Belanjawan 2012.. soal kenaikan gaji menjadi perbualan panas!. Isu Kerja bagi mereka yang kreatif!

Perbentangan Belanjawan 2012 akan diumumkan secara rasmi bermula 3.00 petang ini. Pengumuman khas akan dilakukan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak. Belanjawan 2012 boleh diikuti secara langsung, dengan 'klik di sini'.

Isu yang menjadi perbualan panas ketika ini ialah isu kenaikan gaji, penurunan harga minyak, kawalan harga terhadap barang dan keperluan harian, serta banyak lagi isu yang boleh difikirkan logik untuk diperbincangkan. Perbentangan khas yang bakal dibuat Perdana Menteri Malaysia itu diharapkan dapat mengurangkan beban rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah, sehinggalah berpendapatan tinggi tidak mengira status kedudukan - yang penting untuk kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Persoalan yang bermain difikiran saya ialah, apakah kenaikan gaji yang bakal diumumkan Perdana Menteri Malaysia dalam Belanjawan 2012 dengan meminimumkan gaji permulaan sektor awam ialah RM 1,500.00 sebulan, menjadi antara pulangan yang cukup memberangsangkan?. Jika seluruh rakyat Malaysia khususnya dalam sektor awam diberikan gaji permulaan RM 1,500.00, apakah mereka akan bersyukur dan berkerja keras tanpa menyusahkan orang lain? Bagaimana pula dengan penjawat awam atau rakyat Malaysia yang berpendapatan sehingga RM 15,000.00 sebulan. Apakah mereka juga menerima kenaikan gaji seperti yang akan diumumkan Perdana Menteri Malaysia dalam Belanjawan 2012 tidak lama lagi?. Saya bukannya mempersoalkan kenaikan gaji, tetapi saya mahukan kita lebih produktif dalam melaksanakan tugas harian dan kerja yang diamanahkan kepada kita. Jangan kerana kenaikan gaji, kita berbelanja boros dan mengamalkan hutang keliling pinggang untuk hidup lebih kaya, tetapi kita merana dari segi pengurusan kewangan yang boleh menghantui kita setiap bulan.

Soal bekerja atas nama kreativiti sememangnya sukar dihargai sesetengah pihak. Ada yang mahukan produk se-gah produk swasta, tetapi menggajikan pekerja mereka sama seperti penjawat awam yang hanya kerjanya menaip, menguruskan soal pejabat, dan sebagainya. Itu tidak boleh berlaku. Jika berlaku sekalipun, golongan seperti mereka itu perlu diberikan elaun yang setimpal dengan kerja kreativiti yang mereka lakukan. Misalnya dalam sektor kesenian, kebudayaan dan perfileman. Dalam sektor ini kita memiliki agensi kerajaan seperti Balai Seni Visual Negara ( dahulunya Balai Seni Lukis), Istana Budaya, dan FINAS. Ketiga-tiga agensi ini tentunya mempunyai pembekal khidmat, iaitu pekerja yang dikontrakkan dalam sesebuah organisasi selama setahun atau berpuluh-puluh tahun untuk bekerja sebagai mereka yang boleh dilabelkan sebagai 'mereka yang kreatif'. Apakah golongan ini diberikan gaji setimpal dengan kreativiti yang mereka lakukan. Misalnya, seorang penulis skrip dikontrakkan dalam sesebuah organisasi kerajaan dengan gaji minimum RM 2,000 sebulan. Mereka diberi tugas menghasilkan idea dan skrip yang pelbagai konsep, mengarahkan skrip yang mereka tulis, menerbitkan produk sehingga muncul dikaca tv dan sebagainya, diberikan gaji sebanyak itu?. Apakah itu cukup? Bagi saya gaji asas itu penting, dan perlulah ditambah dengan Elaun Kreativiti bagi menghormati kerja kreatif yang mereka buat. Jika golongan ini meninggalkan agensi kerajaan sekalipun, mereka boleh hidup lebih senang dalam industri hiburan dan filem tempatan. Tetapi, bukan semua hanya segelintir dari mereka berjaya dengan lapangan kreativiti yang mereka milih. Misalnya, seorang pengarah grafik di sebuah stesen tv kerajaan, dibayar gaji RM 1,500 sebulan. Dan kena pulak buat grafik 3D, 2D, opening title yang gah - tidak dihargai dengan bayaran setimpal. Dalam persoalan ini, gaji mereka yang kreatif tidak boleh sama dengan penjawat awam yang hanya datang kerja pukul 8.00 pagi dan balik pukul 5.00 petang!. Kalau senario ini tidak dirombak dengan seadilnya, mana mungkin kita boleh melahirkan negara maju setanding dengan negara luar yang bagi saya sudah lebih maju dari negara Malaysia. - kita boleh maju tetapi kita perlu berfikiran positif.

Justeru, Belanjawan 2012 ini diharapkan dapat memikirkan perkara ini kerana bagi saya tanpa rakyat dan tenaga kerja dari pelbagai sektor, mana mungkin Malaysia boleh pergi jauh dan setanding dengan negara maju di dunia. Tepuk dada tanya akal, tanya minda tanya selera.. kerana jawapan itu terletak ditangan anda..

Wallahuallam.

Catat Ulasan

0 Ulasan