ANITA ENTERTAINMENT DAN DXN HOLDINGS JALIN KERJASAMA SOSIAL

Bagi merancakkan aktiviti seni dengan gabungan beraneka program, Anita Entertainment & Production telah menganjurkan pelbagai aktiviti kemanusiaan, sekaligus merapatkan ikatan persaudaraan sesama manusia. 

Terkenal dengan misi bantuan dan jalinan kembara yang menyantuni pelbagai kelompok masyarakat tidak mengira peringkat usia, Anita Yusop, pengasas dan presiden Anita Entertainment & Production berkata usaha yang dilakukan ini merupakan tanggungjawab sosial dan korporat di bawah kelab Anita Bikers bagi merapatkan jurang kemanusiaan. Ia selaras dengan pendirian Anita Entertainment bagi membawa seni dan hiburan bersama aktiviti kemanusiaan melalui siri jelajah permotoran yang telah dilakukannya beberapa tahun sebelum ini. 

Walaupun hanya dikenali sesetengah pihak, namun usaha Anita wajar dihargai sebagai satu wadah perjuangan bagi memakmurkan masyarakat sekaligus mampu menjana pendapatan menerusi beberapa kerjasama yang dilakukan antara syarikat korporat samada kerajaan mahupun swasta. 

Atas inisiatif bagi membantu para usahawan menjana pendapatan, Anita Entertainment & Production kali ini bekerjasama dengan DXN Holdings bagi membawa jenama terkenal itu untuk menerokai pasaran yang lebih luas. 

"Ia satu usaha penjenamaan produk dan perkhidmatan 
melalui siri jelajah kemanusiaan, acara dan program CSR. Kita juga berharap produk-produk yang dikeluarkan DXN ini dapat dipromosikan secara meluas. Melalui Anita, kita mampu lakukannya", ujar Anita Yusop ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Raya Anita Entertainment & Productions bersama DXN yang telah diadakan pada Isnin petang di Cyberville, Cyberjaya. 

Seramai 60 orang anak anak yatim dari Rumah Pusat Jagaan Nurul Hasanah, Ampang dan Rumah Anak Yatim Muhibbah, Rawang diraikan. Di samping itu, sumbangan duit raya untuk anak anak yatim telah diberikan oleh DXN melalui Datuk Lim Siow Jin, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN Holdings bersama isteri, dan Anita Yusop, Pengasas & Presiden Anita Entertainment & Productions. 

Selain itu, beberapa selebriti tanah air turut diraikan antaranya  Dato’ Nash Lefthanded, Rozita Rohaizad, Zul Handyblack, Khaty Azian, D’ Royce Saayan, persatuan Artis Veteran, Pelakon Hajjah Puan Khatijah Abu Hassan dan ramai lagi. 

Turut bersama diundang ialah Mrs Asean Global Winner 2023, Miss Kimi Thomas dan Mrs Asean Joselynn Chew. Menariknya juga, seramai 150 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia dan Singapura turut hadir. 

Majlis Rumah Terbuka Raya ini dihadiri seramai 500 orang tetamu dari pelbagai latar belakang termasuk individu perseorangan , wakil syarikat korporat, para bikers, rakan media dan pengamal industri kreatif serta selebriti tanah air. 

Amy Ikram by wajib tonton
Gambar: Zaman Kini (Oppo Reno4)

Catat Ulasan

0 Ulasan