' 70 PAWAGAM TEMPATAN MAINKAN LAGU NEGARAKU'- Ahmad Shabery Cheek




Sebanyak 70 pawagam di seluruh negara akan memainkan lagu Negaraku dan tiga promo kemerdekaan sebelum tayangan sesebuah filem di premis masing-masing selama tiga minggu mulai malam ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu merupakan usaha untuk memupuk semangat dan menzahirkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat Malaysia selain menyemarakkan sambutan Kemerdekaan.

Beliau berkata antara rangkaian pawagam yang mengambil bahagian ialah Cathay Cineplexes, TGV Cinemas, Golden Screen Cinema, Lotus Five Stars Cinemas dan MBO Cinemas.



"Ini merupakan tahun kedua kita mainkan lagu Negaraku dan tayangkan promo kemerdekaan, kita mula malam ini sehingga 16 September depan," katanya ketika melancarkan tayangan lagu Negaraku dan promo kemerdekaan di pawagam Cathay Cineplexes, Ecurve, Mutiara Damansara di sini, malam ini.

Ahmad Shabery berharap pengunjung pawagam dapat memberi kerjasama dengan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.

Tiga promo yang akan ditayangkan adalah Sajak Merdeka, Jalur Gemilang serta Di sini Lahirnya Sebuah Cinta dan semuanya diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

- BERNAMA

Catat Ulasan

0 Ulasan