TEATER MUZIKAL UPIN & IPIN - PIN PIN POM! KINI DALAM VERSI EKSKLUSIF DI ASTRO FIRST

Walaupun telah menemui penonton dan peminat teater pada penghujung tahun lalu, animasi popular Malaysia, Upin & Ipin bakal mencipta satu lagi fenomena apabila Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! yang telah dipentaskan di Malaysia, juga Singapura bakal ditayangkan di Astro First bermula 18 Mei 2023. Teater yang mendapat sambutan positif daripada jutaan penonton yang meliputi anak kecil serta orang dewasa itu khabarnya akan ditayangkan dalam versi lebih istimewa. Menariknya, penonton yang menonton di platform Astro First dapat melihat penggunaan kesan visual dan paparan teknologi multimedia  yang lebih banyak seolah-olah anda menonton di pentas teater walaupun ia hanya dipersembahkan dalam medium digital bagi tayangan di kaca televisyen.

Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi dalam sau kenyataan berkata, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! ini sangat istimewa kerana ianya mempunyai elemen multimedia serta lagu-lagu yang digubah oleh komposer Les’ Copaque sendiri. Teater ini juga merupakan 100 peratus karya yang dihasilkan anak tempatan.

Teater berdurasi 1 jam 6 minit ini diarahkan oleh Siti Rohayah Atan dan menampilkan watak-watak utama Upin, Ipin dan kawan-kawan seperti Ehsan, Mail, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Susanti serta menampilkan beberapa watak baharu yang kali pertama diketengahkan dalam pementasan teater seperti karakter Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan. Kesemua watak ini dilakonkan sepenuhnya oleh maskot dengan kostum menarik yang direka khas untuk pementasan teater tersebut. 

Apabila bercakap mengenai naskhah cerita teater ini, Hajah Ainon Bt Ariff merupakan individu penting yang menjadikan teater muzikal ini dapat direalisasikan, memandangkan idea asal pementasan ini adalah lahir dari pemikiran kritis Hajah Ainon bersama penulis skrip Nur Naquyah binti Burhanuddin. Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! mengisahkan tentang pengembaraan Upin & Ipin ke dunia Pin Pin Pom! demi menyelamatkan diri dan kawan-kawan daripada cengkaman Nenek Kebayan yang mencari Batu Delima Sakti. Teater yang penuh dengan aksi mendebarkan dan mencuit hati itu turut mengandungi 10 buah lagu. Menariknya lagu-lagu tersebut menyelitkan dialog simbolik ‘Pin Pin Pom!’ yang amat popular dari salah satu siri Upin & Ipin dan diiringi dengan susuan muzik yang ‘catchy’. 

Selain itu, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! yang ditayangkan di Astro First ini juga turut menyelitkan sesi temu ramah eksklusif bersama tenaga-tenaga kreatif di sebalik tabir terutamanya barisan pelakon utama alih suara.

Bagi anda yang ingin menyaksikan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! ini, bolehlah melanggan saluran Astro First saluran 480 atau strim di On Demand atau Astro GO bermula 18 Mei 2023.

admin by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan