ALIF SATAR TERUJA DAPAT BERAKSI DI PENTAS DFP

Jika anda pernah menonton persembahan muzikal Disney, Michael Buble, Sean Ghazi dan seangkatan dengannya dalam bentuk orkestra, anda mungkin bersetuju seandainya di katakan 'Lochestra: Alif Satar & The Locos with MPO' sebagai sebuah konsert muzik bertaraf antarabangsa. 

Alif Satar, 33, yang ditemui sejurus selepas konsert menyifatkan, persembahan beliau bersama kumpulannya The Locos pada 26 Ogos lalu di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC sebagai sebuah kenangan yang tidak mungkin akan dilupakannya. Menurutnya, beliau berasa sebak ketika menyampaikan beberapa lagu yang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) memandangkan dewan yang boleh memuatkan seramai 920 orang pada satu-satu masa itu penuh dan jualan tiket bagi menyaksikan persembahan ini habis terjual.

"Bermula dengan band eksperimen dan pernah merakamkan album solo pada tahun 2009, saya melihat persembahan saya bersama The Locos yang diiringi orkestra di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada malam ini sebagai satu momen yang cukup bersejarah sepanjang karier saya sebagai seorang anak seni. Sebelum ini saya cuba bereksperimen kerana saya tidak mahu membuat persembahan hanya menggunakan muzik 'minus one' semata-mata. Apabila saya berdiri di pentas ini, saya menyanyi dan dari situ saya faham kenapa setiap dari penyanyi mengimpikan untuk membuat persembahan di sini. Auranya lain macam," kata Alif penuh bersemangat.


Alif Satar & The Locos yang menyampaikan kira-kira 15 buah lagu terbaik mereka, antaranya, Hey, Cukup Indah, I Want You To Love Me, Jangan Nakal, Akan Tiba, Nona Jakarta, Toxic, Lelaki Seperti Aku, Lelaki Tak Sempurna, Akhiri Penantianku, Isteri, Sesungguhnya Aku, dan Anugerah Terindah juga menghiburkan penonton menerusi dua buah lagu tribute buat dua legenda muzik tanah air iaitu, Dato' Sheila Majid  dan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menerusi lagu Sinaran dan Getaran Jiwa. 

Menonton persembahan Alif Satar & The Locos bersama MPO Orkestra mengingatkan penulis dengan persembahan antarabangsa beberapa penyanyi termasuk Michael Buble, dan Sean Ghazi, serta juga persembahan muzikal yang mempunyai babak lakonan tertentu. Menerusi konsert ini, penulis merasakan aura Alif Satar & The Locos sebagai penghibur di atas pentas itu cukup memukau apatah lagi telatah Alif bergurau senda dengan penonton dalam beberapa lagu membuktikan anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi tempatan yang lain. 

Keistimewaan konsert dipentas DFP ini adalah menerusi susunan muzik orkestranya. Ahmad Muriz Che Rose dibantu dengan pemuzik professional MPO menjadikan Lochestra: Alif Satar & The Locos with MPO sebagai sebuah persembahan muzikal bertaraf antarabangsa. Menurut Muriz, beliau dan Alif ada berbincang untuk mempersembahkan satu gabungan persembahan yang berbeza dari Alif Satar  & The Locos dengan MPO Orkestra dan persembahan Alif Satar secara solo. Bagi mereka yang sememangnya ingin kelainan untuk memahami kenapa muzik perlu dihayati menerusi persembahan secara orkestra berbeza mendengar melalui platform digital atau dalam talian, hanya akan tahu apabila menonton persembahan di pentas DFP sambil diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). 

Alif Satar berkata, sebagai pengkarya muzik beliau berasa teruja apabila dapat menghiburkan peminatnya menerusi persembahan dalam bentuk orkestra di pentas DFP. Kemunculan beliau mempersembahkan beberapa lagu tambahan dari album terbaharu mereka juga yang bakal dilancarkan 14 September depan membuktikan Alif Satar & The Locos antara kumpulan muzik di Malaysia yang masih relevan untuk membuat persembahan dan 26 Ogos lalu merupakan tarikh penting yang mungkin tidak dapat dilupakan buat peminat mereka dan juga penggemar muzik tanah air.

Amy Ikram by wajib tonton I Gambar: MPO & DFP Petronas

Catat Ulasan

0 Ulasan