Tribute Exclusive To Yasmin Ahmad... coming soon on 8 August 2009!!


Alhamdulillah......video ekslusif 'Tribute To Yasmin Ahmad' telah pun siap edit!! Thank's to my lovely editor, Dely yang bertungkus lumus bersama menyiapkan produk ekslusif ini yang akan ditayangkan pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 22, yang dipancarkan secara langsung dari Dewan UMS, Kota Kinabalu, Sabah menerusi stesen RTM. Kepada anda rakan blogger, pembaca setia dan peminat karya-karya Yasmin, jangan lupa untuk menantikan video ini pada malam Anugerah FFM 22, 8 Ogos 2009 di RTM. Untuk makluman anda, durasi video ini adalah cuma 1 minit 45 saat sahaja. Kiranya iklan la untuk mengimbas kenangan Allahyarham di dalam Industri Filem tempatan. Al-Fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad.. 'Pemergianmu bermakna kehilangan amat besar di dalam Industri Filem Tempatan'. Kami rindukan karya Yasmin...

MAJALAH 3 SIARKAN TRIBUTE TO YASMIN AHMAD SECARA EKSLUSIF
SABTU, 1 JULAI 2009, 9.00 MALAM

Petikan: Berita Harian

BAGI mengenang pengarah berbakat besar, Allahyarham Yasmin Ahmad yang pergi meninggalkan kita pada 25 Julai lalu, TV3 menerusi program Majalah Tiga akan menyingkap kembali pembabitan ketika hayatnya masih ada. Bertajuk Pewarisan Yasmin Ahmad, program selama sejam bermula 9 malam esok akan terus memahat namanya sebagai sebagai insan yang sangat kreatif dalam menghasilkan iklan televisyen yang cukup menggamit perasaan. Tidak dilupakan kredibiliti Allahyarham dalam menghasilkan deretan filem kontemporari seperti Talentime, Sepet dan Gubra. Menariknya, kru Majalah 3 turut berjumpa ahli keluarga Yasmin dan menyelami perasaan mereka terhadap kehilangan Allahyarham yang begitu rapat dengan ibunya, Enom Yon dan kakaknya Datin Orked Ahmad. Penggambaran juga dilakukan di pejabatnya, Leo Burnett dan mendekati beberapa rakan rapatnya di pejabat dan turut merakamkan kenangan di ruang biliknya yang dipenuhi pelbagai cenderamata dan anugerah yang diperolehnya. Tidak ketinggalan, temu bual juga membabitkan beberapa orang teman rapat dalam industri yang diceburi seperti Fatimah Abu Bakar, Othman Hafsham, Azean Irdawaty, Ahmad Puad Onah dan Datuk Seri Farid Ridzuan. Selain itu, Majalah Tiga berkesempatan menemuramah Datuk Seri Tony Fernandez, Pengurus Besar Kanan Bahagian Perundangan dan Korporat Petronas, Mohd Azhar Osman Khairuddin selaku wakil Petronas yang sering menggunakan khidmat Allahyarham untuk menghasilkan iklan sempena hari raya mahupun kemerdekaan.

Paparan Pewarisan Yasmin Ahmad mendekatkan penonton kepada seorang pembikin filem tanah air yang tulen kerana baginya filem atau iklan dilihat satu medium untuk berkongsi idea, cerita dan pengalaman tanpa mengira bangsa dan agama. Kejayaan Allahyarham dalam meneruskan legasi seninya sering bertimbal balik dalam keadaan sama ada disukai atau tidak. Lumrah hidup, kita tidak mampu memuaskan hati orang. Allahyarham juga tidak lepas daripada berdepan dengan kontroversi yang menjadi badi terutama dalam penghasilan filemnya. Pemergian Allahyarham ke rahmatullah kerana penyakit angin ahmar memberi impak tersendiri kepada industri dan juga penggemar karya seninya. Dia hadir hanya satu dalam sejuta, dipinjamkan seketika oleh Yang Maha Esa sebagai cahaya yang menerangi mereka yang dekat serta menghargai segala usaha dan perjuangannya. Tuhan lebih menyayanginya dan Allahyarham meninggalkan kita tanpa isyarat tertentu. Lalu jangan lupa temu janji anda untuk melekat di depan kaca TV3 jam 9 malam ini untuk sama-sama berkongsi perjalanan hidup Allahyarham yang pernah membuatkan kita menangis, tersenyum dan tercuit dengan sisi karyanya selama ini.

**Yasmin Ahmad sukar dicari ganti**

Catat Ulasan

0 Ulasan