JUDIKA PUKAU 12,000 PENONTON



Mengidolakan penyanyi tempatan dalam setiap persembahan Judika boleh dianggap sebagai satu momen bersejarah buat penggemar muzik dari seberang. Baginya, ia mencipta satu kenangan malahan pelantun suara Setengah Mati Merindu dan Kisah Yang Ku Inginkan ini menjadikan muzik Malaysia sebagai sumber inspirasinya.

Pertama kali beraksi di Kuala Lumpur dengan ruang persembahan yang agak besar bagi Judika, ia boleh dianggap sebagai satu penghormatan buat dirinya bergelar anak seni. Ketika kelibat Judika muncul di pentas utama, penonton bagaikan hilang arah kerana pemilik nama Judika Nalon Abadi Sihotang ini bukan calang penghibur malahan kemunculannya sering dinantikan penggemar muzik dari seluruh pelusuk asia. 

Menyanyikan lagu Sejati, Cindai dan Mengintai Dari Tirai Kamar duet bersama Haqiem Rusli bagi Judika adalah sebagai momen yang mencipta kenangan. Segala susunan muzik bagi lagu-lagu tersebut telah diubah suai bagi meraikan suasana dengan kesesuaian melodi agar hasilnya lebih menakjubkan. 

Menjadikan kumpulan Search, Wings dan Dato' Sri Siti Nurhaliza sebagai idola yang diminatinya, Judika berharap jika diberi kesempatan beliau mahu bekerjasama dengan 3 figura hebat ini walaupun pernah berduet pertama kali dengan Penyanyi No.1 Negara menerusi lagu Kisah Ku Inginkan yang turut dimuat dalam album ke-16, Siti Nurhaliza bertajuk SimetriSiti. 

'Rockmantic Night with Judika & The Gang', yang telah berlangsung 21 Oktober lepas di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan kehadiran lebih 12,000 penonton yang membanjiri segenap ruang menjadikan Malam Rockmantik Judika sebagai malam yang cukup bermakna sepanjang 18 tahun karier Judika dalam industri muzik Indonesia. 

Ketika ditemui media sejurus selepas berakhirnya konsert tersebut, Judika menganggap persembahan yang berlangsung 3 jam itu sebagai petanda yang dirinya masih diminati sehingga ke hari ini.

“Saya ingin menyanyi habis-habisan kerana semangat ‘cinta’ yang diberikan oleh pembeli-pembeli tiket bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga Indonesia, Singapura serta Brunei agar dapat menghiburkan mereka semua sebaik dan juga semaksimal yang mungkin.

"Saya percaya kuasa muzik itu terlalu besar, bahkan impian saya mengadakan konsert di sini akhirnya tertunai melalui penganjur acara dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management. Terima juga buat keluarga saya yang sudi berkampung bersama-sama saya di sini bagi menghiburkan kalian", katanya dengan nada terharu.

Selain Judika, bintang-bintang popular Malaysia seperti Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah serta artis-artis tamu dari Indonesia naungan DAD Management seperti Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr. Axin turut menyerikan konsert pada malam tersebut.

Menyampaikan kira-kira 20 buah lagu popularnya seperti Setengah Mati Merindu, Bukan Rayuan Gombal, Malaikat, Sampai Kau Jadi Milikku, Aku Yang Tersakiti dan banyak lagi itu merakamkan kenangan manis Judika dalam sebuah konsert penuh makna yang akan diingati sepanjang zaman.


Catat Ulasan

0 Ulasan