"SAYA BOLEH BERLAKON PELBAGAI WATAK!", DATO' JAAFAR ONN

Walaupun dikatakan hanya mampu melakonkan satu-satu watak sahaja, pelakon, pelawak, pengacara dan chef selebriti terkenal, Dato' Jaafar Onn menafikan sekeras-kerasnya beliau hanya boleh berlakon watak seorang 'lelaki lembut' sahaja.

Jaafar ketika ditemui di Majlis Sidang Media dan Tayangan Perdana Program Raya Astro 2023 di Le' Meridien Petaling Jaya petang Khamis menyifatkan beliau boleh berlakon dalam apa jua watak yang diberikan kepadanya. 

"Kadang-kadang orang kita juga yang menjatuhkan kita. Kata saya tak boleh itu, tak boleh ini. Jaafar Onn tak boleh berlakon. Jaafar Onn hanya boleh berlakon watak lembik saja dan tak boleh watak lain. Hanya itu saja boleh buat. Jadi saya rasa terkilan," kata Jaafar dengan nada kecewa dan berharap akan ada watak yang mencabar kredibilitinya sebagai seorang anak seni. 

Jaafar Onn yang terlibat dalam industri hiburan dan filem tanah air sejak tahun 1973 , bermula dengan filem XX-Ray (1992)  kemudian Tarik-Tarik, Putera, Penyu, Suami Isteri dan ...?, Gemerlapan, Baginda, Kembara, Soalnya Siapa?, Aku No 1, Bintang Hati, Rock, Tipah Tertipu The Movie, Salah Bapak, Sifu & Tongga, Azura, Jangan Pandang & Pandang, Rock Oo, 18 Puasa Di Kampung Pisang, dan Kampung Latah The Mummy, juga aktif melakonkan pelbagai buah drama tempatan.

"Bagi apa watak pun saya terima. Sekarang saya sedang mencari watak seorang ayah yang dianiaya oleh anak-anak. Saya sedang cari siapa yang boleh tawarkan watak begini. Saya boleh menangis, dan apabila orang cakap saya boleh berlakon satu watak atau karektor sahaja, saya terkilan", luah Dato' Jaafar Onn tersenyum tapi penuh makna.

Menurutnya, selain berlakon, Jaafar juga aktif menghiburkan peminat melalui persembahan nyanyiannya bersama rakan artis di beberapa buah acara, dan terkini beliau terbabit dalam program masakan di Plaza Masalam, Shah Alam dalam sebuah acara sempena Ramadan.

"Tengok juga pada keadaan. Jika ia berbaloi dan menyeronokkan, saya akan terima. Pada usia sekarang, kerjaya seni hanyalah sebagai hobi, namun program amal saya tetap utamakan sebagai saham akhirat", ujar Dato' Jaafar Onn.

Apabila diajukan soalan berkenaan tahap kesihatannya, Jaafar berkata beliau sudah beransur sihat dan mahu kembali aktif mewarnai industri hiburan tanah air yang menjadi darah dagingnya sejak 5 dekad. 

Amy Ikram by wajib tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan