KHAI BAHAR ENGGAN DIBAYANGI PENYANYI ASAL LAGU PANO

Bagi mereka yang pernah mendengar versi tagalog nyanyian asal  Zack Tabudlo mungkin akan membuat perbandingan dengan versi melayu nyanyian Khai Bahar. Kedua-dua lagu tersebut memaparkan keindahan melodi yang begitu mengasyikkan. 

Pano nyanyian Zack Tabudlo dari Filipina dan 'Bagaimana' nyanyian Khai Bahar menjadi antara lagu ikonik yang begitu popular dan dekat dengan jiwa pendengar. Digubah oleh penerbit muzik tersohor, Johan John, 'Bagaimana', yang dinyanyikan oleh Khai Bahar itu diterbitkan oleh Universal Music Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, Khai, 29, menganggap ia peluang yang baik untuk dirinya memandangkan populariti lagu Pano itu cukup besar malahan ia mendapat tontonan lebih 104 juta dalam YouTube walaupun berbahasa tagalog. 

“Saya sangat gembira apabila ditawarkan Universal Music Malaysia untuk bekerjasama dalam projek lagu bertajuk Bagaimana. Ini satu peluang keemasan untuk saya galas sebaiknya demi pastikan versi Melayunya sehebat lagu asal,” kata Khai.

Walaubagaimanapun, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin tidak mahu dibayangi penyanyi asal lagu Pano. Keindahan lirik menerusi melodi asal cukup kuat bagi menterjemahkan Pano sebagai sebuah karya muzik bersifat universal.

'Bagaimana' yang liriknya diolah semula oleh Shah Shamshiri itu memberi signifikan tersendiri sebagai sebuah karya agung mengenai cinta dan kehilangan. 

Apabila bercakap mengenai proses rakaman lagu tersebut, Khai berkata ia suatu pengalaman yang menyeronokkan kerana inilah kali pertama dia digandingkan dengan komposer tersebut. 

"Saya memuji corak kerjanya yang begitu teliti tetapi pada masa sama dia tidak memberi tekanan buat saya dan saya percaya itulah kelebihan yang ada padanya. Dia sentiasa memastikan setiap aspek lancar sepanjang masa," kata Khai berharap peminat muzik dapat menerima buah tangan terbaharunya itu. 

'Bagaimana', kini boleh di dengar berulang kali melalui platform penstriman muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya pula dalam YouTube Universal Music Malaysia.

Amy Ikram by wajib tonton.
Kredit Gambar : Utusan Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan