'Jomlah C.I.U.M.... filem berjiwa Malaysia?

Mendengar sahaja tajuk 'Jomlah C.I.U.M', barangkali terlintas difikiran anda, apakah ia sebuah karya kontroversi atau karya songsang?. Pandangan sebegitu perlu dilontarkan jauh-jauh kerana Jomlah C.I.U.M bukannya karya sebegitu kerana tiada langsungpun elemen kontroversi seksual mahupun adaptasi murahan yang terdapat dalam filem ini. Jomlah C.I.U.M, merupakan singkatan kepada Jomlah Cari Identiti Untuk Malaysia (C.I.U.M), adalah filem terbaru arahan M.Subash Abdullah yang akan menemui penonton Malaysia pada 23 Julai 2009 dan ia telahpun ditayangkan kepada rakan media semalam di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas. Filem yang diterbitkan oleh Genius Parade Sdn.Bhd ini merupakan sebuah filem yang agak menarik kerana ia mengupas pelbagai isu dalam kehidupan melalui 3 watak utama yang mempunyai peranan masing-masing iaitu seorang uztaz, sami buddha dan paderi kristian. Ketiga-tiga mereka mempunyai ceritanya yang tersendiri. Cerita pertama mengenai seorang uztaz yang buta matanya tetapi cerdik akal fikirannya. Walaupun beliau tidak boleh melihat seperti manusia lain, namun beliau mempunyai hati yang bersih kerana segala bentuk pencerobohan minda dan kerosakan masyarakat di sekitar kampung amat dibimbangkannya. Melalui agama sahajalah, baginya masalah ini dapat diselesaikannya. Tindakan dan perhatian ustaz tersebut dalam memohon bantuan kewangan untuk membina surau di kampung itu, telah menarik perhatian seorang Sami Buddha dan Paderi Kristian. Kedua-dua mereka ini bersatu padu walaupun berlainan kepercayaan agama dan budaya, demi untuk menegakkan syiar islam yang dibawa oleh ustaz tersebut. Apakah yang berlaku seterusnya?. Berjayakah ustaz tersebut membina surau bersama-sama Sami Buddha dan Paderi Kristian, walaupun agak janggal dalam masyarakat?. Semua itu hanya akan terjawab sekiranya anda pergi menonton Jomlah C.I.U.M pada 23 Julai 2009 .

Jika dilihat dari sudut pemikirannya, Jomlah C.I.U.M karya M.Subash Abdullah ini cuba mempersoalkan kepada kita 'apakah sebenarnya filem dan apakah pula maksud Wayang?. Kedua-dua ini berbeza, kerana FILEM merupakan wadah pemikiran yang hanya dihasilkan untuk masyarakat berfikir dan menilai segala aspek yang dikemukakan menerusi bahasa visual yang merangkumi mis-on-scene dan nilai naratifnya, sebaliknya 'WAYANG' pula membawa erti yang sejagat iaitu untuk mengkomersialkan produk tanpa memikirkan nilai naratif demi untuk mengaut keuntungan. Produk WAYANG boleh dilihat dalam kebanyakkan filem-filem arahan Prof. Razak Mohaideen, Ahmad Idham dan sebagainya, cuma FILEM hanya boleh disaksikan melalui karya-karya M.Subash, Yasmin Ahmad, Amir Muhammad dan Dr. Hatta Azad Khan. Oleh itu, kedua-dua lambang ini (Filem-Wayang) adalah dua intipati yang amat berbeza sekali. Maka, dalam perkara ini M.Subash telah berjaya meletakkan dirinya sebaris pengarah-pengarah filem yang mempunyai jatidiri dalam menghasilkan FILEM bukannya WAYANG!.

Berbalik kepada intipati Jomlah C.I.U.M, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang lari daripada pendekatan komersial, kerana ia mempertaruhkan muka-muka baru yang sengaja diambil untuk keperluan watak ( mereka bukan pelakon) iaitu watak ustaz yang dibawa oleh seorang ustaz yang benar-benar buta dan watak seorang anak muda yang rosak akhlak lakonan seorang wartawan hiburan daripada portal cinema online. Keberanian watak ini harus dipuji pada M.Subash dan Surenthar (produser filem) yang berani mengetengahkan kedua-dua watak tersebut melalui plihan pelakon yang diambilnya, ia barangkali mungkin tidak digemari oleh penonton filem komersial. Seperkara mungkin yang seringkali dirisaukan daripada kalangan penggiat filem dan pengkritik ialah 'sambutan ke atas filem berjiwa Malaysia ini'. Percayalah, filem-filem sebegini hanya akan disukai oleh peminat FILEM , bukannya peminat WAYANG komersial.

Justeru, Jomlah C.I.U.M boleh dikatakan sebuah filem yang berisiko tinggi untuk diterima masyarakat kerana ia bukan filem komersial tetapi ia sebuah karya FILEM yang cuba mengangkat jatidiri masyarakat Malaysia bagi membentuk sebuah negara mengikut prinsip 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak. Namun begitu, jika anda peminat filem yang mencari-cari sebuah karya yang berkualiti tinggi dan mempunyai citarasa bagi membentuk 'masyarakat', maka filem Jomlah C.I.U.M perlu ditonton oleh semua golongan masyarakat tidak kira agama, budaya dan warna kulit kerana inilah filem untuk semua!!.

**nantikan Jomlah C.I.U.M dipawagam 23 Julai 2009**

Catat Ulasan

1 Ulasan

cambest jer...
nak tengoklah nanti....