SIAPA BERANI BIKIN FILEM P.RAMLEE?


Tidak sempat saya mengenali atau melihat Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee secara dekat. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973, saya masih terlalu kecil untuk memahami dunia perfileman Melayu yang berpusat di Kuala Lumpur mahupun Si-ngapura sebelum itu.
Saya hanyalah salah seorang daripada jutaan peminat kecil yang memuja lagu-lagu nyanyian P Ramlee bersama isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma nun jauh di bumi Jelapang Padi Kedah. 
Ketika itu saya belum mengerti cabaran mahupun kesusahan yang ditanggung P Ramlee terutama pada hujung-hujung kariernya yang memasuki zaman gerhana. Bagi saya, P Ramlee adalah suatu kemasyhuran dan seorang manusia bersuara merdu. 

P Ramlee juga adalah Kassim Selamat, Aduka, Cikgu Shaari dan Sabaruddin si tukang kasut. Itulah antara kelibat P Ramlee yang saya ingat ketika masih di bangku sekolah rendah.

Dunia kecil saya hanya ditemani radio dan TV hitam putih. Dulu mana ada TV3 atau Astro. Kita cuma ada RTM saja dan kalau hendak tengok filem warna-warni, kita mestilah pergi ke panggung.

Filem P Ramlee juga 99 peratus dihasilkan dalam hitam putih kecuali Hang Tuah arahan Phani Majumdar. Kalau tak salah saya, itulah satu-satunya filem klasik dalam Eastman Color menyebabkan saya jadi teruja melihat apa warna baju yang dipakai P Ramlee, Nordin Ahmad, Zaiton, Sa’amah dan Siti Tanjong Perak. 
Selebihnya P Ramlee adalah suatu imej klasik hitam putih macam juga filem Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang. Oh ya, dua filem P Ramlee yang saya sempat saya tonton di panggung adalah Jangan Tinggal Daku dan Putus Sudah Kaseh Sayang pada 1971. Antara ingat dan lupa, saya dibawa menonton ibu dan arwah nenek di Panggung Sky, Jalan Putra, Alor Setar. 

Rasanya ramai orang sedia maklum mengenai kehebatan P Ramlee. Saban tahun apabila tiba ulang tahun detik kelahiran dan kematian beliau, peminat serta pihak media akan mengimbas segala pencapaian P Ramlee. Namun kita tidak mahu asyik bercakap benda yang klise. Kita mahu melihat apa seterusnya kita boleh buat untuk P Ramlee sesudah sekian lama beliau berbudi kepada budaya bangsa dan negara ini. 

Suatu ketika dulu Harian Metro pernah mengusulkan kewujudan setem kenang-kenangan P Ramlee. Ia sudah pun berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pos Malaysia dan mencatat sejarah hebat buat anak seni Malaysia kerana pertama kali wajah artis dipaparkan pada setem. Sebelum itu kita sudah ada beberapa mercu tanda yang ditujukan khas buat beliau seperti Pustaka Peringatan P Ramlee, Pawagam Mini P Ramlee, Rumah P Ramlee dan Jalan P Ramlee. 

Bagaimanapun, bagi seorang pencinta filem, saya masih mengharapkan lahirnya sebuah filem biografi P Ramlee yang unggul dan benar-benar berkualiti. Masih hairan, kenapa pada zaman Malaysia yang semakin moden ini, belum ada pihak atau produser yang berani menghasilkan filem kisah hidup mengenai P Ramlee? 

Sekurang-kurangnya di pentas teater, Datin Seri Tiara Jaquelina sudah mengorak langkah menghasilkan muzikal P Ramlee di Istana Budaya (IB) tidak lama dulu yang mendapat sambutan hangat. Bagaimanapun untuk sebuah filem, mengapa kita tidak mengorak langkah dari sekarang dengan me-ngumpulkan segala bakat, kreativiti dan kepakaran teknologi perfileman yang kita ada. 

Saya sedar untuk menzahirkan sebuah filem me-ngenai kisah hidup P Ramlee, ia bukannya kerja senang. Kajian mendalam terhadap fakta dan memperoleh hak cipta mesti dibuat dengan betul, ditambah dengan penghasilan skrip dan lakon layar yang kukuh. Aspek penting lain termasuklah pemilihan pelakon (casting), rekaan seni, set dan segala hal logistik yang membabit-kan penggambaran. Projek mega begini pasti memakan masa bertahun lamanya. 

Memandangkan P Ramlee adalah khazanah negara kerana namanya sendiri sudah termaktub pada beberapa monumen dan jalan raya, seharusnya juga filem biografi P Ramlee juga mendapat sokongan padu daripada pihak kerajaan, kementerian dan perbadanan yang berkaitan dengan seni dan filem. Bantuan dana mahupun sokongan dalam bentuk geran boleh diberikan kepada pengkarya bertauliah yang bakal mengemudi produksi filem itu kelak. 

Saya melihat penghasilan filem biografi P Ramlee sangat penting kerana ia boleh menjadi satu lagi khazanah seni berharga buat Malaysia. P Ramlee bukan saja dikenali di Malaysia tetapi juga Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam malah di mana juga muzik serta filem Melayu dapat difahami. Ia seharusnya menjadi karya seni yang boleh menjual nama Malaysia di peringkat dunia dan festival-festival filem apatah lagi pada saat dunia sekarang sedang memerhati negara kita. 

Bagi saya, kejayaan P Ramlee di rantau Asia Timur adalah satu fenomena. Ia seharusnya didedahkan agar bangsa hari ini dan masa depan akan lebih kenal sejarah seorang anak watan kelahiran Pulau Pinang bernama P Ramlee. Al-Fatihah 

Artikel menarik oleh Roslen Fadzil (roslenmetro@gmail.com)

Catat Ulasan

0 Ulasan