Festival Filem Klasik Ogos 2009... apa pendapat anda?


Percaya atau tidak, bulan Ogos 2009 ada dua buah festival filem akan berlangsung. Mulai 5 hingga 9 Ogos 2009, Festival Filem Malaysia ke-22, Kota Kinabalu, Sabah akan di adakan yang di anjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Manakala pada 11 hingga 13 Ogos 2009 pula, Festival Filem Klasik akan di adakan di Pulau Pinang yang di anjurkan oleh Paradise Sandy Beach Resort. Apakah pendapat anda berhubung penganjuran Festival Filem Klasik 2009 di Pulau Pinang, Ogos 2009 nanti?. Apa kata, jom kita selidiki apa yang ditulis oleh Abdul Aziz Ittar di dalam Utusan Malaysia berhubung penganjuran Festival Filem Klasik 2009 ini..

---------------------------------

FILEM-filem Melayu lama terbitan tahun-tahun 1950-an dan 1960-an termasuklah ketika era Studio Jalan Ampas, Singapura dan Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor merupakan produk-produk yang telah banyak meninggalkan nostalgia kepada dunia perfileman di negara ini.

Biarpun sudah lebih separuh abad diterbitkan, tetapi kebanyakan filem-filem klasik itu masih lagi ditayangkan di stesen-stesen televisyen (TV) selain terus diminati serta diperkatakan oleh para peminat filem Melayu tidak kiralah sama ada generasi lama dan juga yang baru.

Malah, bagi terus menghargai filem-filem lama, Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan Festival Filem Klasik Paradise buat kali kelima yang bakal disertai oleh ramai seniman dan seniwati tanah air.

Tan Sri Jins Shamsudin, salah seorang pelakon veteran yang terbabit menjayakan Festival Filem Klasik Paradise ke-5 berkata, pelbagai aktiviti seperti tayang filem, seminar dan bengkel akan diadakan pada festival yang bermula pada 11 hingga 13 Ogos ini.

Menurut seniman itu, menerusi festival yang mengenakan bayaran RM350 kepada peminat dan pencinta filem, mereka berpeluang beramah mesra dan mengetahui lebih lanjut tentang filem-filem yang akan diperkatakan pada festival itu kelak.

"Tahun ini tiga filem yang akan diperkatakan berjudul Sumpah Puntianak, Pendekar Bujang Lapuk dan Panca Delima. Bengkel, diskusi dan tayangan tiga filem itu akan diadakan khusus untuk para peserta yang terbabit sepanjang festival itu berlangsung.

"Kami juga akan membawa beberapa orang pelakon tiga filem itu bagi menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut. Antaranya, Datuk Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof dan Salma Ahmad bagi mewakili filem Sumpah Puntianak yang mereka lakonkan.

"Datuk Aziz Sattar mewakili filem Pendekar Bujang Lapuk dan saya pula mewakili filem Panca Delima. Inilah peluang para peminat untuk bertemu dengan pelakon filem-filem ini yang masih hidup," katanya pada sidang media festival itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Jins, selain aktiviti-aktiviti itu, majlis makan malam bersama para pelakon terbabit pada malam kemuncak Festival Filem Klasik Paradise juga merupakan peluang terbaik para peserta untuk bertanya lebih lanjut tentang filem-filem lakonan para pelakon terbabit.

Malah, katanya pakej berharga RM350 yang dikenakan itu meliputi bayaran bilik penginapan untuk dua orang di Paradise Sandy Beach Resort, sarapan pagi dan makan malam bersama para pelakon tiga filem selain ia turut dimeriahkan oleh ramai pelakon lain.

Selain empat pelakon veteran itu, turut serta ialah pelakon-pelakon seperti Uji Rashid, Hail Amir, Imuda, Sofiah Ibrahim, Mariani Ismail, Rozi Rozhaized, Omar Puteh dan Rosyam Nor bagi menambahkan lagi kemeriahan festival itu yang mendapat sambutan hangat setiap tahun.

"Selain seminar, tayangan filem, makan malam, diskusi dan bengkel filem, para peserta juga berpeluang melihat kami menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada filem-filem lakonan masing-masing. Sebelum ini kita mungkin jarang melihat pelakon veteran menyanyi.

"Itu adalah antara tarikan dan kelainan yang cuba kami tampilkan dalam festival ini yang dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada malam kemuncaknya pada 13 Ogos ini pukul 8 malam di pusat peranginan tersebut," ujarnya.

Hadir sama ialah Pengurus Hotel Paradise Sandy Beach Resort Pulau Pinang, Jeff De Zilva, Penolong Pengarah, Promosi & Pemasaran Finas, Ahmad Syazli Muhd. Khiar serta pelakon veteran seperti Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Kuswadinata dan Salmah Ahmad.

Sebagai salah seorang pelakon veteran yang dipilih menjayakan Festival Filem Klasik Paradise, Aziz Sattar pula berkata, pelbagai pengalaman para pelakon akan dikongsi bersama para peserta termasuklah cerita-cerita di sebalik tabir pembikinan sesebuah filem klasik.

"Sebagai contohnya, ramai orang tidak tahu bahawa Panca Delima asalnya merupakan sebuah filem dari Hong Kong yang diolah semula menjadi sebuah filem Melayu. Filem itu sarat dengan cerita-cerita fantasi yang telah disesuaikan dengan dunia perfileman Melayu ketika itu.

"Saya juga akan menceritakan pengalaman berlakon dalam filem Pendekar Bujang Lapuk. Ramai penonton generasi muda yang tidak tahu tentang asal usul pembikinan dan idea penghasilan skrip filem ini. Segala elemen-elemen seperti kami akan ceritakan pada festival itu nanti," jelasnya.

Sebarang pertanyaan dan tempahan nama untuk menyertai Festival Filem Klasik Paradise ke-5 sila hubungi Pegawai Perhubungan Awam Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang iaitu Virginia Ann menerusi talian telefon 019-543 4833 dengan segera kerana tempat yang ditawarkan adalah terhad.

**rasa macam nak pergi aje.. tapi 1 hingga 10 Ogos 2009 saya berada di FFM 22, di Kota Kinabalu, Sabah**

Catat Ulasan

0 Ulasan