
Jika dilihat dari sudut pemikirannya, Jomlah C.I.U.M karya M.Subash Abdullah ini cuba mempersoalkan kepada kita 'apakah sebenarnya filem dan apakah pula maksud Wayang?. Kedua-dua ini berbeza, kerana FILEM merupakan wadah pemikiran yang hanya dihasilkan untuk masyarakat berfikir dan menilai segala aspek yang dikemukakan menerusi bahasa visual yang merangkumi mis-on-scene dan nilai naratifnya, sebaliknya 'WAYANG' pula membawa erti yang sejagat iaitu untuk mengkomersialkan produk tanpa memikirkan nilai naratif demi untuk mengaut keuntungan. Produk WAYANG boleh dilihat dalam kebanyakkan filem-filem arahan Prof. Razak Mohaideen, Ahmad Idham dan sebagainya, cuma FILEM hanya boleh disaksikan melalui karya-karya M.Subash, Yasmin Ahmad, Amir Muhammad dan Dr. Hatta Azad Khan. Oleh itu, kedua-dua lambang ini (Filem-Wayang) adalah dua intipati yang amat berbeza sekali. Maka, dalam perkara ini M.Subash telah berjaya meletakkan dirinya sebaris pengarah-pengarah filem yang mempunyai jatidiri dalam menghasilkan FILEM bukannya WAYANG!.
Berbalik kepada intipati Jomlah C.I.U.M, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang lari daripada pendekatan komersial, kerana ia mempertaruhkan muka-muka baru yang sengaja diambil untuk keperluan watak ( mereka bukan pelakon) iaitu watak ustaz yang dibawa oleh seorang ustaz yang benar-benar buta dan watak seorang anak muda yang rosak akhlak lakonan seorang wartawan hiburan daripada portal cinema online. Keberanian watak ini harus dipuji pada M.Subash dan Surenthar (produser filem) yang berani mengetengahkan kedua-dua watak tersebut melalui plihan pelakon yang diambilnya, ia barangkali mungkin tidak digemari oleh penonton filem komersial. Seperkara mungkin yang seringkali dirisaukan daripada kalangan penggiat filem dan pengkritik ialah 'sambutan ke atas filem berjiwa Malaysia ini'. Percayalah, filem-filem sebegini hanya akan disukai oleh peminat FILEM , bukannya peminat WAYANG komersial.
Justeru, Jomlah C.I.U.M boleh dikatakan sebuah filem yang berisiko tinggi untuk diterima masyarakat kerana ia bukan filem komersial tetapi ia sebuah karya FILEM yang cuba mengangkat jatidiri masyarakat Malaysia bagi membentuk sebuah negara mengikut prinsip 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak. Namun begitu, jika anda peminat filem yang mencari-cari sebuah karya yang berkualiti tinggi dan mempunyai citarasa bagi membentuk 'masyarakat', maka filem Jomlah C.I.U.M perlu ditonton oleh semua golongan masyarakat tidak kira agama, budaya dan warna kulit kerana inilah filem untuk semua!!.
**nantikan Jomlah C.I.U.M dipawagam 23 Julai 2009**
1 Ulasan
nak tengoklah nanti....