai kejayaan dan aktiviti dapat dilihat sehingga filem-filem Malaysia, di bawa pergi keluar negara di samping memperkenalkan budaya dan filem kita ke luar negara. FINAS bukan seperti dahulu, ia sekarang telah menongkah arus dengan pelbagai-bagai projek dalaman dan luaran sehinggakan pihak kementerian bersama FINAS telah memperkenalkan Dana Penggiat Filem, samada filem komersial mahupun filem Dokumentari. Dengan wujudnya satu unit di bawah FINAS, unit produksi ia telah membawa sinar baru kepada FINAS kerana projek-projek yang dihasilkan termasuk video opening 3D Festival Filem Kuala Lumpur baru-baru ini adalah dengan daya kreativiti krew FINAS, sehinggakan FINAS mampu tersenyum dengan kejayaan demi kejayaan yang dihasilkan. Oleh itu, apakah sebab pihak Kementerian Penerangan mahu mengambil alih FINAS? Apakah mereka melihat peranan FINAS selama ini yang sudah mula berkembang?. Apakah anda bersetuju seandainya FINAS diambil oleh Kementerian Penerangan?. Tepuk dada tanya selera.


PETIKAN ISU FINAS DI BAWAH KEMENTERIAN PENERANGAN?. sumber: Berita Harian, 12 Jan 09
Oleh Zainuri Misfar

Sudah tersebar luas ura-ura perbadanan ini bakal bertukar kementerian selepas lima tahun di bawah KPKKW

SELEPAS hampir lima tahun dua tahun berfungsi sebagai agensi di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) tiba-tiba ada pihak yang sedang giat melobi dengan mencadangkan supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dikembalikan semula kepada Kementerian Penerangan.

Cadangan ini pula timbul ketika Finas semakin menonjol dalam memainkan peranannya untuk memajukan industri perfileman negara. Malahan di bawah KPKKW juga Finas diberikan kebebasan untuk membuat segala perancangan berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan perfileman tanah air.

Difahamkan kertas kerja mencadangkan untuk membawa semula Finas ke Kementerian Penerangan akan dibentangkan ke Parlimen tidak lama lagi.

Sumber daripada penggiat filem tanah air, berkata, perkembangan ini sebenarnya tidak menggembirakan penggiat industri perfileman tanah air kerana mereka melihat Finas di bawah KPKKW sudah memainkan peranannya dengan baik.

Bahkan apa yang dikhuatiri apabila Finas berada di bawah Kementerian Penerangan ialah agensi itu tidak dapat memainkan peranan untuk membantu industri perfileman dengan berkesan sebaliknya setiap kegiatan mesti ada kepentingan dengan RTM.

Ura-ura cadangan pengambilalihan Finas daripada KPKKW kepada Kementerian Penerangan sudah tersebar luas di kalangan penggiat perfileman tanah air. Ramai yang mempersoalkan rasional di sebalik usaha untuk mengembalikan Finas kepada Kementerian Penerangan

Malahan ada mempertikaikan usaha itu kerana ketika Finas di bawah Kementerian Penerangan selama 18 tahun, tiada sebarang aktiviti berkaitan dengan pembangunan, perancangan dan pemasaran berkaitan dengan perfileman secara jelas. Finas ketika itu juga sering menghadapi masalah peruntukan kewangan yang tidak mencukupi untuk melakukan pelbagai aktiviti berkaitan dengan industri perfileman tanah air.

“Di bawah KPKKW, Finas boleh memberi tumpuan terhadap aktivitinya iaitu memajukan hal ehwal berkaitan perfileman bukan penyiaran. Kami tidak nampak apa kaitan atau peranan yang boleh dimainkan Finas kalau diletakkan di bawah Kementerian Penerangan kerana kementerian ini sepatutnya memberi tumpuan kepada industri komunikasi dan penyiaran,” katanya kepada Hip.

“Di bawah kementerian sekarang, banyak perubahan berlaku dalam Finas. Malahan Finas diberi kebebasan untuk mengatur pelbagai program, perbelanjaan, pengurusan dan perancangannya sendiri.

“Martabat Finas dan industri filem tanah air keseluruhannya juga sudah meningkat. Lagipun, apa sebenarnya tujuan Finas hendak diletakkan di bawah Kementerian Penerangan kerana Finas bukan aktif dalam penyiaran,” tambahnya lagi.

Bimbang perbadanan statik, tidak aktif

“SEBENARNYA kerajaan membuat keputusan yang betul apabila Finas diletakkan di bawah kementerian sekarang. Di bawah kementerian ini (KPKKW), barulah Finas nampak terserlah. Filem kita sudah banyak dipromosikan dan berjaya di luar negara. Pengurusan juga semakin baik. Bahkan aktiviti industri perfileman juga sekarang semakin rancak.

“Kami tidak nampak situasi ini boleh berlaku kalau Finas di bawah Kementerian Penerangan. Tambahan pula fokus utama agensi di bawah Kementerian Penerangan ketika ini ialah berkaitan dengan berita, informasi dan dunia penyiaran.

“Apa yang dibimbangkan apabila bertukar di Kementerian Penerangan, pergerakan Finas jadi kaku tidak aktif seperti sekarang.

“Dalam hal ini, peranan Finas bukanlah untuk memberi penerangan seperti Jabatan Penerangan tetapi lebih kepada pembangunan industri perfileman tanah air dan perkara ini sudah termaktub dalam Akta 244 ketika penubuhannya,” kata sumber penggiat industri ini.

Menurutnya, sejak empat Finas di bawah KPKKW, banyak perubahan dan pembaharuan boleh dilihat dengan jelas apabila perbadanan itu sering diberikan sokongan kewangan mencukupi untuk menaik taraf kemudahan penerbitan filem di Studio Merdeka, Hulu Klang termasuk peruntukan lebih RM40 juta untuk membina kompleks Double Mix Stage iaitu pusat penyuntingan, pengadunan filem dan sistem bunyi yang paling moden.

“Daripada mengambil semula Finas, kami fikir lebih baik Kementerian Penerangan berusaha berbuat sesuatu terhadap Filem Negara Malaysia. Jika tidak boleh Filem Negara Malaysia diserapkan dalam Finas.

“Ada perbezaan jelas antara Finas dan Filem Negara. Finas membuat dokumentari untuk dipaparkan ke seluruh negara atau dunia mengenai kemajuan serta kemakmuran Malaysia, sedangkan Filem Negara tanggungjawabnya lebih berbentuk dokumentasi atau untuk arkib. Peranan ini memang jelas berbeza.

“Kalau Filem Negara diserapkan dengan Finas, banyak perkara boleh dilakukan. Finas memerlukan tanah yang luas untuk menyediakan kemudahan kepada penggiat industri perfileman kerana ruang yang ada sekarang tidak mencukupi,” katanya.


Catat Ulasan

1 Ulasan

SYAFIQ YUSOF berkata…
kalau finas kena ambil alih, alamatnya peritlah produser-produser filem sebab takkan dapat merasa lagi pulangan duit rebat..