NAIB JUARA HERO REMAJA 1990/1991, BADRUL MUHAYAT MENINGGAL DUNIA

Pelakon Badrul Muhayat disahkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang pagi tadi. Badrul atau nama penuhnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani meninggal dunia pada usia 55 tahun.

Isteri Allahyarham, Norhayati Zulkapli berkata jenazah suaminya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru. Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis,” katanya dipetik BH Online.

Norhayati berkata pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu hanya disedari kira-kira jam sembilan pagi selepas dia cuba mengejutkan Allahyarham untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai, Pulau Pinang.

Sementara itu, pelakon Anne Abdullah berkata dia dimaklumkan berita pemergian Badrul melalui teman artis, Aida Aris yang berada di tempat kejadian.

“Saya difahamkan isteri arwah mengejutnya untuk bersiap-siap ke tapak karnival kerana berniaga di sana.  Tapi, arwah tak memberikan respon dan badannya juga didapati sejuk. Jadi, mereka memanggil ambulans dan Badrul disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Anne lagi, keluarga Badrul sudah pun dimaklumkan mengenai pemergiannya dan meminta agar jenazah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk dikebumikan.

Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu. Allahyarham turut meninggalkan dua cahaya mata, masing-masing berusia 14 dan 16 tahun hasil perkahwinannya yang terdahulu.

Menurut rekod, Badrul Muhayat merupakan bekas finalis Hero Remaja 1990/1991 yang membintangi hampir 12 buah filem dan puluhan buah drama tempatan. Cerana Biduk Bu Merah arahan Haizul Anafer Ali merupakan filem terakhir lakonannya pada tahun 2023. 

Sumber: BH Online & Malaysia Kini


Catat Ulasan

0 Ulasan