Era kegemilangan Filem Bangsawan & Lagenda Melayu...

sumber: Sinema Malaysia.

Era kegemilangan filem melayu satu ketika dahulu menyaksikan filem-filem melayu klasik dengan tema kisah-kisah bangsawan, lagenda dan kepahlawanan bukan sahaja menjadi ‘genre’ filem yang sangat popular malah ianya merupakan sebuah kapsul masa yang merekodkan keunikkan adat resam dan budaya melayu itu sendiri. Terdapat hampir 90 buah judul filem melayu yang diterbitkan dengan tema bangsawan dan legenda.

Filem dengan tema bangsawan bolehlah diklasifikasikan sebagai sesuatu yang menampilkan kisah kepahlawanan atau yang berhubung kait dengan raja-raja atau perihal istana. Ia mempunyai kesinambungan dengan tema lagenda yang lebih menjurus kepada sesuatu yang bersifat mitos dan penglipur lara. Filem-filem bangsawan seperti Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Hang Tuah, Sri Andalas dan Lanchang Kuning merupakan sebahagian dari pelbagai koleksi kisah kepahlawanan di zaman kesultanan melayu silam yang diolah bukan sahaja berdasarkan sejarah malah menampilkan pelbagai aspek kebudayaan yang unik dan menarik. Filem dengan tema lagenda seperti Naga Tasik Chini, Si Tanggang, Anak Buluh Betong dan Raja Bersiong pula mencerminkan kreativiti penggiat filem terdahulu dalam menyampaikan kisah-kisah rakyat dengan olahan yang menarik dan jitu.

Filem-filem melayu klasik ini merupakan terjemahan paparan budaya dan adat resam melayu yang sangat tinggi nilai warisannya. Tanpa filem-filem seperti ini, kita mungkin hanya mengetahui kehidupan masyarakat terdahulu melalui bahan bacaan semata-mata. Namun dengan terjemahannya ke dalam filem, gambarannya menjadi lebih jelas dan berkesan. Filem-filem dengan tema bangsawan dan lagenda ini merupakan cereka dokumentasi budaya bangsa melayu satu ketika dahulu. Warisan yang sebegini indah wajar dihayati dan disemai pada generasi muda hari ini. Bak kata Laksamana Hang Tuah ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’.

Pameran akan bermula pada:

30 September - 31 Disember 2009 (Selasa - Ahad)
9.00 Pagi - 5.00 Petang
Tempat: Galeri Perfileman FINAS No.3 Jalan Pahang Kechil Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur
.

Catat Ulasan

0 Ulasan