PASANGAN DUO BLOCKBUSTER KEMBALI DENGAN POLIS EVO 3, MEI INI

Filem aksi blockbuster terlaris Polis Evo kembali untuk melengkapkan triloginya, POLIS EVO 3 yang akan menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia, Singapura, Brunei bermula 25 Mei ini! Polis Evo 3 mengembalikan tunggak utama Zizan Razak sebagai Inspektor Sani dan Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai. ‘Keluarga Polis Evo’ juga bertambah besar apabila disertai nama-nama hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Douglas Lim, Farali Khan, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana

Lebih menarik, Polis Evo 3 turut dijayakan dengan penampilan khas pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Michael Ang, Ben Amir, Wanna Ali, Zulin Aziz, Fauziah Gaos, Ezzaty Abdullah, Iman Corrine Adrienne, Danial Zaini, Radin ERA, Kamaliah Mat Dom, Datin Fadilah Mansor, Daniel Cheang, Isha Norsham ERA dan pempengaruh media sosial Zukieeeee. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa oleh Dato’ Afdlin Shauki yang pasti mencuit hati. 
Bermula dengan filem Polis Evo (2015) yang meraih kutipan RM 18 juta dan Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan RM 25 juta, ia memperlihatkan keupayaan dan garapan berbeza oleh pengarah-pengarah dengan kaliber tersendiri. Polis Evo diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Polis Evo 2 diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew dan untuk Polis Evo 3 kali ini, pengarah filem pecah panggung, Syafiq Yusof
mengambil tugas untuk menghasilkan sebuah lagi karya yang bakal menjadi ikonik. Mereka ini adalah pengarah muda berbakat besar. Dihasilkan rumah produksi BlackFlag, buat pertama kalinya juga filem Polis Evo melibatkan gabungan tiga penerbit besar Malaysia iaitu Astro Shaw, Skop Productions dan TGV Pictures. 

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, berkata, “Filem francais box-office Polis Evo yang paling dinantikan ramai kini bersedia menemui penonton menerusi sekuel ketiganya. Kelainan Polis Evo 3 kali ini tentunya menampilkan lebih aksi, lebih dramatik, dan mengembangkan ‘keluarga Polis Evo’ melalui watak-watak baru untuk turut bersama dalam perhubungan ‘bromance’ Inspektor Khai dan Inspektor Sani. Di samping itu, Polis Evo 3 turut mengalu-alukan rakan penerbit baru Skop Productions dan TGV Pictures dalam memperkukuhkan lagi strategi penerbitan filem ini. Kami juga akan tampil dengan rangkaian promosi kreatif dengan menjalinkan kerjasama bersama jenama-jenama PUBG MOBILE, serta video pendek khas bersama pempengaruh media sosial bertaraf antarabangsa, Sofyank, di samping inisiatif kreatif bersama rakan-rakan pemamer. Kami harap kemunculan semula selepas lima tahun dapat memberi keterujaan kepada penggemar, penonton dalam dan luar negara serta industri perfileman tempatan.” 
Pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam
menyatakan rasa teruja berpeluang terlibat dalam filem francais terbesar negara yang dinanti-nantikan penonton. “Astro Shaw telah mewujudkan keserasian dalam bekerjasama dengan Skop Productions melalui filem-filem kolaborasi terdahulu. Sebagai penerbit dan pengkarya seni tentunya kami ingin menghidangkan sesuatu yang berbeza dan sekali gus mampu menepati cita rasa penonton. Polis Evo 3 diarahkan oleh Syafiq Yusof dan kami yakin kemampuan beliau mampu menghasilkan sebuah filem  luar biasa. Nantikan filem Polis Evo 3 dan harapan kami agar karya ini mampu mencipta fenomena tersendiri serta memberi kejutan dalam industri perfileman kita.”  

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Pictures & TGV Cinemas, Encik Tan Lay Han, “TGV rasa amat berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat penerbit perfileman gergasi Malaysia, Astro Shaw dan SKOP Productions, menerusi francais filem blockbuster Polis Evo. Melihat sambutan francais terdahulu, TGV yakin Polis Evo 3 mampu mengulangi dan mencipta kejayaan tersendiri. Kerjasama ini juga adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab kami dalam menyokong industri perfileman tempatan dan berharap dapat menjalinkan usahasama sebegini lebih banyak lagi pada masa hadapan."
Polis Evo 3 menyaksikan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. 

Pembelian tiket awal bagi menyaksikan filem Polis Evo 3 ini akan dibuka mulai 11 Mei 2023 di seluruh aplikasi pawagam tanah air. Menariknya, lagu tema untuk Polis Evo 3 ini akan menampilkan gabungan hebat Malique, Kmy Kmo, Aman Ra dan vokal terbaik, Ernie Zakri bertajuk 'Ayuh', ciptaan oleh komposer legenda rap terkenal, Malique bersama penulis lirik Adeep Nahar dan juga Malique, Kmy Kmo, dan Aman Ra.
Bagi menyemarakkan lagi demam filem ini, Astro Shaw juga akan mengadakan sesi jelajah di beberapa buah bandar di Semenanjung Malaysia, bermula pada
26, 27, 28 Mei di Terengganu, Pahang; 3, 4, 5 Jun di Kedah, Penang, Perak; dan 9, 10, 11 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw melalui rumah produksi BlackFlag , Polis Evo 3 juga menampilkan Skop Production dan TGV Pictures sebagai rakan kerjasama bagi penerbitan dan pengedaran filem. Bakal menemui penonton dan peminat filem bermula 25 Mei ini, Polis Evo 3 merupakan filem ke-13 arahan Syafiq Yusof.

Amy Ikram by wajib tonton. 

Catat Ulasan

0 Ulasan