'MENJAGA CINTAMU', EKSPRESI SITI NURHALIZA DALAM FILEM ANWAR THE UNTOLD STORY

Walaupun berbaki lagi sebulan sebelum memasuki pawagam tanah air, Filem 'Anwar The Untold Story' boleh dikatakan sebuah naskhah yang ditunggu ramai. Ini kerana filem terbitan Bianglala Entertainment itu memaparkan perjalanan sebuah kisah biografi mengenai tokoh politik terkenal yang kini Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Filem yang menampilkan Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau, Dewi Irawan, Saskia Chadwick, Felice Lovely Hidayat dan Azzahra Annasera itu diarahkan pengarah filem terkenal Indonesia, Viva Westi. Menelan perbelanjaan sekitar RM10 juta, 'Anwar The Untold Story', juga menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Penglibatan Siti dalam filem 'Anwar' ini adalah sebagai penyanyi lagu tema bagi runut bunyi (OST) lagu bertajuk 'Menjaga Cintamu'. Lagu ciptaan komposer ternama dari Indonesia, Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara itu menceritakan tentang kesetiaan sebuah cinta agung dan pengorbanan seorang wanita bernama Wan Azizah. 

Ketika mengulas lanjut, Siti mengakui dia menerima tawaran untuk menyanyikan OST tersebut kerana tertarik dengan mesej di sebaliknya. Ia menggambarkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan secara amnya untuk wanita yang setia dalam mencintai pasangan mereka. 

"Saya terima tawaran untuk menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini serta tertarik dengan mesej kesetiaan wanita itu. Saya juga memahami lagu dan lirik Menjaga Cintamu ini menceritakan mengenai kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita. Kebetulan juga saya memang dalam fasa menerbitkan album terbaharu", ujar Datuk Seri Siti Nurhaliza optimis dan teruja kerana dapat bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat dari seberang itu.

Siti yang menyimpan hasrat sudah lama untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer Andi Rianto itu berbaloi apabila penerbit filem Anwar, Zunar atau Zulkiflee Anwar Haque memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada sejarah untuk filem hebat ini menerusi sumbangan suaranya untuk lagu runut bunyi tersebut. 

Berkongsi pengalaman di studio, kata Siti, proses rakaman lagu Menjaga Cintamu berlangsung selama sejam, dan Andi sendiri yang menjaga vokal dan menerbitkannya.  Rakaman berlangsung di Cranky Music, milik komposer dan penggubah lagu, Aubrey Suwito. 

"Ia satu pengalaman baharu dan saya akui gementar kerana pertama kali bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya. Rakaman berlangsung selama sejam dan Andi terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih. Namun, lagu Menjaga Cintamu memang senang masuk ke dalam hati dan dapat saya nyanyikan dalam tempoh tidak beberapa lama. ", katanya 

Selain Malaysia, Filem Anwar The Untold Story juga turut menjalani penggambaran di Indonesia. Ia merupakan karya berjiwa besar yang akan menemui khalayak penonton tempatan bermula Mei 2023. 

Amy Ikram by wajib tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan