ZIANA ZAIN TERUJA BERKONGSI PENTAS DENGAN SANISAH HURI & DATUK HAIL AMIR

Apabila saat namanya ditawarkan untuk mengadakan persembahan di pentas bertaraf legenda itu, Ziana Zain seakan-akan tergamam tanpa kata-kata malahan teruja berkongsi pentas dengan penyanyi legenda, Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri. 

Konsert Raya Sepanjang Zaman yang dibawakan khas oleh Orkestra Filharmonik Malaysia di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Mei 2023 nyata menjadikan impian Ziana Zain satu kenyataan. 

Berkongsi keterujaan, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 55 optimis menantikan debaran konsert penuh bermakna itu. 

"Kalau nak kata, berdebar tu mestilah. Sebab impian saya untuk mengadakan persembahan di pentas ikonik ini akhirnya termakbul. Dapat nyanyi satu lagu pun jadilah. Tetapi, tuhan berikan rezeki untuk saya menyanyikan banyak lagu. Ini julung kali, saya menyanyi diiringi orkestra seramai 60 pemuzik. Sebelum ini saya hanya menyanyi lapan pemuzik sahaja, itupun bersama Orkestra Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Pastinya ia memberikan pengalaman yang sangat berharga untuk saya ingati, malahan susunan muzik bagi persembahan ini lebih besar dan mengkagumkan. Saat mengetahui saya akan berkongsi pentas dengan dua penyanyi bertaraf legenda seperti Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri, bayangkan waktu itu saya bagaikan hilang kata-kata, memandangkan kedua-dua penyanyi ini memang saya minati dengan rangkaian lagu-lagu mereka yang begitu malar segar sampai ke hari ini", ujar Ziana ketika sidang media Konsert Raya Sepanjang Zaman di DFP, Menara Berkembar Petronas KLCC, baru-baru ini. 

Konsert yang dikemudikan oleh konduktor MPO terkenal, Ahmad Muriz Che Rose itu juga menampilkan penyanyi muda berbakat besar, Bob Yusof. Peminat muzik yang ingin menyaksikan konsert ini bolehlah segera ke laman www.mpo.com.my. untuk membuat pembelian tiket sebelum ia kehabisan. 

Berkongsi kepada media, menurut Ahmad Muriz Che Rose, "susunan muzik pada konsert kali ini jadi lebih besar kerana penyanyi terbabit bukan calang-calang. Kita akan susun semula lagu yang akan dipersembahkan dan memberi keadilan kepada muzik yang sudah tersusun indah. Kita akan besarkan lagu itu. Kita ada penyanyi hebat seperti Ziana dan kita mahu gabungkan kehebatannya itu dengan muzik yang sudah kita gubah," katanya.

Ketika ditanya apakah senarai lagu yang akan dipersembahkan, Ahmad Muriz menambah beliau berharap peminat muzik akan datang menyaksikan konsert ini. Menariknya, Ziana Zain akan menyampaikan seleksi lagu-lagu raya malar segar nyanyian asal Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Datuk Sheila Majid. 

Tiket-tiket berharga RM218, RM268, RM318, RM368, RM600 dan RM650 boleh dibeli di sini

Amy Ikram by wajib tonton.
Kredit Gambar : NSTP/Rohanis Shukri

Catat Ulasan

0 Ulasan