LANGKAH SEIRINGAN EXISTS DAN DFP

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), yang terletak di Menara Berkembar PETRONAS, meneruskan keraian 25 tahun penubuhannya dengan mempersembahkan sebuah konsert  sold out bernuansakan genre pop dan rock 1990an dari kumpulan legenda Exists pada hari Sabtu, 3 Jun 2023 jam 8.30 malam.

Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni tempatan dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat. DFP, yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi. 

Mengibaratkan peminat setia yang hadir pada malam itu sebagai "Nyawa muzik kita", Kumpulan Exists yang dianggotai Along (Gitar), Musa (Bass), Ajai (Keyboard), Ujang (Drum) dan Ezad Lazim serta Mamat sebagai vokalis pada malam itu mengamit nostalgia apabila membawakan 16 buah lagu hit kepada peminat mereka. 

Membuka persembahan dengan lagu "Seperti Dulu", Exists berkata pemilihan lagu untuk Konsert kali ini amat sukar kerana kebanyakkan lagu-lagu mereka merupakan lagu-lagu hit malar segar, jadi pemilihan dibuat berdasarkan poll dan juga persetujuan bersama. Di konsert yang berlangsung selama lebih kurang 60minit itu, Exists telah berjaya merasuk DFP dengan dendangan lagu-lagu seperti Percayakan Siti, Jesnita, Bunga, Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan, Alasanmu dan banyak lagi lagu-lagu 'beracun' yang disampaikan pada malam itu. 

Walaupun Exists membawakan lagu Pertama, Masih Terserlah Ayumu, Janji Padamu secara akustik dan beberapa lagu malar segar yang digubah semula, Along berkata, kali ini beliau inginkan Exists untuk mengekalkan arrangement muzik asal lagu-lagu mereka supaya peminat mereka dapat mengimbau kenangan dengan alunan paduan suara Mamat dan Ezad Lazim dengan muzik asal yang memukau. Exists juga terharu kerana  peminat yang hadir nampak seronok dan puas dengan persembahan mereka apabila peminat dapat menyanyi bersama-sama dengan mereka. 

Exists yang sudah berada di dalam industri selama lebih 30 tahun berasa bangga apabila terpilih untuk membuat satu konsert secara eksklusif di Dewan Filharmonik Petronas. Menyifatkan lokasi DFP sebagai sebuah lokasi persembahan yang eksklusif dan berdiri dalam kelasnya yang tersendiri, Ajai berkata di DFP, mereka mempunyai 'Acoustic room' jadi pemuzik seperti mereka tidak mempunyai masalah dan itulah yang dimahukan oleh Exists. Musa juga mengatakan mereka yang hadir ke DFP ibarat membeli sesuatu yang eksklusif dan mereka tidak akan mendapat kualiti muzik seperti ini di stadium atau sebagainya. Along juga berpendapat, konsert di DFP membuatkan mereka lebih dekat dengan peminat kerana jika di stadium, mereka tidak dapat mendengar suara peminat yang sama-sama menyanyikan lagu-lagu yang disampaikan dan kerana itu juga mereka kekalkan muzik asal. Ketika Exists mendendangkan lagu "Janji padamu" yang dinyanyikan oleh Mamat, Along menyifatkan Mamat berjaya mendapatkan perasaan yang sama ketika mereka mula mula merakam lagu tersebut di studio  dahulu.

"Bila saya tengok Mamat menyanyi, saya dapatkan rasakan ini seperti 'real' di zaman dahulu dan apa yang Mamat bawakan itu memang sampai," ujar Along dengan nada teruja setelah menyaksikan sambutan hangat peminat yang hadir menyaksikan konsert Exists ini.  

Antara impian yang ingin dicapai kumpulan Exists untuk masa akan datang ialah mereka ingin mengadakan persembahan atau konsert diiringi sepenuhnya oleh Orkestra Filharmonik Malaysia di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). 

Sebagai menghargai sokongan peminat setia mereka, Exists berterima kasih kepada pihak penganjur dan rakan-rakan media yang hadir memberikan komitmen sehingga terhasilnya sebuah konsert yang tentunya akan meninggalkan sejuta kenangan dan pengalaman tersendiri.

Sepanjang karier seni selama lebih 3 dekad, Exists telah melahirkan 13 buah album dan menggondol pelbagai anugerah di majlis muzik berprestij antaranya Anugerah Industri Muzik 2004 (Album Pop Rock Terbaik), Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003, Anugerah Planet Muzik 2003, Anugerah Era 2002 dan berentap di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu pada tahun 1992, 1994, 2002 dan 2003.

DFP seterusnya bakal mempersembahkan konsert Kugiran Masdo (22 Julai 2023), Khai Bahar (11 November 2023) dan Meet Uncle Hussain (2 Disember 2023).

Sheila Kyuchang by Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan