ASTANA CINTA ALEESA : CATAT 1.5 JUTA PENONTON!

Meskipun drama Astana Cinta Aleesa belum lagi sampai ke episod kemuncaknya pada Rabu lalu; iaitu  siaran episod yang ke 12,  drama ini telah mencatat jumlah tontonan yang tinggi sehingga mencecah 1.5 juta tontonan!   Astana Cinta Aleesa terbitan OrangeTree Communication Sdn Bhd ini yang disiarkan bermula 26 Ogos yang lalu merupakan drama bersiri pertama menerusi slot Ratu mendapat jumlah tontonan tertinggi di TV9 di mana hampir setiap episod mencatat jumlah tontonan yang tinggi. Diarahkan oleh pengarah berpengalaman Eoon Shuhaini, drama bersiri yang bakal berakhir minggu hadapan ini dibarisi oleh pelakon popular seperti  Emma Maembong, Nazim Othman, Amyra Rosli, Bill Azali sambil dibantu oleh pelakon cilik, adik Puteri Balqis, Ku Faridah, Aliza Shahadan, Falisha Crossley dan Ezzrin Loy.

Berkisarkan mengenai rumah tangga Aleesa (Emma Maembong) dan Zhariff (Nazim Othman) yang retak disebabkan orang ketiga. Drama ini menyusuri liku-liku tragik, di mana ia memberi fokus kepada kemusnahan rumah tangga melalui persahabatan yang baik melalui rakan Aleesa sendiri iaitu Zaleha (Amira Rosly).  Zaleha cemburu dengan kesempurnaan hidup Aleesa kerana mempunyai suami yang tampan, bekerjaya dan mempunyai anak yang menyerikan lagi kehidupan mereka. Keadaan menjadi semakin keruh apabila anak kedua mereka yang dinanti setelah hampir enam tahun, Zarul, meninggal dunia akibat kecuaian.  Aleesa yang merasa tertekan mula hilang arah seterusnya membuka peluang buat Zaleha untuk meracuni fikiran Zhariff dengan mengatakan Aleesa sudah gila.

 
Ketegangan mereka ditambah lagi dengan kehadiran Jimmy, yang menyimpan dendam terhadap Zhariff sejak dari zaman universiti lagi kerana dia dibuang universiti disebabkan Zhariff. Jimmy telah mengatur strategi dengan berbuat baik kepada Zhariff sehingga berjaya membuatkan Zhariff ditangkap polis atas tuduhan menyeleweng wang syarikat.  Kehadiran Zaleha dan Jimmy yang kemudiannya berpakat benar-benar telah mengkucar kacirkan lagi keluarga bahagia Zhariff dan Aleesa sehingga mereka berpisah.
 
Adakah kebenaran akhirnya akan memihak kembali kepada Aleesa? Dapatkah Zhariff menebus kesilapannya setelah melukai hati Aleesa? Segalanya akan terjawab dalam minggu terakhir Astana Cinta Aleesa pada Selasa dan Rabu, 7 dan 8 Oktober jam 8.30 malam di TV9.  Siaran ini juga boleh ditonton seminggu awal di tonton premiere. Untuk maklumat lanjut layari www.tv9.com.my dan siaran ulangan di www.tonton.com.my.




Catat Ulasan

0 Ulasan