'Industri Filem Malaysia akan hambar, tanpa Yasmin Ahmad!!'


Salam..

Selepas pulang dari menziarahi Allahyarham Yasmin Ahmad yang dikebumikan pada Ahad (26 Julai 2009) yang lepas di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, sebak di hati saya menyaksikan seorang ikon dunia perfileman tempatan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Tentunya ramai di antara kita akan merindukan karya-karya terbaru beliau terutamanya iklan-iklan tv terbitan Petronas apabila menjelang musim perayaan, tidak kira Aidil Fitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Portfolio pertama beliau ialah 'Rabun' berjaya meletakkan diri beliau sebagai pembikin filem yang mempunyai jatidirinya yang tersendiri. 'Sepet', 'Gubra', Mukhsin', 'Talentime' dan 'Muallaf' antara karya-karyanya yang berjaya membuatkan nama Yasmin Ahmad berada dipuncak dunia dengan jayanya. Namun, sekarang kita kehilangan seorang insan yang amat berharga dalam industri perfileman tempatan kerana 'tanpanya, industri filem tempatan akan hambar dengan karya-karya klise dari pengarah blokbuster yang hanya mengejar keuntungan bukan naratif cerita'. Ketika di temui semasa perkebumian Allahyarham Yasmin Ahmad, bapa kepada Yasmin Ahmad, Pak Atan atau Ahmad Hashim dengan nada sebak mengatakan bahawa 'beliau pergi.. habis semua projek-projeknya di Hong Kong, Japan, Singapore'. Tambah Muzaffar, abang kepada Yasmin, 'Malaysia akan hambar tanpa Yasmin'. Turut merasai kesedihan ialah, Mak Inom, ibu kandung kepada Yasmin Ahmad yang kesal dengan tindakan segelitir rakan media 'yang langsung tidak menghormati keadaan, dengan cerita-cerita yang mengaibkan!'. Paling terbaru, akhbar Kosmo telah mencetuskan kontroversi semalam dengan artikel berkaitan latar belakang Yasmin dan ia mendapat kritikan dan ulasan pedas daripada segelintir warga indutri, termasuk Datuk Marina Mahathir yang menyifatkan 'segelintir wartawan Kosmo dan Utusan' sebagai 'makhluk yang hina'.

apa yang menarik semasa perkebumian Yasmin Ahmad

  • Jenazah dikebumikan dan di hadiri oleh ramai penggiat industri filem tidak kira Melayu, India dan Cina. Bukan itu sahaja, kita dapat menyaksikan pelbagai kaum berkumpul di tanah perkuburan Yasmin Ahmad, seolah-olah tidak mahu melepaskan beliau pergi buat selama-lamanya. Maknanya, mesej perpaduan antara kaum sepertimana yang digambarkan di dalam filem-filem arahannya menjadi kenyataan.
  • Ramai yang berkumpul di Masjid Abu Bakar As-Siddiq SS19, Subang jaya bermula seawal 9.00 pagi hinggalah jenazah dibawa keluar pergi ke tanah perkuburan. Di sini kita dapat saksikan betapa indahnya perpaduan kaum. Kata Pak Atan 'macam solat jumaat, ramai yang datang'. Mak Inom dan Pak Atan mengucapkan ribuan terima kasih pada yang datang, dan maafkanlah kesalahan Yasmin kepada mereka yang mengenalinya'.
  • Kemesraan Pak Atan dan Mak Inom (bapa dan ibu Yasmin Ahmad), dapat dilihat apabila mereka bersama dan sempat memanggil 'Ling!!, sayang'.. itulah gambaran realiti dalam filem-filem arahan Yasmin, bermula dengan Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin. Kemesraan Mak Inom dan Atan adalah sebagaimana kisah Rabun yang diarahkan Yasmin adalah berkisarkan kisah familinya
  • Keluarga Yasmin akan mengadakan Tahlil untuk Allahyarham Yasmin Ahmad di kediaman Yasmin, yang terletak di SS22 Subang Jaya.
  • Semua berdoa agar Yasmin diampunkan dosanya oleh Allah S.W.T dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman.
p/s: Mengenali Yasmin membuatkan saya berasa amat bersyukur kerana beliau seorang yang tidak pernah lupa siapa dirinya, agamanya dan solat apabila beliau pergi ke mana-mana. Al -Fatihah buat Yasmin Ahmad... Seorang insan seni yang sukar di cari gantinya....

**Filem Talentime akan ditayangkan pada umum secara percuma pada 6 Ogos 2009, pukul 12.00 pm di GSC 1 Borneo, Sabah sempena Festival Filem Malaysia ke 22, 2009 yang akan di adakan di Kota Kinbalu, Sabah. Semoga Talentime berjaya..!**

AL FATIHAH
YASMIN AHMAD
(1958 - 2009 )

Catat Ulasan

0 Ulasan